IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-624 : HUKUM MENAWARKAN HADIAH BAGI SESUATU PEMBELIAN

624

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya nak tanya satu soalan. Sekiranya saya nak buat jualan + hadiah boleh tak. Contoh, Pembeli yang ke 100 akan dapat hadiah laptop. Pembeli ke 1000 akan dapat hadiah PC game. Boleh tak saya buat konsep jualan macam tu? Mohon pencerahan.

 

Jawapan Ringkas

Konsep jualan yang sedemikian adalah konsep yang dibenarkan syarak selagi cukup syarat jual beli yang dinyatakan serta bebas daripada unsur-unsur penipuan, manipulasi dan sebagainya. Ini adalah kerana hukum asal berkaitan jual beli adalah harus selagi tidak melibatkan unsur-unsur yang diharamkan syarak. Konsep yang dinyatakan tersebut sebenarnya adalah salah satu bentuk pemasaran yang biasa digunakan oleh peniaga-peniaga untuk menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli daripadanya. Tambahan lagi, konsep tersebut adalah merupakan konsep pemberian hadiah daripada penjual kepada pembeli tertentu yang tidak mempunyai unsur judi dan unsur-unsur lain yang diharamkan.

 

Huraian Jawapan

Hukum asal bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus sekiranya tidak ada unsur-unsur yang dilarang oleh syarak seperti judi, riba, menipu, manipulasi dan seumpamanya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT berikut:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275)

 

Kesinambungan daripada ayat yang dinyatakan di atas, ulama telah mengeluarkan satu kaedah fiqh yang menyatakan bahawa hukum asal bagi perkara berkaitan muamalat seperti jual beli dan sebagainya adalah harus selagi mana tiada larangan berkaitannya daripada syarak:

‌الأصل ‌في ‌المعاملات ‌الإباحة حتى نتيقن المانع

Maksudnya: Hukum asal bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus selagi mana tiada larangan padanya. (Rujuk al-Mu’amalat al-Maliyyah Ashalah wa Mu’asharah 206/4)

 

Jual beli yang memenuhi syarat rukun jual beli adalah suatu jual beli yang sah di sisi syarak. Rukun-rukun jual beli adalah sebagaimana berikut:

1. Dua pihak yang berakad (penjual dan pembeli)

2. Sighah akad (ijab dan kabul)

3. Perkara yang diakadkan (barang dan harga)

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 15/3)

 

Konsep jual yang diterangkan oleh penyoal adalah termasuk dalam perkara berkaitan pemasaran untuk menarik perhatian lebih ramai pelanggan dan sekaligus meningkatkan jualannya. Dalam konteks persoalan ini, pemberian tersebut merupakan konsep hadiah daripada penjual atau peniaga kepada pembeli tertentu yang mana ia bukan berunsurkan judi dan sebagainya. Pemasaran juga termasuk dalam keumuman kaedah hukum asal bagi muamalat adalah harus yang dinyatakan di atas. Namun begitu, sekiranya teknik pemasaran yang digunakan tersebut mempunyai unsur-unsur yang dilarang maka perbuatan itu adalah haram.

 

Perbuatan menipu, manipulasi, menyorokkan kecacatan barang dagangan dan seumpamanya antara unsur-unsur yang diharamkan dan perbuatan itu dianggap sebagai memakan harta orang lain dengan cara yang batil. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Surah An-Nisa’ (29)

 

Selain itu, Rasulullah SAW juga telah memberi peringatan tentang sikap menipu. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Siapa daripada kalangan kita yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kita (umat Islam).

Riwayat Muslim (101)

 

Peniaga yang mengamalkan sikap jujur dan amanah akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama para nabi dan orang-orang yang soleh. Sabda Rasulullah SAW:

‌التَّاجِرُ ‌الصَّدُوقُ الْأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ

Maksudnya: Peniaga yang jujur lagi amanah akan berada bersama para nabi dan orang yang benar dan para syuhada’ (di akhirat kelak).

Riwayat al-Tirmizi (1209)

 

Kesimpulan

Konsep jualan yang sedemikian adalah konsep yang dibenarkan syarak selagi cukup syarat jual beli yang dinyatakan serta bebas daripada unsur-unsur penipuan, manipulasi dan sebagainya. Ini adalah kerana hukum asal berkaitan jual beli adalah harus selagi tidak melibatkan unsur-unsur yang diharamkan syarak. Konsep yang dinyatakan tersebut sebenarnya adalah salah satu bentuk pemasaran yang biasa digunakan oleh peniaga-peniaga untuk menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli daripadanya. Tambahan lagi, konsep tersebut adalah merupakan konsep pemberian hadiah daripada penjual kepada pembeli tertentu yang tidak mempunyai unsur judi dan unsur-unsur lain yang diharamkan.

 

Walllahualam.


Print   Email