Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA SIRI KE-666: ADAKAH IBU BAPA TERSEKSA APABILA ANAK MENINGGALKAN SOLAT?

 

 

ADAKAH IBU BAPA TERSEKSA APABILA ANAK MENINGGALKAN SOLAT

SOALAN

Salam datuk. Adakah ibu bapa akan terseksa atau diazab Allah dengan sebab anak meninggalkan solat? Mohon penjelasan

 

RINGKASAN JAWAPAN

Dalam Islam seseorang insan yang beriman tidak akan menanggung dosa orang lain walaupun dalam kalangan keluarganya seperti anak dan ibu bapa, suami dan isteri, abang dan adik-beradiknya. Namun, syarak memberi isyarat bahawa seseorang itu wajib menjaga dan membimbing orang-orang di bawah tanggungannya ke arah lebih baik dengan mentaati segala perintah-Nya dan menghalang mereka dari melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Justeru, dalam hal ini seseorang yang mengabaikan dan membiarkan mereka yang di bawah tanggungannya tanpa mendidik dan mengajar serta membimbing ke arah kebaikan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.

Rasulullah SAW memerintahkan kepada ibu bapa agar mendidik anak-anak mereka mendirikan solat ketika usia mereka tujuh tahun dan memukulnya dengan pukulan yang tidak mencederakan dengan niat mendidik ketika usia sepuluh tahun. Hal ini bersandarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa nabi SAW bersabda:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: Perintah anak-anak kamu agar mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.

Riwayat Abu Daud (490)

 

Imam al-Baghawi menjelaskan bahawa ibu bapa wajib mengajar anak-anak mereka tentang cara bersuci, solat dan perkara-perkara syariat yang lain selepas mereka berusia tujuh tahun. Pukul dengan pukulan yang mendidik ketika anak-anak berumur sepuluh tahun sekiranya mereka meninggalkan solat.

(Rujuk: al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi’e, 2/31)[1]

 

Anak-anak merupakan amanah yang dianugerahkan Allah SWT. Ibu bapa wajib melaksanakan amanah ini dengan mendidik mereka menjadi insan yang beriman dan bertakwa. Oleh itu, sesuai dengan sabda nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar:

‌كُلُّكُمْ ‌رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ رَاعٍ عَلَى رَعِيَّتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُ

Maksudnya: Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, seorang hamba yang menjaga harta tuannya dan bertanggungjawab ke atasnya, seorang wanita adalah pemimpin di dalam rumahnya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya.

Riwayat Sahih Bukhari (7138)

 

Islam memerintahkan agar ibu bapa menjaga diri sendiri dan ahli keluarga dari melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.

Surah al-Tahrim (6)

 

Imam Ibnu kathir menjelaskan dalam tafsirnya tentang ayat di atas, bahawa perintahkanlah keluarga kamu agar beramal segala perintah Allah dan takutlah dari melakukan maksiat kepada Allah. Nescaya, Allah akan selamatkan kalian dari azab api neraka.

(Rujuk: Tafsir al-Quran al-Azim, 8/167)[2]

 

Imam al-Qurtubi juga menjelaskan tentang ayat ini iaitu maksud memelihara ahli keluarga adalah dengan memberi nasihat dan wasiat ke arah kebaikan:

قُوا أَنْفُسَكُمْ بِأَفْعَالِكُمْ وَقُوا أَهْلِيكُمْ بِوَصِيَّتِكُمْ

Maksudnya: Peliharalah dirimu dengan amalan kamu dan peliharalah ahli keluargamu dengan wasiat dan nasihat kamu.

(Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 18/194)

 

Oleh itu hubungan antara ayah dan anak adalah hubungan yang mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Pengabaian kepada tanggungjawab ini akan dipersoalkan di sisi Allah di akhirat kelak.

Dalam konteks dosa setiap individu seseorang itu tidak akan menanggung kesalahan atau dosa orang lain walaupun ahli keluarganya. Berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا يُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَيۡءٞ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰٓۗ

Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.

Surah al-Fatir (18)

 

Imam al-Sama’ni menghuraikan tentang sebab penurunan ayat di atas melalui nukilan sebahagian ulama tafsir bahawa seorang sahabat yang bernama al-Walid bin al-Mughirah al-Makhzumi telah membuat suatu kenyataan kepada bani Makhzum dengan katanya: “Terimalah ajaran Islam, nescaya aku akan menanggung segala dosa kamu pada hari kiamat, jika kamu tergolong dikalangan orang-orang yang berdosa,” lalu turun ayat ini sebagai memberi teguran daripada ucapan beliau.

(Rujuk: Tafsir al-Sama’ni, 4/353)[3]

Bahkan, Allah SWT memberi amaran yang jelas bahawa setiap orang akan mendapat balasan terhadap dosa-dosa yang mereka lakukan, bukan orang lain yang mendapat azab tersebut. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡسِۢ بِمَا كَسَبَتۡ رَهِينَةٌ  إِلَّآ أَصۡحَٰبَ ٱلۡيَمِينِ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya. Kecuali puak Kanan.”

Surah al-Muddathir (38-39)

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini bahawa segala amalan jahat yang mereka lakukan menjadi balasan buruk di dalam neraka disebabkan amal yang dikerjakannya, kecuali golongan kanan. Beliau menjelaskan lagi tentang golongan kanan adalah golongan yang tidak mendapat azab di dalam neraka, bahkan mereka mendapat keampunan daripada Allah SWT.

(Rujuk: Tafsir al-Baghawi, 8/272)[4]

Sehubungan dengan itu, Allah SWT memberi gambaran di akhirat kelak bahawa masing-masing mementingkan diri sendiri, jauh dari ingin menangung dosa adik beradik ibu bapa dan saudara mara. Firman Allah SWT:

يَوۡمَ يَفِرُّ ٱلۡمَرۡءُ مِنۡ أَخِيهِ وَأُمِّهِۦ وَأَبِيهِ

Maksudnya: “Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan ibunya serta bapanya.”

Surah ‘Abasa (34-35)

Imam Ibnu Jauzi menyebut tentang ayat ini bahawa manusia pada ketika itu tidak berpaling, mengambil perhatian atau tidak meninjaupun kepada sesiapa walaupun kerabatnya yang terdekat kerana keagungan yang dia sedang lalui di hadapan Allah di akhirat nanti.

(Rujuk: Tafsir Zad al-Masir fi ‘Ilmi al-Tafsir, 4/403)[5]

Walaubagaimanapun tidak dinafikan bahawa seseorang itu boleh mendapat dosa kerana dia menjadi punca seseorang itu melakukan maksiat kepada Allah sepertimana Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

Maksudnya: “Sesiapa menjadi pelopor dalam Islam suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”

Riwayat Muslim (1017)

Namun, sepertimana yang telah dijelaskan di awal tulisan ini bahawa ibu bapa yang telah menunaikan tanggungjawab mendidik anaknya mendirikan solat, tidak bertanggungjawab terhadap dosa anak-anak mereka dengan sebab meninggalkan solat.

 

KESIMPULAN

Secara umumnya, seorang Muslim tidak menanggung dosa saudaranya yang lain, begitu juga ibu bapa tidak menanggung dosa anak-anaknya. Walaubagaimanapun ibu bapa bertanggungjawab memberi pendidikan agama untuk menyelamatkan anak-anak mereka dari azab api neraka. Sebaik tanggungjawab ini terlaksana, maka segala perbuatan anak yang meninggalkan solat adalah ditanggung oleh diri mereka sendiri. Adapun bagi ibu bapa yang gagal memberi didikan agama kepada anak-anak, maka sebarang perbuatan maksiat yang dilakukan oleh anak tersebut akan turut ditanggung oleh kedua ibu bapa.

 

[1] فيجب على الآباء والأمهات تعليم أولادهم الطهارة، والصلاة، والشرائع بعد بلوغ سبع سنين، وأن يأمروهم بها، حتى يعتادوا [أداءها]. فإذا بلغوا عشراً، يضربوهم على تركها؛ تأدباً

[2] ‌اعْمَلُوا ‌بِطَاعَةِ ‌اللَّهِ، وَاتَّقُوا مَعَاصِيَ اللَّهِ، ومُروا أَهْلِيكُمْ بِالذِّكْرِ، يُنْجِيكُمُ اللَّهُ مِنَ النَّارِ

[3] وَفِي بعض التفاسير: ‌أَن ‌الْوَلِيد ‌بن ‌الْمُغيرَة ‌المَخْزُومِي ‌قَالَ لمن اسْلَمْ من بني مَخْزُوم: ارْجعُوا عَن الْإِسْلَام، وَأَنا أحمل ذنوبكم يَوْم الْقِيَامَة إِن خِفْتُمْ من الذُّنُوب؛ فَانْزِل الله تَعَالَى هَذِه الْآيَة

[4] {كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ} ‌مُرْتَهِنَةٌ ‌فِي ‌النَّارِ ‌بِكَسْبِهَا ‌مَأْخُوذَةٌ ‌بِعَمَلِهَا. {إِلَّا أَصْحَابَ الْيَمِينِ} فَإِنَّهُمْ لَا يَرْتَهِنُونَ بِذُنُوبِهِمْ فِي النَّارِ وَلَكِنْ يَغْفِرُهَا اللَّهُ لَهُمْ

[5] ‌لا ‌يلتفت ‌الإنسان ‌إلى ‌أحد من أقاربه، لِعِظَم ما هو فيه