Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-668: HUKUM SOLAT KE ATAS JENAZAH BERULANG KALI MESKIPUN TELAH DIKEBUMIKAN

IF668

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai solat jenazah?. Nenek kami meninggal, namun disebabkan terlewat sampai ke kampung maka kami terlepas solat jenazah. Kemudian kami solat untuk kali yang kedua. Maka, soalan saya apakah hukum solat ke atas jenazah berulang kali? Apakah status solat jenazah yang kali kedua itu?

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Jenazah yang sudah disolatkan hendaklah segera dikebumikan. Namun sekiranya terdapat keperluan untuk melambatkan peroses pengebumian seperti menunggu kehadiran kaum kerabat si mati atau memberi peluang kepada mereka yang tidak sempat menyertai solat yang pertama, maka dibenarkan melewatkannya. Hal ini selagimana keadaan jenazah tidak dikhuatiri rosak. Mereka yang hadir lewat masih boleh melakukan solat ke atas jenazah untuk kali kedua dan seterusnya meskipun jenazah sudah dikebumikan. Solat jenazah yang kedua dan seterusnya diterima sebagai ibadah fardu kifayah berdasarkan niat orang yang menunaikannya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara asasnya, jenazah yang sudah disolatkan hendaklah disegerakan proses pengebumiannya. Oleh itu, jenazah perlu segera dikebumikan tanpa menunggu kehadiran sesiapa melainkan kaum kerabatnya. Sekiranya kaum kerabat atau sesiapa yang terlewat hadir setelah jenazah disolatkan maka mereka masih boleh untuk sembahyang ke atas jenazah tersebut untuk kali kedua meskipun jenazah tersebut sudah dikebumikan. Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أن رجلا أسود -أو امرأةً- كان يقُمُّ المسجد فمات، فسأل النبي صلى الله عليه وآله وسلم عنه، فقالوا: مات، قال: أَفلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ، دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ –أَوْ قَالَ: قَبْرِهَا- فأتى قبرها فصلى عليها

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki kulit hitam atau seorang wanita kulit hitam yang telah meninggalkan masjid dan dia meninggal dunia, Nabi SAW bertanya mengenai mereka, maka kami berkata: (dia) sudah meninggal dunia, Nabi SAW bersabda: "Mengapa kalian tidak memberitahuku tentang kematiannya, tunjukkan kepadaku kuburnya, kemudian Baginda SAW datang ke kuburnya dan menunai solat (jenazah) ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (458)

Perbuatan ini bukan keistimewaan bagi Nabi SAW sahaja akan tetapi ia diharuskan kepada umat Nabi SAW. Menurut Syeikh Badruddin al-Aini menukilkan yang kenyataan Imam Ibnu Hibban:

وَقَالَ ابْن حبَان: وَلَو كَانَ خَاصّا لزجر أَصْحَابه أَن يصطفوا خَلفه ويصلوا مَعَه على الْقَبْر، فَفِي ترك إِنْكَاره أبين الْبَيَان ‌أَنه ‌فعل ‌مُبَاح ‌لَهُ ‌ولأمته ‌مَعًا

Maksudnya: Ibnu Hibban berkata: sekiranya (perbuatan) itu khusus untuk Baginda SAW maka sudah pasti Baginda SAW akan menegur para sahabatnya yang mendirikan saf di belakangnya dan solat bersama-sama di sisi kubur. Maka (tindakan Baginda SAW) meninggalkan tegahan terhadap perbuatan itu menjadi petunjuk yang sangat jelas bahawa perbuatan itu harus bagi Baginda SAW dan umatnya.

(Rujuk: Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 6/152)

Sementara itu, sekiranya mereka yang terlewat untuk menyertai solat jenazah yang sudah dikebumikan maka mereka boleh melakukan solat jenazah di sisi kuburnya. Namun sekiranya jenazah diyakini masih tidak rosak seperti tidak berbau sehingga waktu kehadiran mereka, maka dibenarkan untuk melambatkan pengebumian dan memberi peluang kepada mereka yang terlewat untuk melakukan solat jenazah. Imam al-Rauyani menukilkan kalam Imam Syafi’I tentang perkara ini, kata beliau:

وقال الإمام الشافعي في الأم : (‌وأحب ‌أن ‌تكون ‌الصلاة ‌على ‌الميت ‌صلاة ‌واحدة ولا يحبس بعد الفراغ منها لصلاة من فاتته الصلاة عليه، ويصلي على القبر، اللهم إلا أن يرجى حضور الوالي فلا بأس أن يحبس حتى يحضر ويصلي عليه، وهذا إذا لم يخف التغير) اه

Maksudnya: Aku lebih menyukai solat ke atas jenazah sekali sahaja dan tidak berlengah (mengebumikan) setelah selesai solat ke atasnya untuk (memberi peluang) kepada orang yang tidak sempat untuk solat ke atasnya dan (harus) solat di sisi kuburnya, melainkan jika terdapat keperluan untuk menunggu ahli keluarga si mati maka tidak mengapa untuk menunggu sehingga mereka hadir dan solat ke atas si mati. Keadaan ini (dibenarkan) sekiranya jenazah tidak dikhuatiri berubah (rosak).

(Rujuk: Bahru al-Mazhab, 2/577)

Selain itu, solat kedua dan seterusnya itu turut mendapat pahala fardu (kifayah) berdasarkan niat ketika menunaikannya. Menurut Imam Khatib al-Syarbini menyatakan bahawa:

 (وإذا صلي عليه (أي الميت) فحضر من (أي شخص) لم يصل (عليه) صلى (عليه ندبًا؛ لأنه صلى الله عليه وآله وسلم صلى على قبور جماعة، ومعلوم أنهم إنما دفنوا بعد الصلاة عليهم، وتقع هذه الصلاة فرضًا كالأولى، سواء أكانت قبل الدفن أم بعده، فينوي بها الفرض كما في (المجموع) عن المتولي ويثاب ثوابه) اه

Maksudnya: Sekiranya jenazah telah disolatkan kemudian hadir orang yang belum solat ke atas jenazah tersebut, maka disunatkan solat sunat ke atas jenazah itu kerana Nabi SAW pernah solat di sisi kubur secara berjemaah, seperti yang sedia maklum mereka hanya mengebumikan (jenazah) setelah solat ke atasnya. Solat ini dikira fardu sepertimana solat yang pertama sama ada (solat dilakukan) sebelum pengebumian ataupun selepasnya. Oleh itu, seseorang itu berniat fardu pada solat tersebut (jenazah) sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Majmuk yang dinukilkan al-Mutawalli dan dia diganjari dengan pahala solat fardu.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 2/51)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa jenazah yang sudah disolatkan hendaklah segera dikebumikan. Namun sekiranya terdapat keperluan untuk melambatkan proses pengebumian seperti menunggu kehadiran kaum kerabat si mati atau memberi peluang kepada mereka yang tidak sempat menyertai solat yang pertama, maka dibenarkan melewatkannya. Hal ini selagimana keadaan jenazah tidak dikhuatiri rosak. Mereka yang hadir lewat masih boleh melakukan solat ke atas jenazah untuk kali kedua dan seterusnya meskipun jenazah sudah dikebumikan. Solat jenazah yang kedua dan seterusnya diterima sebagai ibadah fardu kifayah berdasarkan niat orang yang menunaikannya.