Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-669: PERBEZAAN FATWA WARTA DAN FATWA TIDAK WARTA

IRSYAD FATWA 669

Soalan

Assalamualaikum, saya hendak bertanya sedikit mengenai fatwa itu sendiri. Apa perbezaan antara fatwa warta dan yang tidak warta dan jawapan kepada soalan hukum seperti di Bayan Linnas, Irsyad Fatwa dan lain-lain seperti yang di siarkan oleh Pejabat Mufti? Adakah Kami semua perlu ikut? Dan kalau tak ikut ?

Ringkasan Jawapan

Sehingga kini, merujuk kepada pengamalan perundangan di Malaysia berkaitan fatwa adalah tertakluk di bawah peruntukan Undang-Undang Pentadbiran Hal Ehwal Islam setiap negeri. Setiap negeri memperuntukkan bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan itu adalah mengikat bagi setiap pihak di bawah bidang kuasa negeri tersebut.

Manakala Fatwa tidak warta adalah suatu permasalahan yang juga diputuskan oleh Mufti dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak. Oleh itu setiap fatwa tidak warta tidak mempunyai implikasi perundangan dan merupakan suatu keputusan permasalahan dan penjelasan hukum kepada sesuatu permasalahan yang dipertanyakan.

Manakala penjelasan hukum yang disiarkan melalui artikel-artikel yang telah diterbitkan di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seperti Bayan Linnas, Irsyad Fatwa, al-Kafi Li al-Fatawi dan lain-lain adalah suatu penerangan dan penjelasan hukum hakam sebagai panduan masyarakat awam dan tidak semestinya ia telah diwartakan.

Huraian Jawapan

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan oleh para ulama mengenai maksud fatwa. Antara definisi yang lengkap ialah definisi yang diberikan oleh al-Hattab, seorang ulama bermazhab Maliki, beliau berkata:

الإخبار عن حكم شرعي، لا على وجه الإلزام

Maksudnya: “Mengkhabarkan sesuatu hukum syarak bukan dalam bentuk kemestian (tanpa mengikat).” [1]

Perkataan tanpa mengikat penting kerana sekiranya fatwa bersifat mengikat, maka sudah pasti ia akan menyamai qada’ (kehakiman) dan menjadi satu keputusan yang mengikat orang ramai.

Walau bagaimanapun, pengamalan fatwa di Malaysia berbeza kerana apabila fatwa tersebut diwartakan, maka ia dianggap sebagai undang-undang dan setiap individu muslim di negeri terbabit terikat dengan fatwa tersebut. Mereka yang melanggar fatwa yang diwartakan akan dianggap melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Perkara ini boleh dirujuk dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997, Seksyen 9.

Selain itu, ulama kontemporari juga memberi maksud yang hampir selari dengan pemakaian di Malaysia. Majma’ al-Fiqh al-Islami memutuskan bahawa fatwa adalah penjelasan hukum terhadap sesuatu pertanyaan yang diberikan. Adakala bukan sahaja menjawab pertanyaan bahkan untuk penjelasan hukum berkaitan isu-isu semasa untuk memperbaiki keadaan dan tindakan orang awam.[2]

Justeru itu, klasifikasi fatwa amalan di Malaysia boleh dilihat dalam beberapa pembahagian.

Pembahagian Fatwa

Pertama ialah fatwa rasmi yang dikeluarkan sama ada oleh mufti sendiri atau majlis melalui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak. Kemudian diwartakan di dalam Warta Kerajaaan melalui peruntukan Akta Pentadbiran Undang- Undang Islam (Wilayah–Wilayah Persekutuan) 1993 AKTA 505 di bawah Seksyen 34.

Fatwa yang diwartakan ini merupakan fatwa yang diakui oleh mahkamah dan mengikat semua pihak dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan. Fatwa ini juga dikenali sebagai Fatwa Warta.

Oleh itu, fatwa kategori pertama ini mempunyai implikasi perundangan apabila sudah diwartakan dan mengikut prosedur-prosedur tertentu berdasarkan peruntukan perundangan setiap negeri melalui Tatacara Pembuatan Fatwa. Tindakan perundangan akan dikenakan bagi individu atau pihak yang melanggar fatwa tersebut dan boleh didakwa di bawah Seksyen 9. Menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama dan Seksyen 12. Pendapat yang bertentangan dengan fatwa di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559 khususnya bagi Wilayah-wilayah Persekutuan.

Manakala, kategori yang kedua juga merupakan fatwa rasmi yang dikeluarkan oleh mufti bersama Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak melalui persidangan atau perbincangan namun fatwa itu tidak diwartakan di dalam Warta Kerajaan bagi sesuatu Negeri.

Fatwa bagi kategori ini tidak berkuat kuasa ke atas mana-mana individu, badan atau mahkamah. Ia hanyalah sebagai jawapan atau penjelasan kepada orang yang masih tidak jelas mengenai sesuatu hukum secara peribadi. Fatwa ini dikenali sebagai Fatwa Tidak Warta.

Kategori ketiga ialah pendapat yang diberikan oleh mufti secara perseorangan atau fatwa yang dikeluarkan sendiri oleh mufti tanpa melalui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak atau penjelasan hukum dari pembantunya atau pegawai-pegawai penyelidiknya dengan kebenaran dari Mufti.

Dalam melaksanakan tanggungjawab kefatwaan dan penjelasan hukum PMWP telah  membuat penjelasan melalui platform seperti Bayan Linnas atau Irsyad Fatwa dan lain-lain yang disiarkan dalam web atau facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Apa-apa yang disiarkan tidak semestinya fatwa yang diwartakan bahkan kebiasaannya jika ia melibatkan isu yang telah diwartakan kami akan menyatakan secara jelas dalam siaran berkenaan

Kesimpulan

Secara asas, kategori fatwa-fatwa yang telah dinyatakan adalah berperanan sebagai suatu pandangan hukum untuk memberi penjelasan mengenai persoalan agama. Namun sebahagiannya boleh mengikat sesuatu pihak apabila melalui beberapa proses dan diwartakan mengikut peruntukan perundangan setiap negeri.

Walaubagaimanapun, masyarakat awam dinasihatkan agar mengikuti segala pandangan hukum atau penjelasan permasalahan berkaitan hukum hakam kehidupan harian walaupun tidak mengikat mana-mana individu secara perundangan. Perkara ini ditegaskan oleh para ulama bahawa kedudukan fatwa mufti berperanan besar dalam pengukuhan hukum syarak sebagai panduan untuk masyarakat. Seperti firman Allah SWT:

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

Surah al-Nahl (43)

Hal ini juga selari dengan kaedah yang dibahaskan oleh para ulama:

مَذْهَبُ الْعَامِيِّ فَتْوَى مُفْتِيهِ

Maksudnya: Mazhab orang awam berdasarkan fatwa muftinya[3]

Oleh itu jadual di bawah adalah ringkasan mengenai pembahagian fatwa:

Jenis Fatwa

Maksud

Implikasi Perundangan

 

 

Fatwa Warta

Fatwa yang diputuskan oleh Mufti atau Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak dan diwartakan melalui warta kerajaan.

Sebagai undang-undang dan semua orang Islam di negeri tersebut terikat dengan fatwa tersebut.

 

 

Fatwa Tidak Warta

Fatwa yang diputuskan oleh Mufti atau Jawatankuasa Perundingan  Hukum Syarak dan diputuskan untuk tidak diwartakan.

Tidak dijadikan sebagai undang-undang tetapi sebagai panduan dan penjelasan hukum.

 

 

Pandangan Hukum/Fatwa Persendirian

Jawapan-jawapan lisan atau bertulis Mufti atau pembantunya yang dijawab secara langsung atau pada tempoh-tempoh yang tertentu kepada pihak-pihak yang bertanya dan memohon fatwa tentang masalah agama.

Wallahua’alam

[1] Al-Hattab, Muhammad bin Muhammad. (1992). Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil (Jilid 1). Beirut: Dar al-Fikr.

[2] Majma’ al-Fiqh al-Islami, Qarar: 153 (17/2), Daurah 17, 2006 m

الإفتاء بيان الحكم الشرعي عند السؤال عنه، وقد يكون بغير سؤال ببيان حكم النازلة لتصحيح أوضاع الناس وتصرفاتهم.

[3] Al-Dahlawi, al-Insaf fii Bayan Asbab al-Ikhtilaf, Dar al-Nafais:Beirut, Jld.1, Hlm.107.