Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-686: HUKUM TUNANG PASANGAN BUKAN ISLAM YANG BERNIAT MEMELUK ISLAM

 

Irsyad Fatwa 686

Soalan: 

Assalamualaikum SS Datuk. Saya ada persoalan sekiranya seseorang itu ingin bertunang tetapi pasangannya belum memeluk Islam, jadi apakah hukum pertunangan tersebut  ? Mohon penjelasan. 

 

Ringkasan Jawapan: 

Haram bagi orang Islam bertunang dengan orang bukan Islam meskipun mempunyai niat untuk memeluk Islam. Larangan ini adalah satu jalan untuk menutup pintu kerosakan seperti berlakunya perkahwinan yang terlarang. Oleh itu, dalam situasi ini kami sarankan kepada pasangan tersebut supaya memeluk Islam terlebih dahulu sebelum bertunang serta mempelajari sedikit demi sedikit tentang agama Islam.  

 

Huraian Jawapan: 

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, “pertunangan” bermaksud mengikat janji antara lelaki dan wanita sebelum melangkah ke alam perkahwinan.[1] Dari perspektif Islam pula ialah merujuk kepada tuntutan atau hajat seorang lelaki kepada wanita untuk berkahwin melalui cara-cara yang diketahui oleh masyarakat.[2]  

Pertunangan diiktiraf di dalam Islam sebagai ikatan perkenalan antara lelaki dan perempuan bahkan syarak menyarankan umatnya untuk berkenalan dahulu sebelum berkahwin. Sesungguhnya Allah SWT telah menyatakan hal ini di dalam firman-Nya:  

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ

Maksudnya: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

(Surah al-Baqarah: 235)

Merujuk kepada ayat di atas, Imam al-Tabari menjelaskan bahawa harus bagi seorang lelaki mengikat pertunangan dengan seorang wanita yang disukainya. Begitu juga terdapat keharusan untuk meminang perempuan yang sedang beriddah kerana kematian suami secara Ta’ridh (bukan lafaz yang terang-terangan).[3] 

(Rujuk Tafsir al-Tabari: j5 h95)

Atas maksud tersebut, maka dapat difahami bahawa ikatan pertunangan boleh dianggap semacam ikatan rasmi ‘pra-perkahwinan’ yang merupakan satu bentuk penzahiran komitmen pasangan tersebut untuk melangsungkan perkahwinan dalam tempoh yang ditentukan. Malah syarat pertunangan berkemungkinan terikat seperti mana syarat perkahwinan seperti beragama Islam dan halal untuk dinikah.[4]

Tambahan lagi, Agama Islam turut melarang mana-mana individu untuk meminang pasangan yang telah bertunang seperti mana dalam sepotong hadis yang diriwayat oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَبِيعَ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَلاَ يَخْطُبَ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang membeli di atas belian orang lain dan meminang di atas pinangan orang lain.”

(Riwayat Bukhari: 5142)

Menurut riwayat di atas, sudah jelas lagi nyata tentang hukum peminangan ke atas pinangan orang lain. Malah, Sheikh Badr al-Din al-‘Aini menjelaskan bahawa  dilarang bagi seseorang untuk mengikat pertunangan dengan tunangan orang lain.[5] 

Di dalam isu bertunang dengan pasangan bukan Islam, sesungguhnya pertunangan ini bukan sahaja satu fasa pengenalan semata-mata malah ia merupakan sebuah penzahiran komitmen untuk berkahwin dengan pasangan tersebut. Justeru itu, agama Islam tidak mengharuskan perbuatan yang sedemikian. Malah Allah SWT melarang umat Islam berkahwin dengan orang kafir seperti mana dalam firman-Nya: 

وَلَا تَنكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.”

(Surah al-Baqarah: 221)

Berdasarkan ayat berikut, dapat difahami bahawa orang Islam dan orang kafir tidak sekufu sebagai pasangan bahkan hamba wanita mukmin lebih baik dari wanita kafir. Tambahan lagi, Ibnu Kathir menafsirkan ayat berikut bahawa larangan bagi lelaki Islam mengahwini wanita kafir melainkan wanita dalam kalangan ahli kitab.[6] Selain itu, di dalam hal ini agama Islam telah menetapkan satu kaedah yang dinamakan “Sadd al-Zari‘ah” iaitu menutup pintu yang membawa kepada kemungkaran seperti perkahwinan yang terlarang. 

Oleh yang demikian, haram bagi orang Islam mengikat pertunangan dengan mana-mana pasangan yang bukan Islam kerana tujuan pertunangan itu sendiri bukan sahaja dianggap sebagai proses pengenalan antara pasangan malah ia juga suatu perjanjian sebelum melangkah alam perkahwinan. Meskipun bakal pasangan tersebut mempunyai niat untuk mempelajari dan memeluk Islam, namun Agama Islam telah menetapkan satu kaedah iaitu: 

الغاية لا تبرر الوسيلة إلا بدليل

Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara melainkan dengan dalil”.[7]

Kesimpulan: 

Haram bagi orang Islam bertunang dengan orang bukan Islam meskipun mempunyai niat untuk memeluk Islam. Larangan ini adalah satu jalan untuk menutup pintu kerosakan seperti berlakunya perkahwinan yang terlarang. Oleh itu, dalam situasi ini kami sarankan kepada pasangan tersebut supaya memeluk Islam terlebih dahulu sebelum bertunang serta mempelajari sedikit demi sedikit tentang agama Islam.  

Wallahu A’lam.

[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pertunangan diakses pada: 18/4/2022.

[2] Al-Zuhaili, Wahbah bin Mustafa. 1418H. Al-Tafsir Al-Munir fi Al-‘Aqidah wa Al-Syariah wa Al-Manhaj. kCetakan 2. Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu’asirah. J2 h376. Teks asal:

 طلب الرجل المرأة للزواج بالوسائل المعروفة بين الناس

[3] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. (2000). Jami’ al-Bayan fi Ta’wail al-Quran. Tahkik: Ahmad Muhammad Syakir. Cetakan 1. Muassasah al-Risalah. J5 hlm95. Teks Asal:

قال أبو جعفر: يعني تعالى ذكره بذلك: ولا جناح عليكم، أيها الرجال، فيما عرضتم به من خطبة النساء، للنساء المعتدات من وفاة أزواجهن في عددهن، ولم تصرحوا بعقد نكاح

[4] http://www.fatawah.net/Fatawah/73.aspx diakses pada 5/3/2022. Teks:

وبيّنت الصفات التي ينبغي للرجل أن يحرص على توفرها في شريكة حياته ، ومنها :

-الدين والخلق

يشترط لإباحة خطبة امرأة معينة أن تتوفر فيها الشروط التالية :

-أن تكون المرأة محلاً للزواج

[5] Al-‘Aini, Badr al-Din. (T.T). ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy. J20 hlm132. Teks asal:

 هَذَا بَاب فِي بَيَان لَا يخْطب الرجل على خطْبَة أَخِيه

[6] Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir. (1999M) Tafsir al-Quran al-‘Azim. Tahkik: Sami bin Muhammad Salamah. Cetakan 2. Dar al-Tayyibah. J1 hlm582. Teks asal:

 اسْتَثْنَى اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ نِسَاءَ أَهْلِ الْكِتَابِ

[7] Al-Sa’idani, Walid bin Rasyid. (TT). Talqih al-Afham al-‘Aliyyah bi Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah. J3 hlm23