Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-695: MAKMUM MASBUQ KETIKA IMAM TAHIYAT AKHIR, PERLU MEMBACA TAHIYAT AKHIR ATAU AWAL?

 

if695 new

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada persoalan iaitu jika makmum yang masbuq berjemaah dengan imam yang sedang tahiyat akhir, adakah makmum tersebut perlu membaca bacaan tahiyat akhir atau awal?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Apabila makmum masbuq berjemaah bersama imam yang sedang keadaan duduk pada tahiyat akhir, maka makmum disunatkan membaca bacaan tahiyat akhir juga iaitu termasuk selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan selepas daripada itu.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama hendaklah difahami terlebih dahulu maksud makmum muwafiq dan masbuq. Makmum yang muwafiq ialah makmum yang mempunyai masa yang cukup untuk membaca al-Fatihah selepas takbiratul ihram dengan bacaan kadar kelajuan sederhana ketika imam sedang berdiri pada rakaat pertama.[1]

Manakala makmum yang tidak sempat menyempurnakan bacaan al-Fatihah selepas takbiratul ihram pada rakaat pertama dan berjemaah bersama imam selepas itu maka ia merupakan makmum masbuq.[2]

Dalam hal ini seorang makmum sama ada masbuq atau muwafiq hendaklah mengikut kepada imamnya dalam solat berjemaah. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا رَكَعَ، فَارْكَعُوا وَإِذَا رَفَعَ، فَارْفَعُوا

Maksudnya: Sesungguhnya imam itu untuk diikuti. Justeru apabila dia rukuk maka hendaklah kalian rukuk. Apabila dia berdiri untuk iktidal, maka hendaklah kalian berdiri iktidal.

Riwayat al-Bukhari (688) dan Muslim (412)

Oleh yang demikian, makmum hendaklah mengikuti kepada perbuatan zahir imam dalam solat berjemaah. Apabila makmum mengikuti imam ketika sedang duduk tahiyyat akhir, maka hendaklah makmum membaca bacaan tahiyat akhir.

Ini sepertimana yang disebutkan dalam banyak kitab Fiqh al-Syafie, antaranya dijelaskan oleh Imam Zakaria al-Ansari bahawa:

أَمَّا الْمَسْبُوقُ إذَا أَدْرَكَ رَكْعَتَيْنِ مِنْ الرُّبَاعِيَّةِ فَإِنَّهُ يَتَشَهَّدُ مَعَ الْإِمَامِ تَشَهُّدَهُ الْأَخِيرَ وَهُوَ أَوَّلُ لِلْمَأْمُومِ وَلَا يُكْرَهُ لَهُ الدُّعَاءُ فِيهِ بَلْ يُسْتَحَبُّ.

Maksudnya: Adapun makmum yang masbuq, jika dia sempat mengikut imam dua rakaat terawal daripada solat empat rakaat, maka dia hendaklah membaca bacaan tahiyat akhir bersama imam walaupun ia merupakan tahiyat awal baginya(makmum). Selain itu, tidak makruh baginya untuk membaca doa yang lain ketika duduk tahiyat tersebut bahkan disunatkan. [3] (Rujuk Asna al-Mathalib, 1:166)

Apa yang dimaksudkan dengan ‘doa’ tersebut ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan selepas itu daripada bacaan tahiyat akhir. Ini apa yang disebutkan oleh Imam al-Syarwani dalam Hasyiah-nya bahawa:

 وَالْمُرَادُ بِالدُّعَاءِ الصَّلَاةُ عَلَى الْآلِ وَمَا بَعْدَهُ كَمَا يُصَرِّحُ بِهِ مَا يَأْتِي عَنْ سم وَقَوْلُهُ م ر أَنَّهُ لَا يُكْرَهُ لَهُ الدُّعَاءُ إلَخْ وَمِنْهُ الصَّلَاةُ عَلَى الْآلِ كَمَا نَقَلَهُ سم عَلَى حَجّ عَنْ إفْتَاءِ الشِّهَابِ الرَّمْلِيِّ اهـ

Maksudnya: Apa yang dimaksudkan dengan doa tersebut ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan yang selepasnya daripada tahiyat akhir seperti yang dijelaskan Imam Ahmad Ibn Qasim al-’Abadi. Kata beliau iaitu Imam Syamsuddin al-Ramli, bahawa tidak dimakruhkan baginya doa, antaranya ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW seperti dinyatakan oleh Imam al-’Abadi daripada Ibn Hajar al-Haitami dinukil daripada fatwa Imam Syihabuddin al-Ramli.[4] (Rujuk Hasyiah al-Syarwani, 2:87)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa makmum masbuq yang berjemaah bersama imam yang sedang keadaan tahiyat akhir, maka makmum disunatkan membaca bacaan tahiyat akhir juga iaitu termasuk selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan selepas daripada itu.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] وَإِن وجد الإِمَام فِي الْقيام قبل أَن يرْكَع وقف مَعَه فَإِن أدْرك مَعَه قبل الرُّكُوع زَمنا يسع الْفَاتِحَة بِالنِّسْبَةِ للوسط المعتدل فَهُوَ مُوَافق فَيجب عَلَيْهِ إتْمَام الْفَاتِحَة وَيغْتَفر لَهُ التَّخَلُّف بِثَلَاثَة أَرْكَان طَوِيلَة كَمَا تقدم. (راجع نهاية الزين في إرشاد المبتدئين، ج 1، ص 124)

[2] وَإِن لم يدْرك مَعَ الإِمَام زَمنا يسع الْفَاتِحَة فَهُوَ مَسْبُوق يقْرَأ مَا أمكنه من الْفَاتِحَة وَمَتى ركع الإِمَام وَجب عَلَيْهِ الرُّكُوع مَعَه. (راجع نهاية الزين في إرشاد المبتدئين، ج 1، ص 124)

[3] Al-Ansari, Zakaria, t.t, Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh al-Talib, Dar Kitab al-Islami, Beirut, jld. 1, hlmn. 166.

[4] Al-Syarwani, Abdul Hamid, 1983, Hasyiah al-Syarwani ala Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, Dar Ihya al-Turath al-Arabiy, Beirut, jld 2, hlmn. 87.