Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE -714 : HUKUM BEKUKAN OVUM KERANA LAMBAT NIKAH

 

BEKUKAN min

 

Soalan

Assalammualaikum, adakah boleh perempuan bujang bekukan ovum siap-siap untuk disimpan dulu? Kemudian, apabila dah  jumpa pasangan untuk berkahwin, barulah disenyawakan dan diteruskan proses-proses lain. Saya rasa khuatir akan menopause dan mengalami masalah kesuburan sebelum berkahwin kerana saya semakin berusia.

Ringkasan Jawapan

Hukum mengeluarkan benih sebelum akad nikah untuk disenyawakan selepas berkahwin adalah haram. Bahkan membekukan ovum kerana lambat berkahwin dengan sangkaan tidak subur pada masa hadapan adalah alasan yang tidak boleh diterima syarak kerana ia bukan dalam lingkungan pengetahuan kita sebagai manusia. Justeru itu, hukum bekukan ovum atas alasan tersebut adalah haram.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pembekuan Ovum 

Oocyte cryopreservation adalah satu kaedah pembekuan dan penyimpanan telur (oosit, ovum, sel telur wanita) yang matang untuk kegunaan pada masa akan datang. Telur atau oosit ini akan dikeluarkan daripada ovari dan disimpan di dalam cecair nitrogen (LN2) pada suhu yang rendah. Kebiasaanya pembekuan telur ini dilakukan oleh pesakit kanser yang sudah berkahwin sebelum menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi. Kemudian, oosit yang sama yang telah disimpan tadi digunakan untuk mendapatkan anak melalui Teknologi Bantuan Pembiakan atau Assisted Reproductive Technology (ART) dengan pasangannya.[1]

Proses Pengumpulan Ovum

Oocyte pick-up (OPU) / pengambilan oosit merupakan proses mengeluarkan telur atau ovum dari organ persenyewaan wanita. Pengeluaran oosit (oocyte retrieval) dari ovari hanya boleh dilakukan secara invasive iaitu dengan menggunakan kaedah stimulasi ovari untuk menghasilkan oosit yang banyak, kemudian oosit diekstrak daripada ovari menggunakan jarum dengan bantuan transvaginal ultrasound. Prosedur ini dilakukan di dewan bedah dengan bius penuh (general anaesthesia). Prosedur perolehan dan penyimpanan oosit hendaklah direkodkan dan disahkan oleh dua orang pengamal perubatan.[2]  Prosedur ini juga yang digunakan semasa rawatan in-Vitro Fertilisation (IVF) untuk mengeluarkan telur daripada ovari isteri.

Mengeluarkan Ovum Sebelum Akad Nikah

Mengeluarkan sperma bagi lelaki dan ovum bagi perempuan atau perbuatan meminta mengeluarkan air mani adalah sama maksudnya dengan istilah istimna’ (استمناء). Istimna’ pada sudut bahasa menurut fuqaha ialah mengeluarkan mani dengan tapak tangan dan seumpamanya bukan dengan cara bersetubuh.[3]

Pada sudut istilah, mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”. Adapun istimna’ pula adalah keinginan (permintaan) untuk mengeluarkan air mani dalam keadaan sedar dengan apa cara sekalipun, dan ia berlaku dalam kalangan lelaki dan juga wanita. [4]

Secara umumnya, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang dan ditegah dalam Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah ‎SWT:

  (7) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ 

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

Surah al-Mu’minun (5-7)

Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengatakan haram kerana ia membawa kepada putusnya keturunan, maka ia diharamkan sepertimana liwat.[5]

Imam al-Nawawi juga mengatakan hukum istimna’ / masturbasi mengeluarkan air mani dengan tangan sendiri adalah haram, dan ramai dari kalangan alim ulama’ yang berpegang dengannya. Ibn ‘Abbas pernah berkata: “Mengahwini hamba perempuan adalah lebih baik darinya (mengeluarkan mani dengan sengaja)”. Mereka kesemuanya berpegang pada dalil yang sama iaitu pada surah al-Mu’minun ayat 5-7. Perkara ini juga turut diakui oleh pakar-pakar fisiologi dan juga doktor-doktor perubatan bahawa perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja boleh membawa kepada pembunuhan keinginan seksual dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu tidak dapat mengeluarkannya (air mani) ketika persetubuhan melainkan dengan cara mengeluarkannya sendiri dengan menggunakan tangan seterusnya mengabaikan tanggungjawabnya dan tugasnya sebagai seorang suami. Perbuatan ini juga membunuh fungsi alatnya (kemaluan) atau mengurangkan kebersamaan suami isteri. Maka, kesemua kerosakan dan juga keburukan ini amatlah dilarang daripada berlaku ke atas diri manusia.[6]

Walaupun kaedah mengeluarkan ovum yang dilakukan dengan suntikan sedutan ovum (oocyte retrieval) bukan dengan cara istimna’, namun ia berlaku sebelum wanita tersebut berkahwin kerana risau pada usia menopause tiada ovum yang boleh dihasilkan.

Hal ini kerana apa-apa kaedah mengeluarkan mani sebelum akad adalah dilarang melainkan mengeluarkan mani dalam tempoh perkahwinan. Imam Qalyubi berkata:

“Bukan sesuatu yang diharamkan jika lelaki masturbasi dengan tangan isteri, begitu juga air mani yang keluar ketika tidur biarpun ada wanita asing (bukan isteri) yang memasukkan zakarnya ke dalam faraj semasa dia sedang tidur. Demikian juga jika isteri memasukkan air mani (suami) ke dalam faraj kemudian dia mengandungkan anaknya. al-Zarkasyi berpendapat dalam perkara ini anak yang lahir itu hendaklah dinasabkan kepada bapanya kerana berlaku percantuman dalam tempoh perkahwinan (firasy).”[7]  

Berdasarkan kenyataan fuqaha’ tersebut, anak yang lahir daripada air mani seseorang lelaki yang keluar dalam tempoh perkahwinan, maka boleh dinasabkan anak kepada bapanya.

Oleh itu, hukum mengeluarkan air mani sebelum bernikah adalah haram berdasarkan pengharaman istimna’ (mengeluarkan air mani) bagi lelaki dan wanita yang bukan dalam tempoh perkahwinan. Adapun, mengeluarkan ovum dengan kaedah suntikan adalah dilarang kerana “illah” sebelum akad perkahwinan. Penentuan menasabkan anak juga mestilah dalam tempoh perkahwinan bagi tujuan menjaga keturunan (Hifz Nasl).

Justeru, hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudian dibuat persenyawaan dalam tempoh perkahwinan adalah haram.

Memelihara keturunan (Hifz Nasl)

Pengharaman pengeluaran oosit sebelum berkahwin ini juga bertepatan dengan maqasid syariah dalam menjaga keturunan.

Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan. Parameter untuk menentukan pengesahan nasab anak yang lahir adalah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan yang sah berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha Rasulullah SAW bersabda:

الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Maksudnya: Nasab anak kepada perkahwinan yang sah manakala bagi penzina itu hukuman rejam.

Riwayat al-Bukhari (6749)

Oleh yang demikian, menjaga keturunan adalah dengan cara melalui hubungan seksual yang halal setelah terlafaznya akad nikah.

Sangkaan yang Belum Berlaku

Alasan membekukan ovum kerana lambat kahwin dan risau akan mengalami menopaus adalah perkara sangkaan yang belum berlaku. Dalam hal ini para ulama menjelaskan sesuatu syariat tidak boleh dibina di atas perkara sangkaan semata-mata. Antaranya Sheikh Ibn ‘Asyur menjelaskan:

فعلمنا أن البناء على الأوهام مرفوض في الشريعة إلا عند الضرورة، فقضينا بأن الأوهام غير صالحة لأن تكون مقاصد شرعية

Maksudnya:”Maka kita telah mengetahui bahawa syariat yang terbina dengan jalan sangkaan adalah ditolak dan tidak diterima melainkan dalam keadaan darurat, maka kita menghukumkan bahawa sangkaan itu tidak boleh dijadikan sebagai tujuan syarak (maqasid syariah).”[8]

Oleh yang demikian, perkara sangkaan tidak boleh dijadikan hujah syarak mahupun alasan untuk membenarkan mengeluarkan ovum sebelum akad nikah.

Fatwa-Fatwa Berkaitan Benih (ovum/sperma)

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tahun 2003 dan 1981 berkaitan isu mencantumkan benih dan bank mani:

  1. Hukum mencantumkan benih
  • Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram
  • Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus.[9]
  1. Berkenaan Bank Air Mani:
  • Mengadakan bank air mani adalah haram.
  • Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.
  • Permanian beradas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram/ terhormat (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam.
  • Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram.[10]

Penutup

Setelah meneliti hujah yang dibentangkan, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang. Sementara, hukum benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya akan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan adalah haram. Hal ini kerana menjaga keturunan adalah dengan cara melalui hubungan seksual yang halal setelah terlafaznya akad nikah. Bahkan alasan lambat kahwin dengan menjangkakan pada masa hadapan yang bukan dalam kadar pengetahuan kita adalah alasan yang tidak boleh diterima oleh syarak. 

 

RUJUKAN

 

[1] Laman Rasmi Pusat Perubatan Universiti Malaya. Artikel “Ketidaksuburan dan Reproduktif” https://www.ummc.edu.my/services/senarai_infertility_details.asp?kodBM=1&keyid=.

Dirujuk pada 18 Februari 2022.

[2] Hasil penelitian wakil penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2019.

[3] : إخراج المني بغير الوطء، بالكف ونحوه... Masturbation 2-لغة الفقهاء (الاستمناء)

https://www.almougem.com/search.php?query=%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D9%85%D9%86%D8%A7%D8%A1

[4] الموسوعة الفقهية الكويتية (4/ 97 & 98) الاِسْتِمْنَاءُ: مَصْدَرُ اسْتَمْنَى، أَيْ طَلَبَ خُرُوجَ الْمَنِيِّ

وَاصْطِلاَحًا: إخْرَاجُ الْمَنِيِّ بِغَيْرِ جِمَاعٍ، مُحَرَّمًا كَانَ، كَإِخْرَاجِهِ بِيَدِهِ اسْتِدْعَاءً لِلشَّهْوَةِ، أَوْ غَيْرَ مُحَرَّمٍ كَإِخْرَاجِهِ بِيَدِ زَوْجَتِه

أَمَّا الاِسْتِمْنَاءُ فَلاَ بُدَّ فِيهِ مِنِ اسْتِدْعَاءِ الْمَنِيِّ فِي يَقَظَةِ الْمُسْتَمْنِي بِوَسِيلَةٍ مَا. وَيَكُونُ الاِسْتِمْنَاءُ مِنَ الرَّجُل وَمِنَ الْمَرْأَةِ.

[5] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din.  al-Majmu’ Syarh al-Muhadzza, Dar al-Fikr. J: 20 p: 31).

ويحرم الاستمناء لقوله عز وجل (والذين هم لفروجهم حافظون الا على أزواجهم أو ما ملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين) ولانها مباشرة تفضى إلى قطع النسل فحرم كاللواط.

[6] المجموع شرح المهذب (16/ 421)

يحرم الاستمناء، وهو إخراج الماء الدافق بيده، وبه قال أكثر أهل العلم، وقال ابن عباس: نكاح الامة خير منه وهو خير من الزنا، وروى أن عمرو ابن دينار رخص فيه عند الاضطرار وخوف الهلكة، وبه قال أحمد رضى الله عنه.

دليلنا قوله تعالى (والذين هم لفروجهم حافظون إلا على أزواجهم أو ما ملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين، فمن ابتغى وراء ذلك فأولئك هم العادون) وقد قرر علماء وظائف الاعضاء والطب البشرى أن الاستمناء مفض إلى قتل الرغبة الجنسية، ويجعل المرء لا ينتشر عند الوقاع إلا إذا أستمنى بيده مما يعطل وظيفته كزوج، ويقتل صلاحية عضوه أو يقلل كفاءته الزوجية، وكل هذا من المفاسد المنهى عنها

[7]  Qalyubi (1995), Hasyiah Qalyubi wa Umairah (Beirut:  Dar-al-Fiqh). 3/242

وَلَيْسَ مِنْ الْمُحَرَّمِ الِاسْتِمْنَاءُ بِيَدِ حَلِيلَتِهِ، وَلَا الْخَارِجُ فِي نَحْوِ نَوْمٍ وَلَوْ بِاسْتِدْخَالِ أَجْنَبِيَّةٍ ذَكَرَهُ، وَشَمِلَ مَا ذُكِرَ مَا لَوْ اسْتَدْخَلَتْهُ زَوْجَتُهُ وَحَمَلَتْ مِنْهُ لَكِنْ قَالَ الزَّرْكَشِيُّ فِي هَذِهِ: يَنْبَغِي أَنَّهَا نَسِيبَةٌ؛ لِأَنَّهَا لَاحِقَةٌ لَهُ بِالْفِرَاشِ،

[8] Ibn Asyur, Maqasid al-Syariah Islamiyyah, p: 277) https://al-maktaba.org/book/33139/277

[9] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15268

[10] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15226