Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-718: HUKUM PEREMPUAN MELEWATKAN SOLAT SEHINGGA DATANG HAID

Screenshot 2022 08 31 at 1.03.17 PM

 

Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya apakah hukum jika saya solat Zuhur contohnya lewat tapi belum sempat saya nak solat tiba-tiba saya kedatangan haid adakah saya berdosa dan perlukah saya menqada solat tersebut?

 

Ringkasan Jawapan

Jika seseorang wanita itu memiliki masa yang cukup untuk dia menunaikan solat lalu tiba-tiba dia kedatangan haid maka dia wajib mengqada solat tersebut apabila dia suci dari haid. Namun jika tempoh tersebut tidak memungkinkan dia untuk menunaikan solat maka dia tidak wajib untuk mengqada solat tersebut. Melewatkan solat sehingga kedatangan haid tidaklah berdosa selagi mana dia berazam ketika masuknya waktu untuk menunaikan solat sebelum habisnya waktu solat.

 

Huraian Jawapan

Menunaikan solat di awal waktu merupakan antara sebaik-baik amalan. Walau bagaimanapun melewatkan solat selagi tidak luput waktu solat tidaklah berdosa. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

أفضل الأعمال الصَّلَاةُ لِوَقْتِهَا وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ

Maksudnya : Sebaik-baik amalan ialah solat pada waktunya dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”

(Riwayat Muslim)

Imam Ibn Hajar ketika menjelaskan hadis ini berkata: hadis ini menunjukkan bahawa melakukan solat di awal waktu adalah lebih afdal berbanding melakukannya di akhir waktu[1].

Walau bagaimanapun melaksanakan solat di awal waktu bukanlah suatu yang wajib. Harus untuk melewatkan solat dengan syarat dia berazam untuk melaksanakannya sebelum keluar waktu. Apabila masuknya waktu solat jika seseorang itu tidak melaksanakan solat dan tidak pula berazam untuk melakukannya sebelum berakhirnya waktu maka dia berdosa. Namun jika dia telah berazam untuk menunaikan solat sebelum berakhirnya waktu kemudian dia terhalang untuk melaksanakannya maka dia tidak berdosa kerana dia tidak dianggap meninggalkannya dengan sengaja[2].

Bagi kes wanita yang berada dalam keadaan suci ketika masuk waktu sembahnyang namun kemudian dia didatangi haid maka terdapat perincian, jika tempoh antara masuknya waktu dan kedatangan haid tersebut memungkinkan untuk dia melakukan solat maka dia wajib mengqada semula solat tersebut setelah dia suci. Namun jika tempohnya tidak memungkinkan mereka untuk menunaikan solat maka dia tidak perlu mengqadakannya. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

إِذَا أَدْرَكَتْ مِنْ أَوَّلِ الْوَقْتِ قَدْرَ الْإِمْكَانِ ثُمَّ حَاضَتْ أَنَّهُ يَلْزَمُهَا الْقَضَاءُ،

Maksudnya: “Jika seorang wanita mendapati ketika awal waktu tempoh yang memungkinkan dia (untuk melaksanakan solat) kemudian dia kedatangan haid maka dia wajib menqada solat tersebut[3].”

Imam al-Mahalli pula menjelaskan bahawa Jika seorang wanita itu kedatangan haid atau nifas pada awal waktu dan dia memiliki tempoh yang cukup untuk dia menunaikan solat seringkas mungkin maka dia wajib mengqada solat tersebut kerana dia boleh melaksanakan solat tersebut sekiranya dia tidak kedatangan haid. Manakala jika dia tidak mendapati tempoh yang cukup untuk dia melaksanakan solat maka dia tidak wajib untuk mengqadakannya[4].

Kesimpulannya, Jika seseorang Wanita itu memiliki masa yang cukup untuk dia menunaikan solat lalu tiba-tiba dia kedatangan haid maka dia wajib mengqada solat tersebut apabila dia suci dari haid. Namun jika tempoh tersebut tidak memungkinkan dia untuk menunaikan solat maka dia tidak wajib untuk mengqada solat tersebut. Melewatkan solat sehingga kedatangan haid tidaklah berdosa selagi mana dia berazam ketika masuknya waktu untuk menunaikan solat sebelum habisnya waktu solat.

 

[1] Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Kitab al-Islami (1993), jld. 2, hlm. 9.

 قال بن بطال فيه أن البدار إلى الصلاة في أول أوقاتها أفضل من التراخي فيها لأنه إنما شرط فيها أن تكون أحب الأعمال إذا أقيمت لوقتها المستحب

[2] Imam al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri, Beirut: Dar al-Minhaj (2016), jld. 1, hlm. 182.

وقوله : (وجوباً موسعاً) أي موسعاً فيه لأنه لا يجب الصلاة بأول الوقت على الفور بل يجوز تأخيرها إلى أن يبقى من الوقت ما يسعها لكن إن لم يفعلها في أول وقتها عليه العزم على فعلها قبل خروج الوقت فيجب عليه بدخول الوقت أحد أمرين : أما الفعل أو العزم عليه في الوقت، لم يفعل ولم يعزم أثم فإذا عزم على الفعل فيه ولم يفعل ومات مع اتساع الوقت لا يموت عاصياً لأن لها وقتاً محدوداً

ث لو أخرجها عنه لأثم،

[3] Imam al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, Beirut: al-Maktab al-Islami (1991), hlm. 390, jld. 1.

[4] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlasi Umairah, Hasyiah Qalyubi wa Umairah, Beirut: Dar al-Fikr (1995), jld. 1, hlm. 142.

وَلَوْ حَاضَتْ) أَوْ نَفِسَتْ (أَوْ جُنَّ) أَوْ أُغْمِيَ عَلَيْهِ (أَوَّلَ الْوَقْتِ) وَاسْتَغْرَقَهُ مَا ذَكَرَ (وَجَبَتْ تِلْكَ) الصَّلَاةُ (إنْ أَدْرَكَ) مَنْ عَرَضَ لَهُ ذَلِكَ قَبْلَ مَا عَرَضَ (قَدْرَ الْفَرْضِ) أَخَفُّ مَا يُمْكِنُهُ لِتَمَكُّنِهِ مِنْ فِعْلِهِ بِأَنْ كَانَ مُتَطَهِّرًا، فَإِنْ لَمْ تُجْزِئْ طَهَارَتُهُ قَبْلَ الْوَقْتِ كَالْمُتَيَمِّمِ اُشْتُرِطَ إدْرَاكُ زَمَنِ الطَّهَارَةِ أَيْضًا (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يُدْرِكْ قَدْرَ الْفَرْضِ (فَلَا) تَجِبُ تِلْكَ الصَّلَاةُ لِعَدَمِ التَّمَكُّنِ مِنْ فِعْلِهَا.