Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-720: MEMILIH PEMIMPIN BERDASARKAN WANG HARTA DAN KEKAYAAN

Template IF page 001 2

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya ingin tanya, apa hukum kita memilih pemimpin berdasarkan wang harta yang diberi atau kekayaan yang dimilikinya? Ada yang kata daripada pilih pemimpin yang miskin, lebih baik pilih pemimpin yang banyak duit dan kaya agar mudah nak mengatur pentadbiran atau politik. Mohon pencerahan tuan mufti.

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt.  Seorang Muslim yang mahu memilih pemimpin tidak dibenarkan mengangkat seseorang calon kerana wang atau harta kekayaan. Ini kerana kewajipan syariat menerangkan supaya kita memilih calon pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik, serta menilai kelayakannya berasaskan kecekapan dan kompeten dalam mentadbir serta menjalankan pemerintahan. Nabi SAW menjelaskan antara golongan yang akan diberi azab yang pedih ketika akhirat adalah golongan yang mengangkat pemimpin kerana habuan keduniaan seperti wang, dan jika tidak diberi jawatan tersebut kepadanya pula maka dia akan marah dan meninggalkan pemimpin tersebut.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Allah SWT menegur sekalian umat manusia mengenai pemilihan kepimpinan berdasarkan wang harta, ini dapat dilihat melalui kisah Yahudi di dalam al-Quran:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya”.

Surah al-Baqarah (247)

Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menjelaskan bahawa kepimpinan bukan berdasarkan pewarisan dan bukan juga berdasarkan kekayaan seseorang, tetapi dipilih berdasarkan kompeten kecekapan, ilmu pengetahuan, kemahiran, keperibadian yang utuh dan kemahuan yang teguh. Ibnu Abbas menceritakan pemilihan Talut sebagai pemimpin di kalangan bani Israel ketika itu kerana beliau merupakan orang yang paling bijak serta memiliki kekuatan tubuh badan yang sempurna, yang mana akan membuatkan musuh takut dan gentar. Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan faktor pemilihan Talut adalah berdasarkan ilmunya yang luas (kekayaan sebenar manusia) dan kekuatan fizikalnya yang mampan (faktor kekuatan untuk berperang dan keyakinan ketika perjumpaan bersama manusia yang lain). Jadi ayat ini menjelaskan kriteria seorang pemimpin dan keadaan yang bersangkut paut dengan kepimpinan, di mana orang yang layak menjadi pemimpin adalah orang yang mempunyai ilmu, agama dan kekuatan tubuh badan. Pemimpin juga tidak harus dipilih melalui nasab keturunannya.[1]

[Lihat: Tafsir al-Munir, 2/424]

Terdapat juga sebuah hadis yang menyebut mengenai golongan-golongan manusia di mana Allah SWT benci dan murka terhadap golongan ini di akhirat kelak. Antara golongan yang disebut adalah mereka yang berbaiah atau mengikut pemimpin hanya jika mereka diberikan sejumlah wang harta atau pemberian. Nabi SAW bersabda:

ثَلاَثَةٌ لاَ يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ رَجُلٌ مَنَعَ ابْنَ السَّبِيلِ فَضْلَ مَاءٍ عِنْدَهُ وَرَجُلٌ حَلَفَ عَلَى سِلْعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ - يَعْنِي كَاذِبًا - وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا فَإِنْ أَعْطَاهُ وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ لَمْ يَفِ لَهُ

Maksudnya: "Tiga golongan yang Allah berpaling daripada mereka di akhirat kelak; Golongan yang menyekat orang-orang di jalanan daripada akses air, golongan yang bersumpah atas sesuatu barang yang bermaksud pendustaan, dan golongan yang berbaiah kepada pemimpin di mana mereka mendapat habuan daripadanya, jika tidak ada habuan tersebut maka mereka tidak mentaatinya."

Riwayat Abu Daud (3474)

Syeikh al-Azim Abadi dalam kitabnya menerangkan golongan terakhir yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan manusia yang mengangkat pemimpin demi untuk habuan keduniaan.[2]

[Lihat: Aunul Ma’bud, 5/567]

Imam al-Munawi pula dalam karyanya menjelaskan golongan ketiga yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan yang mempunyai perjanjian dengan pemimpin dalam melaksanakan undang-undang, melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, tetapi tujuan dia melakukan sedemikian kerana mahukan balasan dan habuan keduniaan. Jika pemimpin tersebut tidak memberikan apa yang dikehendakinya maka dia tidak akan mengikut pemimpin tersebut.[3]

[Lihat: Faidhul Qadir, 3/330]

 

Berdasarkan huraian di atas, kita dapat mengetahui bahawa kekayaan dan harta bukan faktor utama dalam pemilihan kepimpinan, bahkan Allah SWT mencela orang-orang yang mengangkat seseorang pemimpin kerana wang harta dan habuan keduniaan. Seorang Muslim harus memperhatikan ciri-ciri seperti keilmuan, kejujuran, kecekapan bekerja, taat kepada perintah agama dan kemahuan yang benar untuk membantu orang yang dalam kesusahan. 

 

Kesimpulan

Seorang Muslim yang mahu memilih pemimpin tidak dibenarkan mengangkat seseorang calon kerana wang atau harta kekayaan. Ini kerana kewajipan syariat menerangkan kepada kita untuk memilih calon pemimpin yang jujur dan ikhlas, dan menilai faktor kecekapan dan kompetennya dalam memimpin rakyat serta menjalankan pemerintahan. Dalam sebuah hadis Nabi SAW jelas disebutkan antara golongan yang akan diberi azab yang pedih ketika akhirat adalah golongan yang mengangkat pemimpin kerana habuan keduniaan seperti wang, dan jika tidak diberi kepadanya pula maka dia akan marah dan meninggalkan pemimpin tersebut. Sama-sama kita bermuhasabah agar tidak termasuk dalam golongan seperti yang disebutkan di atas. Wallahua’lam.

 

[1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Beirut: 1991), Cetakan Darul Fikri al-Maa’sir.

إن الملك أو الحكم ليس بالوراثة أو بالغنى، وإنما بالكفاءة والعلم والمهارة، وقوة الشخصية، وصلابة الإرادة. قال ابن عباس: كان طالوت يومئذ أعلم رجل في بني إسرائيل وأجمله وأتمه، وزيادة الجسم مما يهيب العدو. وقيل:

سمي طالوت لطوله.

وقد بين الله في هذه الآية تعليل اصطفاء طالوت، وهو بسطته في العلم الذي هو ملاك الإنسان، والجسم الذي هو معينه في الحرب وعدته عند اللقاء.

فتضمنت الآية بيان صفة الإمام وأحوال الإمامة، وأنها مستحقة بالعلم والدين والقوة، لا بالنسب

[2] Al-Siddiqi al-Azim Abadi, Aunul Ma’bud, (Kaherah: 2011), Cetakan Syarikah al-Quds li al-Nasyr wa al-Tauzi’

[3] Al-Munawi al-Qahiri, Faidhul Qadir Syarh Jami’ Saghir, (Mesir: 1431H), Cetakan Maktabah al-Tijariyah al-Kubra.

الثالث (رجل بايع إماما) ‌أي ‌عاقد ‌الإمام الأعظم على أن يعمل بالحق ويقيم الحد ويأمر بالمعروف وينهى عن المنكر والحال أنه (لا يبايعه) لا يعاقده (إلا لدنيا) بلا تنوين كحبلى أي لغرض دنيوي (فإن) الفاء تفسيرية (أعطاه منها) أي الدنيا