Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-735: HUKUM PESAKIT LELAKI MENANAM EMAS KE DALAM MATA UNTUK TUJUAN PERUBATAN

Irsyad Fatwa 735

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Saya ingin bertanya. Seorang pesakit akan buat pembedahan kat mata dia, doktor akan letak pemberat di mata dia sebab sebelah mata dia tak boleh tutup. Jadi nak jaga mata dia daripada rosak dan tak Nampak dikemudian hari doktor suggest pemberat tetapi pemberat tersebut adalah daripada emas. Dia akan tanam dikelopak mata pesakit itu. Boleh ke datuk? Sebab lelaki haram memakai emas. Mohon pencerahan.

 

Ringkasan Jawapan:

Hukum untuk pesakit lelaki menanam pemberat emas pada kelopak mata bergantung kepada dua keadaan iaitu sekiranya terdapat pilihan lain untuk menggunakan pemberat selain daripada emas maka hukumnya adalah haram. Adapun sekiranya tiada pilihan lain untuk menggunakan pemberat tersebut selain dari pemberat daripada emas serta perkara ini telah mendapat pengesahan dari golongan pakar maka hukumnya adalah harus.

 

Huraian Jawapan:

Hukum berkaitan pemakaian emas bagi kaum lelaki telah banyak dibincangkan di dalam Islam yang mana hukum memakainya bagi golongan lelaki adalah haram terutama sekali bagi tujuan berhias serta tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Abu Musa al-Asy‘ari telah meriwayatkan sepotong hadis berkenaan hukum memakai emas bagi kaum lelaki yang mana Rasulullah SAW bersabda:

‌حُرِّمَ ‌لِبَاسُ ‌الحَرِيرِ وَالذَّهَبِ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي وَأُحِلَّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “Telah diharamkan memakai sutera dan emas bagi lelaki dari umatku dan dihalalkan bagi wanitanya.”

(Riwayat al-Tarmizi: 1720)

Sheikh al-Mubarakfuri menjelaskan pengharaman emas ke atas kaum lelaki meliputi semua golongan termasuk kanak-kanak.[1] Oleh itu, jelaslah bahawa pemakaian emas bagi kaum lelaki tanpa sebarang tujuan dan hajat yang memerlukan adalah haram.

Berbalik kepada situasi yang dialami oleh pesakit lelaki berkenaan, permasalahan ini boleh dikaitkan dengan kisah seorang lelaki yang disuruh oleh nabi SAW memakai hidung daripada emas seperti yang diriwayatkan oleh Arfajah bin As’ad:

أُصِيبَ أَنْفِي ‌يَوْمَ ‌الكُلَابِ فِي الجَاهِلِيَّةِ، فَاتَّخَذْتُ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ، فَأَنْتَنَ عَلَيَّ (فَأَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَّخِذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ)

Maksudnya: “Hidungku mengalami kecederaan parah pada hari peperangan Al-Kulab (suatu tempat yang terletak di antara Basrah dan Kufah) semasa Jahiliyyah dahulu. Lalu aku pun menggantikan hidungku dengan perak kemudian hidungku menjadi busuk. Maka Rasulullah S.A.W memerintahkan kepadaku untuk mengambil hidung daripada emas.”

 (Riwayat al-Tarmizi: 1770)

Berdasarkan riwayat di atas, terdapat keharusan bagi golongan lelaki memakai hidung daripada emas begitu juga mengikat gigi dengan emas.[2] Namun begitu, keharusan yang dibenarkan hanya pada situasi yang darurat dan keadaan yang memerlukan sahaja seperti perkara yang melibatkan rawatan dan kesihatan. Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa harus menggantikan menggunakan hidung dan gigi daripada emas.[3]

Justeru itu, melihat kepada situasi yang dialami oleh pesakit lelaki berkenaan iaitu perlu menanam emas di dalam kelopak mata. Situasi ini perlu dilihat kepada beberapa keadaan iaitu sekiranya tiada pilihan untuk meletakkan pemberat mata yang selain dari emas maka hukumnya adalah harus. Ini merujuk kepada kaedah fiqh yang berbunyi: 

‌الْحَاجَةُ ‌تَنْزِلُ ‌مَنْزِلَةَ ‌الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً

Maksudnya: “Sesuatu yang bersifat keperluan (hajat) mengambil hukum darurat sama ada umum atau khusus”

(Rujuk al-Asybah wa An-Nazoir:hlm 88)

Namun begitu, jika terdapat pilihan untuk menggunakan pemberat selain dari pemberat emas maka keharusan untuk pesakit lelaki itu untuk menanam pemberat emas dari kelopak matanya adalah tidak terpakai.

 

Kesimpulan:

Hukum untuk pesakit lelaki menanam pemberat emas pada kelopak mata bergantung kepada dua keadaan iaitu sekiranyanya terdapat pilihan lain untuk menggunakan pemberat selain daripada emas maka hukumnya adalah haram. Adapun sekiranya tiada pilihan lain untuk menggunakan pemberat tersebut selain dari pemberat daripada emas serta perkara ini telah mendapat pengesahan dari golongan pakar maka hukumnya adalah harus.

WallahuA’lam..

 

 

Nota hujung: 

[1] Al-Mubarakfuri, Muhammad Abdul Rahman bin Abdul Rahim. (T,T). Tuhfat al-Ahwazi bi Syarh Jami’ Al-Tirmizi. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. Jilid 5 hlm 313.  

)عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي) وَالذُّكُورُ بِعُمُومِهِ يَشْمَلُ الصِّبْيَانَ أَيْضًا لَكِنَّهُمْ حَيْثُ لَمْ يَكُونُوا مِنْ أَهْلِ التَّكْلِيفِ حُرِّمَ عَلَى مَنْ ألبسهم

[2] Ibid, jilid 5 hlm 379.

وَبِهِ أَبَاحَ الْعُلَمَاءُ اتِّخَاذَ الْأَنْفِ مِنَ الذهب وكذا اربط الْأَسْنَانِ بِالذَّهَبِ

[3] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf. Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab. Dar al-fikr.  Jilid 1 hlm 256.

إنْ اُضْطُرَّ إلَى الذَّهَبِ جَازَ اسْتِعْمَالُهُ فَمُتَّفَقٌ عَلَيْهِ قال أصحابنا قيباح لَهُ الْأَنْفُ وَالسِّنُّ مِنْ الذَّهَبِ وَمِنْ الْفِضَّةِ وَكَذَا شَدُّ السِّنِّ الْعَلِيلَةِ بِذَهَبٍ وَفِضَّةٍ جَائِزٌ وَيُبَاحُ أَيْضًا الْأُنْمُلَةُ