Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 736: ADAKAH PERLU MANDI WAJIB BAGI PASANGAN YANG MENGGUNAKAN KAEDAH IVF ?

 

 

IV min

 

Soalan:

Assalammualaikum, Saya dan pasangan telah melakukan kaedah IVF bagi ikhtiar untuk mendapatkan anak. Persoalannya semasa proses mengeluarkan telur (ovum / sperma) daripada pasangan masing-masing mahupun setelah memasukkan semula ke rahim wanita, adakah kami pasangan suami isteri perlu mandi wajib? Mohon pencerahan Mufti

Ringkasan Jawapan:

Kaedah IVF perlu melalui proses untuk mengeluarkan telur (ovum/sperm) bagi lelaki dan wanita. Terdapat kaedah yang berbeza bagi mendapatkan benih telur seperti berikut:

1. Kaedah mengeluarkan ovum bagi wanita yang dilakukan dengan suntikan sedutan ovum (oocyte retrieval) tidak melibatkan keluar air mani, maka tidak perlu mandi wajib.

2. Kaedah untuk mengeluarkan sperma bagi lelaki melalui dua cara;

  • Kaedah masturbasi yang menyebabkan keluar air mani, maka perlu mandi wajib.
  • Kaedah pembedahan kecil iaitu proses mengeluarkan secebis tisu daripada zakar dan mengekstrak untuk mendapatkan sperma yang hidup. Kaedah prosedur ini tidak menyebabkan keluar air mani, maka tidak perlu mandi wajib.

 Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Proses IVF (In-Vitro Fertilization)

Proses IVF bermula dengan sperma lelaki dan telur wanita dikeluarkan dari tubuh badan dan disenyawakan di dalam makmal. Menurut pakar [1] kaedah pengambilan ovum daripada ovari wanita melalui kaedah suntikan ovum (oocye retrieval). Sementara, kaedah kebiasaan lelaki perlu melalui kaedah masturbate (proses onani) bagi mendapatkan sperma.

Kaedah oocye retrieval adalah pengambilan oosit dilakukan untuk mengeluarkan telur dari ovari.  Jarum disalurkan melalui bahagian atas faraj di bawah bimbingan ultrasound untuk sampai ke ovari dan folikel. Cecair dalam folikel disedut melalui jarum dan keluar daripada ovari.  [2] Sebaik sahaja telur diambil daripada ovari, ia boleh disenyawakan di makmal. Kemudian embrio diletakkan di dalam rahim wanita.[3]

Selain itu, terdapat dua cara mengeluarkan sperma iaitu dengan cara masturbasi dan kaedah pembedahan kecil iaitu satu proses mengeluarkan secebis tisu dari buah zakar dan mengekstrak untuk mendapatkan sperma yang hidup.[4]

Namun, kaedah dengan cara masturbasi lebih selamat berbanding kaedah pembedahan kecil yang memberi risiko. [5]

Sebab-Sebab Yang Mewajibkan Mandi

Berikut merupakan sebab-sebab yang perlu mandi wajib :

  1. Kematian
  2. Haid
  3. Nifas
  4. Wiladah walaupun kering darah (tidak basah)
  5. Junub dengan masuknya hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya ke dalam faraj. Apabila bertemu dua khitan (zakar dan faraj), maka perlu mandi wajib walaupun tidak inzal berdasarkan riwayat daripada Aisyah RA.anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إذَا الْتَقَى الْخِتَانَانِ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ وَإِنْ لَمْ يُنْزِلْ

Maksudnya: “Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) bertemu, maka wajib mandi walaupun tidak inzal (keluar air mani)

Riwayat Muslim

        6. Keluar mani dengan cara yang biasa atau apa-apa cara. 

Inzal mani daripada tempat kebiasaan keluar dalam keadaan bersyahwat mahupun tidak. Begitu juga dalam keadaan dia sedar atau tidak, maka ia perlu mandi wajib. [7] Ini berdasarkan hadis daripada Sa’id Khudri   RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

إنَّمَا الْمَاءُ مِنْ الْمَاءِ

Maksudnya:Sesunguhnya (mandi) air itu kerana disebabkan keluar air mani”

Riwayat Muslim (343)

Selain itu juga terdapat satu lagi riwayat daripada Ummu Salamah RA, berkata bahawa Ummu Sulaim berkata kepada Nabi SAW:

 فَقَالَتْ: إنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِ مِنْ الْحَقِّ هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إذَا احْتَلَمَتْ؟ قَالَ: نَعَمْ إذَا رَأَتْ الْمَاءَ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, bahawa Allah SWT tidak malu menyatakan kebenaran, adakah wajib (mandi junub) bagi wanita yang bermimpi? Lalu Baginda menjawab: Ya, sekiranya dia nampak air (mani)”

Riwayat Bukhari (6091)

Sementara perbuatan istimna’ boleh diterjemahkan sebagai mastubasi atau onani iaitu usaha untuk mengeluarkan air mani. Istimna’ pada sudut bahasa menurut fuqaha ialah mengeluarkan mani dengan tapak tangan dan seumpamanya bukan dengan cara bersetubuh.[8]

Penutup

Kesimpulannya, berdasarkan kaedah IVF yang perlu melalui proses (pick up ovum) bagi wanita dengan suntikan jarum tidak termasuk dalam situasi “janabah” mahupun “mengeluarkan air mani”, maka ia tidak perlu   mandi wajib. Sementara itu, pengambilan sperma menggunakan kaedah “masturbate” bagi usaha mendapatkan  sperma melalui air  mani  maka ia perlu mandi wajib.

 

RUJUKAN

[1] Dr. Nazian Hanna Yacob, Consultant Obstetrician & Gynaecologist

[2] https://advancedfertility.com/ivf-in-detail/egg-aspiration/

[3] https://med.emory.edu/departments/gynecology-obstetrics/patient-care/patient-education/oocyte-retrieval/index.html

[4] https://en.wikipedia.org/wiki/Testicular_sperm_extraction

[5] Dr. Nazian Hanna Yacob, Consultant Obstetrician & Gynaecologist

[6] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 14

باب الغسل : موجبه موت وحيض ونفاس وكذا ولادة بلا بلل في الأصح وجنابة بدخول حشفة أو قدرها فرجا وبخروج منى من طريقه المعتاد وغيره

[7] Taqiyuddin, (1994)  Kifayah al-Akhyar fi hal Ghayah al-Ikhtisar, Damsyik : Dar al- khair.  41

إِنْزَال الْمَنِيّ فَمَتَى خرج الْمَنِيّ وَجب الْغسْل سَوَاء خرج من الْمخْرج الْمُعْتَاد أَو من ثقبه فِي الصلب أَو الخصية على الْمَذْهَب وَالْأَصْل فِي ذَلِك قَوْله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم

(إِنَّمَا المَاء من المَاء) وَسَوَاء خرج فِي الْيَقَظَة أَو النّوم وَسَوَاء كَانَ بِشَهْوَة أَو غَيرهَا

[8] : إخراج المني بغير الوطء، بالكف ونحوه... Masturbation 2-لغة الفقهاء (الاستمناء)

https://www.almougem.com/search.php?query=%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D9%85%D9%86%D8%A7%D8%A1