Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-755: HUKUM ISTERI MENOLAK NAFKAH BATIN 

HUKUM ISTERI MENOLAK NAFKAH BATIN

 

SOALAN

Assalammualaikum, saya seorang wanita yang bekerjaya. Seringkali saya terkejar-kejar pulang ke rumah sehingga malam dalam keadaan tertekan dan kepenatan. Sebaik pulang ke rumah pula saya sibuk menguruskan keperluan anak-anak. Disebabkan keletihan saya sering hilang minat apabila diajak ‘bersama’ oleh suami.  Malah saya pernah berbohong mengatakan “saya sedang dalam haid” untuk mengelak daripada ‘bersama’ suami. Apakah hukum perbuatan saya itu ?  Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Secara asasnya isteri dilarang menafikan hak suami ke atas dirinya, bahkan menolak permintaan suami untuk bersetubuh dengan memberi helah adalah berdosa besar melainkan pada keuzuran syarak seperti ketika haid, nifas, keadaan zihar, sakit dan ketika ihram. Walau bagaimanapun dalam kehidupan serba moden di mana isteri turut sama keluar bekerja disamping masih bertanggungjawab menjaga urusan rumah tangga, maka sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan kesepakatan dalam hubungan suami isteri untuk memelihara hak kedua-dua pasangan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Tanggungjawab isteri mentaati perintah suami pada perkara yang ma’ruf selagi dalam kerangka syarak. Bahkan, terdapat hak-hak suami yang perlu dilunaskan oleh seorang isteri.  Para fuqaha   bersepakat   bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram.

Begitu juga, nusyuz boleh terjadi apabila jika isteri menolak hubungan seksual walaupun dalam bentuk memegang pada anggota yang dipilih suami. Namun tidak dianggap nusyuz isteri menolak kerana uzur seperti wanita tengah sakit yang membawa mudarat dengan bersetubuh, farajnya luka dan sedang haid . Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan dalil yang menunjukkan ancaman.[1] 

Ancaman yang dimaksudkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إلى فِرَاشِهِ فأبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلَائِكَةُ حتَّى تُصْبِحَ.

Maksudnya: “Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” 

Riwayat al-Bukhari 

Pengajaran daripada hadis tersebut menunjukkan besarnya hak suami ke atas isterinya. Ini menjadi dalil bahawa haram bagi seorang isteri itu menolak ajakan suami mahupun berlengah-lengah atau dipaksa suaminya mengajak ke tempat tidur untuk istimta’ (berseronok) dan bersetubuh.  Menolak permintaan tersebut dianggap sebagai dosa besar disebabkan malaikat melaknatnya sehingga pagi. [2]

Sementara, Abu Daud menjelaskan   hadis ini menunjukkan bahawa isteri wajib memenuhi permintaan suaminya untuk bersetubuh walaupun sedang dalam keadaan sibuk dengan urusan-urusan yang penting. [3]

Dalam sebuah riwayat yang lain daripada Abdillah Abi Aufa bahawa Nabi SAW bersabda:

والَّذي نَفسُ محمَّدٍ بيدِهِ لا تؤدِّي المرأةُ حقَّ ربِّها حتَّى تؤدِّيَ حقَّ زوجِها ولو سألَها نفسَها وَهيَ علَى قتَبٍ لم تمنعْهُ

Maksudnya: “Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamannya, seorang isteri dianggap belum memenuhi kewajiban terhadap Allah sehingga dia menunaikan kewajiban terhadap   suaminya, sekiranya seorang suami meminta haknya kepada isterinya dan ketika itu dia berada di atas belakang unta, isterinya tidak boleh menolak.”

Sahih Ibn Majah

Sehubungan itu, selagi tiada alasan-alasan yang boleh diterima syarak, isteri tidak boleh menggunakan apa-apa alasan mahupun helah untuk menipu suaminya. Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya: Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.

Surah Al-Hajj (30)

Walau bagaimanapun, para suami juga harus memberi perhatian bahawa Allah SWT juga memerintahkan untuk menggauli (bermu’asyarah) isteri dengan cara yang paling baik kerana asas bagi hubungan badan suami isteri itu adalah bagi membina kemesraan dan bukanlah bagi melepaskan nafsu semata-mata. Firman Allah SWT: 

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. 

Surah al-Nisa’ (19)

Persetubuhan suami isteri termasuk dalam tujuan perkahwinan serta menjaga keturunan (Hifz al-Nasal). Hubungan seksual termasuk dalam hak antara pasangan suami isteri dalam perkahwinan selain meraikan fitrah manusia dalam hubungan yang halal, firman Allah:

لَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ

Maksudnya: "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak);"

Surah al-Baqarah (228)

Persetubuhan ketika dalam Haid

Sekiranya isteri benar-benar dalam berkeadaan haid maka haram jika suami mengajaknya bersama. Ini kerana salah satu perkara larangan bagi wanita didatangi haid ialah melakukan persetubuhan dengan suaminya. Firman-Nya: 

فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ ُ

Maksudnya: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

Surah al-Baqarah (222)

Suami diharamkan melakukan persetubuhan pada faraj isteri yang sedang mengalami haid secara berlapik atau secara langsung walaupun tanpa syahwat.[4]

Oleh itu, peranan seorang isteri penting dalam menjelaskan situasi sebenar tanpa membenarkan suami secara rela menyetubuhinya ketika haid. Ini berdasarkan riwayat berikut: 

لَعن اللّه الغائِصةَ والمُغَوِّصة

Maksudnya: “Allah melaknat wanita yang tidak memberitahu suaminya bahawa dia sedang berhaid supaya suaminya boleh menyetubuhinya dan wanita yang tidak berhaid tetapi menipu suaminya agar tidak boleh menyetubuhinya.[5]

(Rujuk al-Nihayah fi Ghorib al-Hadis wa al-athar)

Perkataan laknat menunjukkan ancaman berat kepada wanita yang ingin disetubuhi semasa dia sedang haid serta wanita yang menipu suaminya bahawa dia sedang haid agar tidak disetubuhi. 

Penutup

Berdasarkan hujah yang dikemukakan, haram dan berdosa besar seorang isteri menafikan hak-hak suami ke atas dirinya tanpa ada sebarang keuzuran syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram. Walau bagaimanapun dalam kehidupan serba moden di mana para isteri telah ramai yang turut sama keluar bekerja di samping masih bertanggungjawab menjaga urusan rumah tangga, maka sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan kesepakatan dalam hubungan suami isteri untuk memelihara hak kedua-dua pasangan.  Isteri perlu menjelaskan keadaannya sebenar agar suami dapat memahami tanpa perlu berbohong.

Wallahu A'lam.

 

 Rujukan:

[1] Mausu’ah Kuwaitiyah : 1427 h,  Kuweit (44/ 38)

ذَهَبَ الْفُقَهَاءُ إِلَى أَنَّ لِلزَّوْجِ أَنْ يُطَالِبَ زَوْجَتَهُ بِالْوَطْءِ مَتَى شَاءَ إِلاَّ عِنْدَ اعْتِرَاضِ أَسْبَابٍ شَرْعِيَّةٍ مَانِعَةٍ مِنْهُ كَالْحَيْضِ وَالنِّفَاسِ وَالظِّهَارِ وَالإْحْرَامِ وَنَحْوِ ذَلِكَ، فَإِنْ طَالَبَهَا بِهِ وَانْتَفَتِ الْمَوَانِعُ الشَّرْعِيَّةُ وَجَبَتْ عَلَيْهَا الاِسْتِجَابَةُ (1) .

وَقَدْ عَدَّ الذَّهَبِيُّ وَالرَّافِعِيُّ وَالنَّوَوِيُّ وَابْنُ الرِّفْعَةِ وَالْهَيْتَمِيُّ وَغَيْرُهُمُ امْتِنَاعَ الْمَرْأَةِ عَنْ فِرَاشِ زَوْجِهَا إِذَا دَعَاهَا بِلاَ عُذْرٍ شَرْعِيٍّ ضَرْبًا مِنَ النُّشُوزِ، وَكَبِيرَةً مِنَ الْكَبَائِرِ، وَذَلِكَ لِوُرُودِ الْوَعِيدِ الشَّدِيدِ فِيهِ

Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, ( t.th) Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, Dar Ibn Hazam. P: 543

ويحصل النشوز بمنع الزوجة الزوج من تمتع ولو بنحو لمس أو بموضع عينه لا إن منعته عنه لعذر ككبر آلته بحيث لا تحتمله ومرض بها يضر معه الوطء وقرح في فرجها وكنحو حيض

 

[2] Abdullah al-Bassam.2003 Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram. Makkah al-Mukaramah:  Maktabah al-Asdi : Jld : 5p:379

مفردات الحديث:

- دعا الرجل امرأته: أي طلبها

- إلى فراشه: بكسر الفاء، وهو هنا كناية عن الجماع

* ما يؤخذ من الحديث:

1 - الحديث يدل على عِظم حق الزوج على زوجته؛.

2 - ويجب له عليها السمع والطاعة في المعروف؛ فقد جاء في المسند وسنن ابن ماجه عن معاذ بن جبل أنَّ النَّبيَّ -صلى الله عليه وسلم- قال: "والذي نفس محمَّد بيده! لا تؤدي المرأة حق ربها، حتى تؤدي حق زوجها، ولو سألها نفسها، وهي على قَتَبٍ، لم تَمْنعه".

3 - أنَّه يحرم على المرأة أن تمنع، أو تماطل، أو تتكرَّه على زوجها إذا دعاها إلى فراشه من أجل الجماع، وأنَّ امتناعها هذا يُعتبر كبيرةً من كبائر الذنوب؛ فإنَّه يترتب عليه أنَّ الملائكة تلعنها حتى تصبح. واللعن لا يكون إلاَّ لفعل محرَّمٍ كبير،

[3] Muhsin Al-Abbad (t.th) Syarah Sunan Abi Daud, 5/246

 ورد أبو داود حديث أبي هريرة رضي الله عنه الذي فيه بيان وجوب إجابة المرأة لزوجها إذا دعاها لحاجته إليها، وأن عليها أن تستجيب ولو كانت مشتغلة بعمل من الأعمال المهمة

[4] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni Muhtaj Ma’rifah  al-Faz al-Minhaj.  (1/ 280)

أَنَّهُ يَحْرُمُ الْوَطْءُ فِي فَرْجِهَا وَلَوْ بِحَائِلٍ وَالْمُبَاشَرَةُ بِ (مَا بَيْنَ سُرَّتِهَا وَرُكْبَتِهَا) وَلَوْ بِلَا شَهْوَةٍ

[5] Ibn al-Athir 1979,Nihayah fi Ghorib al-Hadis althar, Beirut :   Maktabah al-Ilmiyah, Jld: 3 p : 395

النهاية في غريب الحديث والأثر (3/

«لَعن اللَّهُ الغَائِصَة والمُغَوِّصَة» الغَائِصَة: الَّتِي لَا تُعْلِم زَوْجَها أَنَّهَا حَائِضٌ ليَجْتَنِبهَا، فيُجَامِعها وَهِيَ حَائِضٌ. والمُغَوِّصَة: الَّتِي لَا تَكُونُ حَائِضًا فتَكْذب زَوْجَها وَتَقُولُ    : إِنِّي حَائِضٌ