Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-760: HUKUM MENANAM POKOK PINUS UNTUK TUJUAN HIASAN

HUKUM MENANAM POKOK PINUS UNTUK TUJUAN HIASAN

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, kebiasaannya pokok pinus atau pine tree ini dilihat menjelang sambutan hari krismas, namun kadang-kadang saya ada juga terlihat ia ditanam di tengah-tengah kawasan bandar, deretan pembahagi jalan, di luar rumah, persoalan saya, bolehkah pokok ini ditanam? Adakah ia dikira menyerupai golongan kafir yang mengagungkan pokok ini? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih. 

Ringkasan Jawapan

Hukum menanam pokok pain atau pinus untuk tujuan hiasan adalah harus dan dibenarkan, namun dengan syarat tidak menghiasinya atau memuliakannya sebagaimana yang dilakukan oleh penganut agama Kristian supaya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menyerupai golongan kafir. Dalam masa yang sama, kami suka untuk mengingatkan kepada umat Islam agar sedaya upaya menjauhi ruang-ruang fitnah dan tohmahan.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, hukum menanam atau memelihara tumbuhan pokok adalah harus berdasarkan kepada kaedah umum:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[1]

Hal ini termasuklah juga pokok pinus atau pine tree yang lazimnya menjadi hiasan utama pada musim perayaan Hari Krismas. Namun persoalan di sini ialah adakah menanamnya dibenarkan? Adakah ia dikira menyerupai perbuatan atau tradisi orang kafir?

Sebagai makluman, pokok pinus merupakan salah satu jenis tumbuhan konifer dalam keluarga Pinaceae yang merangkumi 187 spesies pokok dan diberikan nama umum seperti tusam, pain, atau sanubar. Spesies-spesies dalam genus ini banyak didapati di kawasan Hemisfera Utara terutamanya di kawasan pergunungan bertanah baik. Kayu tusam merupakan antara jenis kayu yang paling laris secara komersil dalam sektor pembuatan perabot dan kertas di serata dunia. Daun-daun pokok ini juga mempunyai pelbagai kegunaan, pucuknya boleh digantung sebagai hiasan manakala dedaunnya boleh dianyam menjadi bakul atau bekas[2].

Manakala pokok krismas pula kebiasaannya terdiri daripada pokok jenis konifer yang menjadi tradisi dalam perayaan hari Natal. Antara pokok yang sering digunakan adalah seperti jenis pine, fir, spruce dan lain-lain lagi. Kebiasaannya juga, pokok tersebut akan dihiasi dengan makanan, lilin, kalungan, jurai, gula-gula tongkat, bintang, bulan dan sebagainya. Adakalanya hiasan berbentuk malaikat dan bintang diletakkan pada bahagian atas pokok sebagai simbol kepada malaikat atau Bintang Bethlehem daripada peristiwa kelahiran Jesus [3].

Terdapat banyak kepercayaan dan fahaman agama lain terhadap perbuatan meletakkan pokok pinus ini di halaman rumah. Kebanyakan masyarakat purba memenuhkan ruang rumah mereka dengan pohon hijau sebagai simbolik terhadap kejayaan dewa mereka yang mula beransur baik daripada sakit. Bagi masyarakat awal Rom pula, mereka menghias rumah dan kuil mereka dengan dahan-dahan yang malar hijau sebagai simbol meraikan dewa pertanian yang akan mengembalikan kehijauan ladang dan kebun mereka[4].

Selain itu, lain pula ceritanya di bahagian Utara Eropah, golongan paderi Celt Purba menghiasi kuil-kuil mereka dengan dahan-dahan hijau sebagai simbol kehidupan yang abadi. Bagi masyarakat Parsi pula, mereka menganggapnya seperti pohon Yalda yang merupakan pohon suci mereka. Mereka menghias pokok tersebut dengan pelbagai perhiasan dan diselitkan juga elemen keagamaan, sejarah dan falsafah alam semesta terhadapnya[5]. Bagi masyarakat Kristian pula, mereka menganggap pokok krismas ini sebagai simbol kepada kepercayaan triniti mereka[6].

Secara kesimpulannya, banyak agama yang menjadikan pokok ini sebagai simbol kepercayaan dan tradisi keagamaan mereka. Maka, ia terkait dengan perbahasan kita pada artikel ini berkenaan hukum menanam pokok ini. Pokok Krismas ini adakalanya juga menggunakan pokok pain. Cuma bezanya dengan pokok pain ialah pokok pain tidak mempunyai sebarang lampu kelip dan kad-kad ucapan serta tidak pula disucikan untuk tujuan ibadah. Manakala pokok Krismas pula ialah pokok pain yang dihiasi dengan lampu kelip-kelip, kad-kad ucapan dan dipercayai pula mempunyai kuasa dan semangat yang dikaitkan dengan kepercayaan atau akidah masyarakat Kristian.

Oleh yang demikian, sesiapa yang menanam pokok pain di halaman rumah atau luar kawasan, ataupun di mana sahaja, maka berdasarkan kepada keumuman kaedah Fiqh yang dinyatakan sebelum ini, maka hukumnya adalah harus dan tidak berdosa. Akan tetapi, sekiranya seseorang itu menanamnya bertujuan mengagungkannya atau mengikuti budaya agama lain, maka hukumnya haram.

Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

لَيْسَ ‌مِنَّا ‌مَنْ ‌تَشَبَّهَ ‌بِغَيْرِنَا، لَا تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ وَلَا بِالنَّصَارَى

Maksudnya:Bukan daripada kalangan kami orang yang menyerupai selain daripada kami. Janganlah kamu semua menyerupai orang Yahudi dan Nasrani.”

Riwayat al-Tirmizi (2695)

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, seorang Muslim dilarang daripada meniru gaya, kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali syiar/simbol agama atau bentuk perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai agama-agama lain.

Imam al-San‘ani rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan sesiapa yang menyerupai orang-orang fasiq atau kafir ataupun orang yang melakukan bidaah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya sama ada dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku, maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka[7].

Sehubungan dengan itu, kita dapat lihat di sini, ia sebenarnya berkait juga dengan tujuan dan niat asal kita menanamnya, adakah dengan niat sebagai hiasan dan mencantikkan laman atau dengan niat ingin memuliakannya kerana unsur-unsur yang dinyatakan di atas, maka ia berbalik kepada kaedah Fiqh:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat.

Kesimpulannya di sini, kami menyatakan bahawa hukum menanam pokok pain atau pinus untuk tujuan hiasan adalah harus dan dibenarkan, namun dengan syarat tidak menghiasinya atau memuliakannya supaya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menyerupai golongan kafir. Dalam masa yang sama, kami suka untuk mengingatkan kepada umat Islam agar sedaya upaya menjauhi ruang-ruang fitnah dan tohmahan. Ini berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, maka dia akan ditohmah.

Tuntasnya, apa jua perkara yang berisiko atau berkemungkinan besar boleh menimbulkan fitnah, maka ia hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Jalaluddin al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazhoir, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1411H/1990M), 1/60.

[2] Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Pinus, laman web diakses pada 19/1/2023.

[3] Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Krismas, laman web diakses pada 19/1/2023.

[4] Lihat: https://www.history.com/topics/christmas/history-of-christmas-trees, laman web diakses pada 23/1/2023.

[5] Lihat: https://www.thepatriots.asia/asal-usul-tamadun-parsi-disebalik-perhiasan-pokok-krismas/, laman web diakses pada 20/1/2023. Lihat juga: https://www.nationalgeographic.com/travel/article/christmas-tree-customs, laman web diakses pada 20/1/2023.

[6] Lihat: https://www.abc.net.au/news/2016-12-19/the-history-of-the-christmas-tree/8106078#:~:text=Then%20legend%20has%20it%20that,life%2C%22%20Dr%20Wilson%20said, laman web diakses pada 8/2/2023.

“That became a symbol of Christ — being triangular in shape it represents the trinity — and from there came the idea that the tree should be a symbol of Christ and new life,” Dr Wilson said. “That's one of the main origins of the Christmas tree and bringing it into the house.”

[7] Muhammad bin Ismail al-San‘ani, Subul al-Salam, (t.tp: Dar al-Hadis, t.c, t.t), 2/647-648.

(وَعَنْ ابْنِ عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا - قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: «مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ» أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُد وَصَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ) الْحَدِيثُ فِيهِ ضَعْفٌ وَلَهُ شَوَاهِدُ عِنْدَ جَمَاعَةٍ مِنْ أَئِمَّةِ الْحَدِيثِ عَنْ جَمَاعَةٍ مِنْ الصَّحَابَةِ تُخْرِجُهُ عَنْ الضَّعْفِ، وَمِنْ شَوَاهِدِهِ مَا أَخْرَجَهُ أَبُو يَعْلَى مَرْفُوعًا مِنْ حَدِيثِ ابْنِ مَسْعُودٍ «مَنْ رَضِيَ عَمَلَ قَوْمٍ كَانَ مِنْهُمْ» وَالْحَدِيثُ دَالٌّ عَلَى أَنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِالْفُسَّاقِ كَانَ مِنْهُمْ أَوْ بِالْكُفَّارِ أَوْ بِالْمُبْتَدِعَةِ فِي أَيِّ شَيْءٍ مِمَّا يَخْتَصُّونَ بِهِ مِنْ مَلْبُوسٍ أَوْ مَرْكُوبٍ أَوْ هَيْئَةٍ، قَالُوا: فَإِذَا تَشَبَّهَ بِالْكَافِرِ فِي زِيٍّ وَاعْتَقَدَ أَنْ يَكُونَ بِذَلِكَ مِثْلَهُ كَفَرَ فَإِنْ لَمْ يَعْتَقِدْ فَفِيهِ خِلَافٌ بَيْنَ الْفُقَهَاءِ مِنْهُمْ مَنْ قَالَ: يَكْفُرُ وَهُوَ ظَاهِرُ الْحَدِيثِ وَمِنْهُمْ مَنْ قَالَ: لَا يَكْفُرُ وَلَكِنْ يُؤَدَّبُ.