Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-762: HUKUM JUAL BELI HIDANGAN BUFET

HUKUM JUAL BELI HIDANGAN BUFET

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Sebagaimana diketahui, bila tiba bulan Ramadhan, kedai makan atau hotel banyak menyediakan hidangan berbentuk bufet. Persoalan saya di sini, apakah hukum menjual beli hidangan bufet sebegini? Adakah jual beli secara hidangan bufet tidak dibenarkan kerana pelanggan membayar harga yang sama tetapi mengambil hidangan tersebut dengan kadar yang berbeza-beza? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Jual beli hidangan bufet termasuk di dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit, di mana perbezaan kuantiti makanan yang diambil tersebut masih boleh diterima secara adat. Para ulama bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Jual beli hidangan bufet merupakan satu sistem penjualan menu di restoran atau kedai makan di mana pelanggan hanya membuat sekali bayaran untuk menikmati kesemua menu yang tersedia dalam tempoh waktu tertentu atau sebaliknya. Pelanggan yang mengunjungi restoran berkonsepkan hidangan bufet dibenarkan mengambil dan memilih sendiri kesemua hidangan yang telah disediakan oleh pihak restoran.

Dalam membeli secara bufet begini sebahagian daripada pelanggan mengambil makanan dengan kuantiti yang sedikit dan sebahagian yang lain pula mengambil dengan kuantiti yang lebih banyak sedangkan bayaran yang ditetapkan adalah sama. Adakah ia termasuk dalam kategori jual beli gharar (ketidakpastian) yang dilarang dalam Islam?

Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak[1].

Pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti al-gharar(ketidakpastian), al-maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan. Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.

Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-Gharar.”

Riwayat Muslim (3881)

Ibn Taimiyah mendefinisikan gharar sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya. Beliau menjelaskan bahawa gharar dalam jual beli berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerima haknya.[2]

Di samping itu, gharar ditakrifkan di dalam kitab Qalyubi wa Umairah sebagai:

ما انطوت عنا عاقبته أو ما تردد بين أمرين أغلبهما أخوفهما

"Sesuatu yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti"[3].

Menurut Al-San’ani, gharar berlaku apabila[4]:

  1. barang yang diniagakan tidak mampu diserahkan kepada pembeli,
  2. menjual beli barang yang belum ada (ma’dum) dan tidak jelas sifatnya (majhul)
  • atau; menjual barangan yang tidak dimiliki oleh penjual.

Ibn ‘Abidin, ulama mazhab al-Hanafi menyatakan bahawa syarat sah bagi jual beli ialah mengetahui jumlah barang dan harganya[5]. Oleh itu, ketidakjelasan mengenai kadar dan harga barangan boleh membawa kepada gharar dalam jual beli.

Namun begitu, gharar boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

  1. al-Gharar al-Yasir – ketidakjelasan yang kecil atau ringan
  2. al-Gharar al-Fahish – ketidakjelasan yang besar

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa jual beli yang secara jelas mengandungi unsur gharar dan mampu untuk dielakkan adalah satu larangan yang besar. Namun para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan gharar ringan yang sukar untuk dielakkan. Sebagai contoh, melakukan akad sewaan dengan menyatakan tempoh sewaan selama satu bulan, dimana di dalam satu bulan terdapat 29 hari, 30 hari atau 31 hari. Begitu juga memasuki tandas awam dengan bayaran yang sama walaupun terdapat perbezaan dalam penggunaan air dan tempoh para pengguna menggunakan tandas tersebut[6].

Selain itu, Ibn Rusyd al-Hafid berkata:

فالفقهاء متفقون على أن الغرر الكثير في المبيعات لا يجوز، وأن القليل يجوز

 “Para Fuqaha bersepakat bahawa ketidakjelasan (gharar) yang banyak terhadap barang jualan adalah diharamkan. Manakala ketidakjelasan (gharar) yang sedikit adalah diharuskan”[7].

Berkenaan hal ini, realiti jual beli hidangan bufet yang mempunyai perbezaan dari segi kadar atau kuantiti makanan yang diambil tidak mengandungi unsur gharar yang besar. Hal ini kerana penjual telah sedia maklum akan purata kadar untung rugi hidangan yang disediakan dan kadar perbezaan tersebut masih boleh diterima secara adat (uruf). Adapun bagi mereka yang kadar pemakanannya melebihi adat kebiasaan, maka dia harus memaklumkannya kepada pemilik restoran untuk menghindari gharar fahisy yang menyebabkan kerugian kepada salah satu pihak.

Kesimpulan

Jual beli hidangan bufet termasuk dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit. Para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.

Wallahua’lam

Rujukan:

[1] Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farah al-Ansori al-Khazraji Syams al-Din al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahqiq: Ahmad al-Burduni, Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H), 3/356.

(وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبا) هَذَا مِنْ عُمُومِ الْقُرْآنِ، وَالْأَلِفُ وَاللَّامُ لِلْجِنْسِ لَا لِلْعَهْدِ إِذْ لَمْ يَتَقَدَّمْ بَيْعٌ مَذْكُورٌ يَرْجِعُ إِلَيْهِ، كَمَا قَالَ تَعَالَى:" وَالْعَصْرِ إِنَّ الْإِنْسانَ لَفِي خُسْرٍ" ثُمَّ اسْتَثْنَى" إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحاتِ «1» ". وَإِذَا ثَبَتَ أَنَّ الْبَيْعَ عَامٌّ فَهُوَ مُخَصَّصٌ بِمَا ذَكَرْنَاهُ مِنَ الرِّبَا وَغَيْرِ ذَلِكَ مِمَّا نُهِيَ عَنْهُ وَمُنِعَ الْعَقْدُ عَلَيْهِ، كَالْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَحَبَلِ الْحَبَلَةِ «2» وَغَيْرِ ذَلِكَ مِمَّا هُوَ ثَابِتٌ فِي السُّنَّةِ وَإِجْمَاعِ الْأُمَّةِ النَّهْيُ عَنْهُ.

[2] Taqi al-Din Abu al-Abbas Ahmad bin Abdul Halim bin Abd al-Salam bin Abdullah bin Abi al-Qasim bin Muhammad Ibn Tamiyyah, Al-Fatawa al-Kubra li Ibn Taimiyyah, (Dar al-Kutub al-Ilmiah, cetakan pertama, 1408H – 1987M) 4/16

والغرر هو المجهول العاقبة، فإن بيعه من الميسر، وذلك أن العبد إذا أبق، والبعير أو الفرس إذا شرد فإن صاحبه إذا باعه إنما يبيعه مخاطرة، فيشتريه المشتري بدون ثمنه بكثير، فإن حصل له، قال البائع: قمرتني وأخذت مالي بثمن قليل، وإن لم يحصل، قال المشتري: قمرتني وأخذت الثمن بلا عوض، فيفضي إلى مفسدة الميسر التي هي إيقاع العداوة والبغضاء، مع ما فيه من أكل المال بالباطل

[3] Ahmad Salamah al-Qalyubi, Ahmad al-Burullusi Umairah, Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Tolibin (Beirut: Dar al-Fikr, 1415H – 1995M) 2/202

(من الغرر) هو ما انطوت عنا عاقبته أو ما تردد بين أمرين أغلبهما أخوفهما

[4] Muhammad bin Ismail al-San’ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, (Kaherah: Dar al-Hadis, cetakan ke-5, 1418H – 1997M) 3/18

بيع الغرر بفتح الغين المعجمة والراء المتكررة وهو بمعنى مغرور اسم مفعول وإضافة المصدر إليه من إضافته إلى المفعول، ويحتمل غير هذا ومعناه الخداع الذي هو مظنة أن لا رضا به عند تحققه فيكون من أكل المال بالباطل، ويتحقق في صور إما بعدم القدرة على تسليمه كبيع العبد الآبق والفرس النافر أو بكونه معدوما أو مجهولا أو لا يتم ملك البائع له كالسمك في الماء الكثير ونحو ذلك من الصور

[5] Muhammad Amin Ibn ‘Abidin, Hashiyah Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, (Kaherah: Syarikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Baabi al-Halabi) 4/529

[6] Abu Zakaria Mahy al-Din Yahya bin al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1397H) 10/156

النهي عن بيع الغرر فهو أصل عظيم من أصول كتاب البيوع ولهذا قدمه مسلم ويدخل فيه مسائل كثيرة غير منحصرة كبيع الآبق والمعدوم والمجهول وما لا يقدر على تسليمه وما لم يتم ملك البائع عليه وبيع السمك في الماء الكثير واللبن في الضرع وبيع الحمل في البطن وبيع بعض الصبرة مبهما وبيع ثوب من أثواب وشاة من شياه ونظائر ذلك وكل هذا بيعه باطل لأنه غرر من غير حاجة وقد يحتمل بعض الغرر بيعا إذا دعت إليه حاجة كالجهل بأساس الدار وكما إذا باع الشاة الحامل والتي في ضرعها لبن فإنه يصح للبيع لأن الأساس تابع للظاهر من الدار ولأن الحاجة تدعو إليه فإنه لا يمكن رؤيته وكذا القول في حمل الشاة ولبنها وكذلك أجمع المسلمون على جواز أشياء فيها غرر حقير منها أنهم أجمعوا على صحة بيع الجبة المحشوة وإن لم ير حشوها ولو بيع حشوها بانفراده لم يجز وأجمعوا على جواز إجارة الدار والدابة والثوب ونحو ذلك شهرا مع أن الشهر قد يكون ثلاثين يوما وقد يكون تسعة وعشرين وأجمعوا على جواز دخول الحمام بالأجرة مع اختلاف الناس في استعمالهم الماء وفي قدر مكثهم وأجمعوا على جواز الشرب من السقاء بالعوض مع جهالة قدر المشروب واختلاف عادة الشاربين وعكس هذا وأجمعوا على بطلان بيع الأجنة في البطون والطير في الهواء قال العلماء مدار البطلان بسبب الغرر والصحة مع وجوده على ما ذكرناه وهو أنه إن دعت حاجة إلى ارتكاب الغرر ولا يمكن الاحتراز عنه إلا بمشقة وكان الغرر حقيرا جاز البيع وإلا فلا

[7] Abu Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad bin Rushd al-Hafid, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Kaherah: Dar al-Hadis, 1425H – 2004M) 3/173