Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-766: HUKUM PIHAK MONEY CHANGER MENGAMBIL KEUNTUNGAN DARIPADA PERTUKARAN MATA WANG

HUKUM PIHAK MONEY CHANGER MENGAMBIL KEUNTUNGAN DARIPADA PERTUKARAN MATA WANG

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Saya dapati bahawa mata wang merupakan item ribawi dan antara syarat-syarat pertukaran item ribawi mestilah sama kuantiti dan nilainya. Jadi, apakah hukum pihak money changer mengambil keuntungan daripada pertukaran mata wang?  Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Pertukaran mata wang di money changer seperti Ringgit Malaysia kepada Dolar Singapura dikira sebagai jual beli item ribawi yang sama kategori tetapi berlainan jenis. Walaupun ditukar dengan nilai yang tidak sama, ia tidak tergolong dalam riba yang diharamkan syarak selagimana jual beli tersebut dilakukan secara lani/on the spot.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Money changer bermaksud pengurup wang; iaitu sebuah agensi atau tempat yang menerima pertukaran mata wang melalui jual beli secara tunai. Kebiasaannya, pihak money changer akan meletakkan nilai jualan mata wang (we sell) dengan kadar yang lebih tinggi daripada nilai mata wang semasa, manakala nilai belian mata wang (we buy) dengan kadar yang lebih rendah berbanding nilai mata wang semasa. Natijahnya, nilai wang yang diterima pelanggan tidak sama kadarnya dengan nilai mata wang semasa.

Sebagai contoh, kadar mata wang semasa bagi Ringgit dan Dolar Singapura ialah S$ 1 = RM 3 atau RM 1 = S$ 0.33. Pihak money changer akan mengambil keuntungan daripada nilai tersebut. Sekiranya mereka mengambil keuntungan sebanyak 2% daripada setiap pertukaran, kadar jualan yang diterbitkan untuk Dolar Singapura ialah RM 1 = S$ 0.32 dan kadar belian untuk Dolar Singapura ialah RM 1 = S$ 0.34. Mereka akan memperoleh RM 6 bagi setiap transaksi sebanyak RM 300.

Persoalannya, adakah tindakan ini termasuk dalam kategori riba yang diharamkan oleh syarak?

Transaksi di money changer ini termasuk dalam bay’ al-sarf; iaitu jual beli mata wang yang sama jenis atau berlainan jenis seperti jual beli emas dengan emas, emas dengan perak, dinar dengan dinar, dan dirham dengan dirham.

‘Ubadah bin al-Somit RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذّهَبُ بِالذّهَبِ، وَالفِضّةُ بِالفِضّةِ، وَالبُرّ بِالبُرّ، وَالشّعِيرُ بِالشّعِيرِ، وَالتّمْرُ بِالتّمْرِ، وَالمِلحُ بِالمِلحِ، مِثْلاً بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَداً بِيَدٍ، فَإذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إذَا كَانَ يَداً بِيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara tunai (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara tunai”.

Riwayat Muslim

Menurut mazhab al-Syafi’i, terdapat dua ‘illah (sebab) berlaku riba dalam urusan jual beli iaitu nilai mata wang dan makanan[1]. Jadi, segala jenis barangan sama ada berbentuk nilai mata wang seperti emas, perak, Ringgit Malaysia (RM), Dolar Amerika Syarikat (USD) ataupun makanan seperti beras, tepung gandum, dan lain-lain yang berkaitan disebut sebagai item ribawi. Item ribawi adalah barang yang memerlukan kaedah urus niaga khas untuk mengelakkan berlakunya riba.

Riba menurut mazhab al-Syafi’i terbahagi kepada tiga kategori[2]:

  1. Riba al-Fadhl:  Riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantiti sedangkan kedua-duanya daripada jenis item yang sama[3].

Contohnya:

  1. Menukar 5 gram emas jenis 999 dengan 6 gram emas jenis 916. Ia adalah haram kerana sepatutnya kedua-dua ditukar dengan kadar yang sama.
  2. Menukar atau menjual 5 kilogram beras Basmathi dengan bayarannya 10 kilogram beras putih tempatan.
  1. Riba al-Nasi’ah: Riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan cas tambahan[4].

Contohnya:

  1. Menjual 5 gram emas dengan harga RM 2000 secara tangguh
  2. Menukar 5 kilogram beras dengan 10 kilogram gandum secara tangguh
  1. Riba al-Yad: Riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan item ribawi walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan[5].

Syarat-Syarat Jual Beli Item Ribawi yang Sama Kategori dan Jenis

Menjual item ribawi yang sama kategori (makanan atau mata wang) dan sama jenisnya seperti menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam atau lain-lainnya akan menjadi sah apabila memenuhi dua syarat berikut:

  1. Mestilah sama kadar (سَواءً بسَواءٍ)
  2. Mestilah dilakukan dalam satu sesi (on the spot) dan bukan bertangguh (يَدًا بيَدٍ)

Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku jual beli antara dua item ribawi yang sama kategori tetapi berlainan jenis seperti pertukaran emas dengan perak atau gandum dengan barli, maka ia dibolehkan jika tidak sama nilai dan kuantiti dengan syarat jual beli tersebut mesti dilakukan secara lani/on the spot[6].

Misalnya, menukar 1 gram emas dengan 5 gram perak secara lani atau membeli emas menggunakan wang ringgit secara lani.

Menurut garis panduan syariah yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), pertukaran mata wang adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut[7]:

  1. Pertukaran mata wang mestilah dilakukan secara lani/on the spot; iaitu transaksi selesai sebelum kedua-dua pihak berpisah.
  2. Jumlah pertukaran mestilah sama sekiranya mata wang tersebut daripada jenis yang sama, walaupun berbeza dari segi wang kertas dan syiling.
  3. Tidak meletakkan khiyar syart atau menangguhkan penyerahan mata wang.
  4. Perniagaan tersebut mestilah tidak bertujuan monopoli atau memudaratkan individu atau masyarakat.

Kesimpulan

Pertukaran mata wang di money changer seperti Ringgit Malaysia kepada Dolar Singapura dikira sebagai jual beli item ribawi yang sama kategori tetapi berlainan jenisnya. Walaupun ditukar dengan nilai yang tidak sama, ia tidak tergolong dalam riba yang diharamkan syarak selagimana jual beli tersebut dilakukan secara lani/on the spot. Sekiranya ia dilakukan secara tangguh, maka ia termasuk dalam kategori riba al-nasi’ah. Dalam masalah pertukaran mata wang ini, yang diharamkan adalah menukar satu mata wang yang sama jenis. Contohnya mengambil keuntungan daripada hasil pertukaran duit kertas Ringgit Malaysia kepada duit syiling Ringgit Malaysia.

Wallahu’alam

Rujukan:

[1] Abu Muhammad al-Husain bin Muhammad bin al-Farra’ al-Baghawi, Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, Tahqiq: ‘Adil Ahmad Abd al-Maujud (Dar al-Kutub al-Ilmiah, cetakan 1, 1418H – 1998M) 3/334-335

فذهب الشافعي - رضي الله عنه -إلى أن العلة في الدراهم والدنانير النقدية العامة، وكونهما ثمنين للأشياء غالبا، ولا يقاس غيرهما عليهما؛ كما اختص بهما تقويم المتلفات. والعلة في الأشياء الأربعة الطعم؛ فأثبت الربا في جميع المطعومات

[2] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, (Dar al-Kutub al-Ilmiah, cetakan 1, 1415H – 1994M) 2/363

وهو ثلاثة أنواع: ربا الفضل وهو البيع مع زيادة أحد العوضين عن الآخر، وربا اليد، وهو البيع مع تأخير قبضهما أو قبض أحدهما، وربا النسا وهو البيع لأجل

[3] ربا الفضل: وهو البيع مع زيادة أحد العوضين عن الآخر أي أن الزيادة مجردة عن التأخير. وهو لا يكون إلا في بدلين متحدي الجنس

Lihat: Wahbah bin Mustofa al-Zuhaili, Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-4, t.t) 5/703

[4] ربا النسيئة: وهو البيع لأجل أي البيع نسيئة إلى أجل ثم الزيادة عند حلول الأجل، وعدم قضاء الثمن في مقابلة الأجل، أي أن الزيادة في أحد البدلين من غير عوض في مقابلة تأخير الدفع، سواء من جنس واحد أم جنسين مختلفين، وسواء أكانا متساويين أم متفاضلين

Ibid, 5/704

[5] ربا اليد: وهو البيع مع تأخير قبض العوضين أو قبض أحدهما من غير ذكر أجل، أي أن يتم بيع مختلفي الجنس كالقمح بالشعير من غير تقابض في مجلس العقد

[6] Muhammad bin Idris al-Syafi’i, Al-Umm (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan ke-2, 1403H – 1983M) 3/18

 (قال): وهكذا كل ما اختلفت أسماؤه وأصنافه من الطعام فلا بأس بالفضل في بعضه على بعض يدا بيد ولا خير فيه نسيئة كالدنانير بالدراهم لا يختلف هو، وهي وكذلك زبيب بتمر وحنطة بشعير وشعير بسلت وذرة بأرز وما اختلف أصنافه من المأكول أو المشروب، هكذا كله وفي حديثه عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم دلائل منها أنه سأل أهل العلم بالرطب عن نقصانه...

[7] Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Shari’ah Standards, (Manama: Dar al-Maiman, 2015M) 52-53