Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-908: FATWA DAN KESANNYA DARI PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG

 PP_poster_6.jpg

 

SOALAN: Adakah fatwa mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk mewajibkan semua orang untuk mematuhinya? Mohon penjelasan daripada SS Tuan Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Dari perspektif undang-undang, fatwa yang mengikat adalah merujuk kepada fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa fatwa yang dilantik oleh pemerintah dan disiarkan secara rasmi melalui warta kerajaan. Fatwa yang diwartakan ini hanya mengikat orang Islam di wilayah atau negeri tertentu. Segala perbuatan yang dilakukan oleh orang Islam yang bertentangan dengan fatwa boleh dianggap sebagai satu kesalahan dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah.

HURAIAN JAWAPAN:

Pendahuluan

Dari sudut bahasa, perkataan “fatwa” berasal daripada bahasa Arab “fatwā” yang secara umumnya membawa kepada makna jawapan kepada sesuatu persoalan.[1] Manakala dari sudut istilah yang digunakan oleh para fuqaha pula merujuk kepada penjelasan hukum syarak kepada sesuatu permasalahan yang ditanyakan. [2]

Fatwa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi syarak, kerana fatwa adalah dianggap sebagai menggalas tugas yang disandarkan kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan hukum-hukum syarak kepada umat manusia.[3] Justeru, institusi fatwa mestilah perlu dipandang tinggi oleh masyarakat, dan perlu dihormati apatah lagi institusi fatwa dalam konteks di Malaysia adalah merupakah institusi yang mewakili pemerintah dan ketua agama Islam di setiap negeri dan wilayah.

Kedudukan Fatwa dalam Sistem Perundangan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan bahawa kuasa berhubung dengan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri, seperti yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri). Menurut peruntukan ini, Raja atau Sultan sebagai Ketua Agama Islam bagi negerinya berhak untuk mengurus segala hal berkaitan Islam termasuk pentadbiran undang-undang syariah, institusi agama, wakaf, zakat, baitulmal, dan mahkamah syariah.

Justeru dalam konteks Wilayah-Wilayah Persekutuan, institusi fatwa berdiri di bawah kuasa yang telah diperuntukkan di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505). Dari perspektif undang-undang, sesuatu fatwa di Wilayah Persekutuan merujuk kepada penetapan atau pandangan mengenai apa-apa persoalan Hukum Syarak yang disiarkan secara rasmi di dalam Warta. Subseksyen 34(2), (Akta 505) memperuntukkan seperti berikut:

Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1)”.

Sesuatu fatwa yang hendak dikeluarkan secara asasnya bermula melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak yang membincangkan mengenai sesuatu fatwa tersebut. Hal ini demikian berdasarkan kepada peruntukan Subseksyen 37(5), (Akta 505) yang memperuntukkan bahawa:

Apabila Mufti bercadang hendak membuat fatwa di bawah seksyen 34 dia hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu”.

Justeru sesuatu fatwa yang dikeluarkan dalam konteks di Malaysia adalah merupakan satu keputusan hukum syarak yang dilakukan secara pendapat jamaie oleh pakar-pakar syariah yang telah dilantik oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong atau DYMM Sultan-Sultan. Keputusan hukum tersebut turut disemak oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) atau penasihat undang-undang di negeri-negeri sebelum ia diwartakan.

Oleh kerana itu, setelah sesuatu fatwa diwartakan di Wilayah Persekutuan, maka fatwa tersebut mengikat orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan, seperti yang diperuntukkan oleh Subseksyen 34(3), (Akta 505):

Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu...”.

Pelanggaran Fatwa Merupakan Satu Kesalahan di Bawah Undang-Undang

Seperti yang telah dijelaskan, sesuatu fatwa yang telah diwartakan di Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah mengikat semua orang Islam yang bermastautin di Wilayah tersebut, bahkan Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan juga mestilah menerima dan mengiktiraf fatwa-fatwa yang telah diwartakan di Wilayah Persekutuan dalam perkara yang membabitkan penentuan hukum syarak, seperti yang diperuntukkan oleh Subseksyen 34(4), (Akta 505):

Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya”.

Justeru, perbuatan memberikan, mengembangkan atau menyebarkan pandangan mengenai hukum syarak yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang diwartakan di Wilayah Persekutuan adalah dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 12, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559), dan boleh didenda dengan bayaran tidak melebihi tiga ribu, atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau boleh dihukum dengan kedua-dua hukuman tersebut.[4]

Selain itu, orang yang melanggar sesuatu fatwa juga boleh dianggap sebagai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559) juga, dan boleh dianggap sebagai menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama. Apabila sabit kesalahan tersebut, mahkamah boleh mengenakan denda dengan bayaran tidak melebihi tiga ribu, atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau boleh dihukum dengan kedua-dua hukuman tersebut.[5]

Kepentingan Peruntukan Undang-Undang Terhadap Kesalahan Melanggar Fatwa

Peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan melanggar fatwa hakikatnya bertujuan untuk menjaga kemaslahatan terhadap kesucian agama Islam itu sendiri. Peruntukan undang-undang sebegini juga boleh menjamin kesatuan pandangan dalam kalangan umat Islam. Fatwa merupakan panduan rasmi berasaskan al-Quran, Hadis dan prinsip-prinsip syarak yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti. Dengan adanya peruntukan undang-undang yang mengikat, ia memberi kekuatan perundangan kepada fatwa tersebut agar ia dihormati, diikuti dan tidak dipandang remeh oleh masyarakat Islam.

Selain memastikan pematuhan, peruntukan ini juga memainkan peranan penting dalam mengelakkan kekeliruan serta perbezaan pendapat yang boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. Kesatuan dalam hal-hal tertentu berkaitan agama amat diperlukan bagi menjaga keharmonian umat Islam. Secara khususnya di Wilayah Persekutuan, undang-undang ini turut memperkukuhkan autoriti institusi agama Islam dan memastikan segala panduan serta peraturan yang dikeluarkan mendapat tempat yang sewajarnya dalam kehidupan masyarakat Islam.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

  1. Fatwa memainkan peranan besar di dalam mendidik dan menggerakkan agenda perubahan masyarakat yang selari dengan tuntutan zaman.
  1. Fatwa yang diwartakan hanya mengikat kepada orang Islam di sesuatu negeri atau wilayah sahaja. Justeru, fatwa tidak terpakai dan tidak terikat kepada orang yang bukan Islam.
  1. Perbuatan melanggar fatwa adalah dikira sebagai satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 [Akta 559] dan boleh didakwa di mahkamah-mahkamah syariah.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan:

[1] Wizārah al-Awqāf li al-Shu’ūn al-Islāmiyyah - Kuwayt (1427H), al-Mawsū'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, Kuwait: Dar al-Salāsil, 32:20.

الْفَتْوَى لُغَةً: اسْمُ مَصْدَرٍ بِمَعْنَى الإِْفْتَاءِ، وَالْجَمْعُ: الْفَتَاوَى وَالْفَتَاوِي، يُقَال: أَفْتَيْتُهُ فَتْوَى وَفُتْيَا إِذَا أَجَبْتَهُ عَنْ مَسْأَلَتِهِ، وَالْفُتْيَا تَبْيِينُ الْمُشْكِل مِنَ الأَْحْكَامِ، وَتَفَاتَوْا إِلَى فُلَانٍ: تَحَاكَمُوا إِلَيْهِ وَارْتَفَعُوا إِلَيْهِ فِي الْفُتْيَا، وَالتَّفَاتِي: التَّخَاصُمُ، وَيُقَال: أَفْتَيْتُ فُلَانًا رُؤْيَا رَآهَا: إِذَا عَبَّرْتَهَا لَهُ (1) وَمِنْهُ قَوْله تَعَالَى حَاكِيًا: {يَا أَيُّهَا الْمَلأَُ أَفْتُونِي فِي رُؤْيَايَ}

[2] Wizārah al-Awqāf li al-Shu’ūn al-Islāmiyyah - Kuwayt (1427H), al-Mawsū'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, Kuwait: Dar al-Salāsil, 32:21.

وَالْفَتْوَى فِي الاِصْطِلَاحِ: تَبْيِينُ الْحُكْمِ الشَّرْعِيِّ عَنْ دَلِيلٍ لِمَنْ سَأَل عَنْهُ (1) وَهَذَا يَشْمَل السُّؤَال فِي الْوَقَائِعِ وَغَيْرِهَا.

[3] Al-Qaraḍāwiy, Yūsuf (1995), Al-Fatwā Bayn al-Inḍibāṭ wa al-Tasayyub, 15-16.

[4] Seksyen 12, Akta 559: “Mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang ajaran Islam, Hukum Syarak atau apa-apa isu yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”.

[5] Seksyen 9, Akta 559: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”.