Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-939: ADAKAH SAH KAHWIN DENGAN ANAK BEKAS ISTERI?

APAKAH_SAH_KAHWIN_DENGAN_ANAK_BEKAS_ISTERI.jpg

Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti, bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan anak bekas isterinya? Mohon penjelasan.

Ringkasan Jawapan

Perkahwinan antara bapa tiri dan anak bekas isteri adalah haram selama-lamanya sekiranya lelaki tersebut pernah menyetubuhi atau berlaku kemasukan air mani suami ke dalam rahim isteri seperti melalui kaedah IUI atau IVF. Hukum ini termasuk bagi semua anak perempuan yang dilahirkan oleh bekas isteri dalam perkahwinannya yang lain, sama ada sebelum atau selepas perceraian dengan lelaki tersebut.

Namun, sekiranya tidak pernah berlaku persetubuhan, maka harus bagi lelaki tersebut berkahwin dengan anak bekas isterinya selepas perceraian atau kematian ibu. Larangan ini bertujuan memelihara kehormatan keluarga, mengelakkan kekeliruan nasab, serta menjaga kesucian hubungan kekeluargaan menurut syariat Islam.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Isu perkahwinan antara bapa tiri dengan bekas anak tiri adalah persoalan fiqh yang melibatkan hukum muharramat iaitu perempuan yang haram dikahwini dalam Islam. Anak tiri perempuan atau anak kepada isteri disebutkan sebagai rabibah (ربيبة) dalam bahasa Arab.

Allah SWT berfirman:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).”

Surah al-Nisa (23)

Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, pengharaman berkahwin dengan anak isteri terikat dengan keadaan isteri tersebut telah disetubuhi. Pengharaman ini adalah mahram muabbad iaitu haram dikahwini selama-lamanya walaupun setelah berlaku perceraian dengan isteri atau kematian isteri itu.[1]

Oleh hal yang demikian, seperti yang berlaku dalam kebanyakan keadaan, haram berkahwin dengan anak isteri apabila bekas isteri tersebut pernah disetubuhi atau berlaku kemasukan air mani suami sepanjang tempoh perkahwinan.[2] Larangan ini dapat difahami melalui dalalah isyarah terhadap lafaz دَخَلْتُم dalam firman Allah SWT yang telah dinyatakan sebelum ini. Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, secara tersirat makna الدخول bukan sahaja merujuk kepada perbuatan persetubuhan secara zahir tetapi juga mencakupi setiap keadaan yang menghasilkan hukum dan kesan yang sama dengan persetubuhan, iaitu berlakunya kemasukan air mani suami ke dalam rahim isteri sama ada secara semula jadi mahupun melalui kaedah lain seperti dalam perubatan.

Sebagai contoh, isteri tersebut pernah melakukan intrauterine insemination (IUI), iaitu meletakkan sperma suami yang bergerak pantas ke dalam rahim isteri semasa ovulasi atau melakukan persenyawaan in vitro (IVF) iaitu persenyawaan sperma suami dan ovum isteri di luar rahim kemudian dimasukkan embrio ke dalam rahim tanpa pernah melakukan persetubuhan dengan suami. Walaupun tidak berlaku persetubuhan, tetapi berlaku kemasukan air mani.

Justeru dalam keadaan tersebut, haram selama-lamanya bagi suami berkahwin dengan anak isteri walaupun bekas isteri itu telah diceraikan atau meninggal dunia. Situasi ini juga disebutkan oleh para ulama’ dalam satu kaedah ringkas:

العقد على البنات يحرِّم الأمهات، ‌والدخول ‌بالأمهات ‌يحرّم ‌البنات

Maksudnya: “Akad (nikah) dengan anak-anak perempuan mengharamkan ibu-ibunya. Begitu juga bersetubuh dengan ibu-ibu mengharamkan anak-anak perempuannya.”[3]

Hukum ini terpakai kepada semua anak-anak yang dilahirkan oleh bekas isteri dalam perkahwinannya yang lain sama ada sebelum atau selepas bercerai dengan suami tersebut. Anak-anak perempuan tersebut dimaksudkan zuriat keturunan perempuan termasuk anak-anak, cucu-cucu serta cicit-cicit perempuan sama ada kandung atau susuan.[4]

Walau bagaimanapun, sekiranya bapa tiri belum pernah menyetubuhi ibu kepada anak tiri itu, maka harus berkahwin dengan anak tiri selepas perceraian atau kematian ibu anak itu.

Hikmah Larangan perkahwinan dengan anak tiri

Larangan berkahwin dengan anak tiri selepas berlakunya persetubuhan dengan ibunya mempunyai hikmah dalam menjaga institusi kekeluargaan. Islam sangat menitikberatkan soal batas pergaulan dan hubungan kekeluargaan yang terpelihara daripada unsur yang boleh menimbulkan fitnah dan kekeliruan. Syarak menetapkan larangan ini dengan jelas agar tidak berlaku kekeliruan dalam hubungan antara mahram dan bukan mahram dalam satu keluarga. Ini juga membantu mengelakkan situasi yang boleh menggugat keharmonian dalam rumah tangga.

Di samping itu, larangan ini juga selari dengan matlamat aspek pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl). Perkahwinan yang dilarang seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan nasab, terutamanya jika seseorang itu berkahwin dengan anak kepada bekas isterinya yang pernah diasuh dan dibesarkan bersama. Dengan menjaga batas ini, Islam memastikan nasab kekeluargaan tidak dicampuradukkan dan setiap individu mengetahui dengan jelas kedudukan serta hubungan mereka dalam struktur keluarga.

Secara keseluruhannya, larangan ini merupakan satu bentuk pencegahan terhadap keretakan institusi keluarga dan salah faham dalam hubungan antara ahli keluarga. Ia juga mendidik umat Islam agar lebih berhati-hati dalam memahami batas pergaulan dan pertalian dalam keluarga, serta menjaga adab dan kehormatan sesama ahli keluarga. Maka, syariat Islam bukan sekadar mengharamkan sesuatu perbuatan, tetapi juga mendatangkan maslahat yang lebih besar dalam membina keluarga yang sejahtera, harmoni, dan berlandaskan hukum Allah SWT.

Kesimpulan

Hukum berkahwin dengan anak bekas isteri adalah bergantung kepada sama ada suami tersebut pernah menyetubuhi ibunya atau tidak. Jika telah berlaku persetubuhan atau kemasukan air mani suami ke dalam rahim isteri melalui kaedah rawatan seperti IUI atau IVF, maka anak tiri tersebut menjadi haram dikahwini selama-lamanya (mahram muabbad). Sebaliknya, jika tiada sebarang bentuk persetubuhan atau kemasukan air mani berlaku sepanjang tempoh perkahwinan, maka perkahwinan dengan anak tiri adalah harus dari sudut hukum syarak, walaupun telah bercerai dengan ibu anak tersebut.

Larangan ini menunjukkan keprihatinan Islam dalam menjaga kehormatan keluarga dan keturunan. Ia bukan sekadar hukum, tetapi satu bentuk penjagaan terhadap adab kekeluargaan, ketelusan hubungan, serta kejelasan nasab dalam masyarakat. Maka, umat Islam perlu memahami dengan jelas batas-batas yang ditetapkan oleh syarak bagi mengelakkan fitnah dan kekeliruan dalam hubungan kekeluargaan, serta memastikan setiap tindakan berlandaskan hukum dan nilai-nilai Islam yang murni.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. (T.tp: Dar al-Fikr, 2005). 210.

وتحرم زوجة من ولدت أو ولدك من نسب أو رضاع وأم زوجتك منهما وكذا بناتها إن دخلت بها.

[2] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad.Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). 7/302.

(إنْ دَخَلْتَ بِهَا) بِأَنْ وَطِئْتَهَا فِي حَيَاتِهَا وَلَوْ فِي الدُّبُرِ وَإِنْ كَانَ الْعَقْدُ فَاسِدًا وَكَذَا إنْ اسْتَدْخَلَتْ مَاءَك الْمُحْتَرَمَ فِي حَالِ نُزُولِهِ وَإِدْخَالِهِ إذْ هُوَ كَالْوَطْءِ فِي أَكْثَرِ أَحْكَامِهِ فِي هَذَا الْبَابِ وَغَيْرِهِ

[3] Al-Zuhaili, Wahbah bin Mustafa. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr, t.t.). 9/6629.

[4] Ibn Hajar al-Haitami. Tuhfah al-Muhtaj. 7/302.

(وَكَذَا بَنَاتُهَا) أَيْ زَوْجَتِك وَلَوْ بِوَاسِطَةٍ سَوَاءٌ بَنَاتُ ابْنِهَا وَبَنَاتُ بِنْتِهَا وَإِنْ سَفَلْنَ