Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

qaul qadim jadid

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam mazhab Syafi’e, terdapat dua istilah yang sering ditemui dalam kitab-kitab mazhab, iaitu qaul qadim dan qaul jadid. Sebelum menjelaskan lebih lanjut tentang makna kedua-dua istilah ini, kami bawakan terlebih dahulu latar belakang kehidupan Imam al-Syafi’e secara ringkas serta kembara ilmu beliau hingga berjaya mencapai taraf mujtahid mutlaq.

 

Biografi dan latar belakang Imam al-Syafi’e

Imam al-Syafi’e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir pada tahun 150H di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota ‘Asqalan. Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah SAW pada moyang mereka berdua iaitu Abdu Manaf.

Ketika umurnya dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. (Rujuk Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta'sis li Ma'ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51)

Di Mekah, beliau menuntut ilmu dengan beberapa orang ulama terkenal, antaranya Imam Khalid bin Muslim al-Zanji iaitu mufti Mekah pada waktu itu, Fudhail bin ‘Iyadh dan Sufyan bin ‘Uyainah.

Kemudian beliau berpindah ke Madinah ketika berumur 12 tahun, dan telah menghafal kitab al-Muwatto hanya dalam masa 9 hari untuk membolehkan dirinya belajar dengan Imam Malik bin Anas. Beliau telah menjadi anak murid Imam Malik yang paling alim, selain turut belajar daripada ulama Madinah yang lain. Beliau telah diberikan kebenaran untuk berfatwa ketika umur beliau 15 tahun.

Kemudiannya, beliau berpindah ke Yaman dan menuntut ilmu daripada Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amru bin Abi Salamah dan Yahya bin Hassan, sebelum menetap di Iraq dan berguru dengan Waki’ bin Jarrah, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid al-Ramli dan Ismail bin ‘Ulayyah. Di Iraq, beliau telah mengarang kitab al-Hujjah yang menghimpunkan pandangan beliau yang lama (qaul qadim).

Kemudian, Imam al-Syafi’e berpindah ke Mesir, dan mengubah banyak fatwa-fatwa beliau yang lama dan mengasaskan mazhab yang baharu yang menghimpunkan qaul jadid, yang dimuatkan di dalam kitab al-Umm. Beliau turut mengarang kitab al-Risalah dalam ilmu Usul Fiqh, sekaligus menjadi pengasas bagi ilmu ini.

Beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu) agama Islam bagi kurun yang kedua, antara lain kerana telah menghimpunkan antara dua manhaj, iaitu manhaj Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas. Imam al-Syafi’e telah meninggal dunia pada tahun 204H di Kaherah, semoga Allah SWT merahmati roh beliau. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah hlm. 31-32)

 

Apakah maksud qaul qadim dan jadid?

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, qaul qadim merupakan pandangan Imam Syafi’e sebelum beliau memasuki Mesir yang antara lain terkandung dalam kitab beliau al-Hujjah; manakala qaul jadid pula ialah pandangan Imam al-Syafi’e sewaktu di Mesir, yang antara lain termuat di dalam kitab Mukhtasar al-Buwaiti dan al-Umm. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/53-54)

Menurut Imam al-Ramli, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, atau sebelum perpindahan beliau ke Mesir, manakala qaul jadid ialah pandangan beliau ketika di Mesir. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 1/50)

Menurut Imam Khatib al-Syirbini, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, samada melalui penulisan (yang terkandung dalam kitab al-Hujjah) atau fatwa secara lisan. Qaul jadid pula ialah pandangan Imam Syafi’e ketika di Mesir, samada dalam bentuk penulisan atau fatwa lisan, dan periwayat utama qaul jadid ialah al-Buwaiti, al-Muzani dan al-Rabi’; adapun murid beliau yang lain seperti Harmalah, Yunus bin Abd al-A’la, Abdullah bin Zubair al-Makki, mereka hanya meriwayatkan sebahagian pandangan Imam al-Syafi’e.  Adapun qaul yang diucapkan ketika tempoh waktu selepas beliau keluar dari Iraq dan sebelum sampai ke Mesir, maka pandangan yang lebih terkemudian dianggap sebagai qaul jadid, dan yang lebih awal sebagai qaul qadim. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107)

Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaily, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika beliau di Iraq secara bertulis dalam kitab al-Hujjah, atau fatwa yang beliau fatwakan. Antara perawi bagi qaul qadim ini ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Za’farani, al-Karabisi dan Abu Tsur.

Qaul jadid pula ialah qaul fiqhi yang dinyatakan Imam al-Syafi’e ketika di Mesir, samada secara bertulis atau fatwa secara lisan, dan antara periwayat qaul jadid ialah al-Muzani, al-Buwaiti, al-Rabi’ al-Muradi dan Harmalah. Kitab-kitab terpenting yang membawa qaul jadid ialah al-Umm, al-Imlaa’, Mukhtasar al-Buwaiti dan Mukhtasar al-Muzani. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 1/25)

Berdasarkan definisi para ulama yang dibawakan di atas, boleh disimpulkan bahawa qaul qadim merangkumi pandangan-pandangan Imam al-Syafi’e sebelum beliau menetap di Mesir, iaitu ketika beliau tinggal di Mekah, Madinah, Yaman dan Iraq.

Adapun qaul jadid, ia merupakan pandangan-pandangan beliau ketika beliau berpindah ke Mesir, hinggalah setelah kewafatan beliau, dan qaul jadid merupakan qaul mu’tamad yang dijadikan fatwa yang mewakili mazhab Imam al-Syafi’e.

Secara umumnya, Imam al-Syafi’e telah menarik kembali pandangan beliau yang lama (qaul qadim), dan berkata: “Aku tidak benarkan sesiapa meriwayatkan daripadaku pandangan aku yang lama”. Beliau juga tidak membenarkan qaul qadim dikira sebagai pandangan yang mewakili mazhab beliau. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, qaul qadim merangkumi pandangan-pandangan Imam al-Syafi’e sebelum beliau menetap di Mesir, iaitu ketika beliau tinggal di Mekah, Madinah, Yaman dan Iraq.  Adapun qaul jadid, ia merupakan pandangan-pandangan beliau ketika beliau berpindah ke Mesir, hinggalah setelah kewafatan beliau, dan qaul jadid merupakan qaul mu’tamad yang dijadikan fatwa yang mewakili mazhab Imam al-Syafi’e.

Wallahu a’lam.