Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

batal qaul qadim

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Apakah maksud qaul qadim dan jadid?

Menurut Ibn Hajar al-Haitami, qaul qadim merupakan pandangan Imam Syafi’e sebelum beliau memasuki Mesir yang antara lain terkandung dalam kitab beliau al-Hujjah; manakala qaul jadid pula ialah pandangan Imam al-Syafi’e sewaktu di Mesir, yang antara lain termuat di dalam kitab Mukhtasar al-Buwaiti dan al-Umm. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/53-54)

Menurut Imam al-Ramli, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, atau sebelum perpindahan beliau ke Mesir, manakala qaul jadid ialah pandangan beliau ketika di Mesir. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 1/50)

Menurut Imam Khatib al-Syirbini, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika di Iraq, samada melalui penulisan (yang terkandung dalam kitab al-Hujjah) atau fatwa secara lisan. Qaul jadid pula ialah pandangan Imam Syafi’e ketika di Mesir, samada dalam bentuk penulisan atau fatwa lisan, dan periwayat utama qaul jadid ialah al-Buwaiti, al-Muzani dan al-Rabi’; adapun murid beliau yang lain seperti Harmalah, Yunus bin Abd al-A’la, Abdullah bin Zubair al-Makki, mereka hanya meriwayatkan sebahagian pandangan Imam al-Syafi’e.  Adapun qaul yang diucapkan ketika tempoh waktu selepas beliau keluar dari Iraq dan sebelum tinggal di Mesir, maka pandangan yang lebih terkemudian dianggap sebagai qaul jadid, dan yang lebih awal sebagai qaul qadim. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107)

Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaily, qaul qadim ialah pandangan Imam al-Syafi’e ketika beliau di Iraq secara bertulis dalam kitab al-Hujjah, atau fatwa yang beliau fatwakan. Antara perawi bagi qaul qadim ini ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Za’farani, al-Karabisi dan Abu Tsur.

Qaul jadid pula ialah qaul fiqhi yang dinyatakan Imam al-Syafi’e ketika di Mesir, samada secara bertulis atau fatwa secara lisan, dan antara periwayat qaul jadid ialah al-Muzani, al-Buwaiti, al-Rabi’ al-Muradi dan Harmalah. Kitab-kitab terpenting yang membawa qaul jadid ialah al-Umm, al-Imlaa’, Mukhtasar al-Buwaiti dan Mukhtasar al-Muzani. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 1/25)

 

Adakah qaul jadid membatalkan qaul qadim?

Dalam hal ini, ada persoalan yang berbangkit: Dengan adanya qaul jadid, adakah secara automatik qaul qadim terbatal dan tidak lagi terpakai?

Menurut Imam al-Nawawi: Setiap masalah yang mempunyai dua pandangan Imam Syafi’e padanya, maka qaul jadid ialah yang sahih dan yang terpakai. Seseorang mufti dan orang awam yang berpegang kepada mazhab Syafie tidak boleh berpegang kepada mana-mana qaul yang dimahukan, bahkan mestilah berpegang kepada qaul yang terakhir antara keduanya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 1/66-67).

Menurut Imam al-Ramli, apabila terdapat dua pandangan Imam al-Syafi’e dalam satu masalah, maka qaul jadid antara keduanyalah yang diamalkan. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 1/50)

Diriwayatkan juga bahawa Imam al-Syafi’e telah menarik kembali pandangan beliau yang lama, dan berkata: “Aku tidak benarkan sesiapa meriwayatkan daripadaku pandangan aku yang lama”. Beliau juga tidak membenarkan qaul qadim dikira sebagai pandangan yang mewakili mazhab beliau. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/107)

 

Penggunaan qaul jadid sebagai fatwa mazhab Syafi’e dalam isu tertentu

Namun demikian, terdapat beberapa keadaan di mana qaul qadim diutamakan dan digunapakai sebagai fatwa yang mewakili mazhab Syafi’e berbanding qaul jadid, dan ini berlaku setelah para ulama mazhab Syafi’e meneliti dan menilai dalil kedua-dua qaul qadim dan jadid, dan menyimpulkan bahawa dalil dan hujah qaul qadim adalah lebih kuat dan rajih, tanpa menisbahkan pandangan tersebut kepada Imam al-Syafi’e sendiri. Namun tugas ini hanya boleh dilakukan oleh para ulama yang telah mencapai darjat kemampuan tarjih antara aqwal dalam mazhab Syafi’e. (Rujuk al-Muhimmat fi Syarh al-Raudhah wa al-Rafi’e 9/227 oleh Imam al-Isnawi dan Sullam al-Muta’allim al-Muhtaj ila Ma’rifah Rumuz al-Minhaj oleh Syeikh Sayyid Ahmad Syamilah Al-Ahdal hlm. 50)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, usaha para ulama dalam menentukan pandangan yang lebih rajih antara qaul qadim dan jadid ini sebenarnya bertepatan dengan wasiat Imam al-Syafi’e sendiri iaitu:

إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ مِنْ غَيْرِ مُعَارِضٍ فَهُوَ مَذْهَبي

Maksudnya: Apabila sahihnya suatu hadith, maka itulah mazhabku.

Daripada kata-kata Imam Syafi’e ini, para ulama yang pakar dalam mazhab telah menilai dalil dan hujah setiap qaul Imam al-Syafi’e, dan menetapkan bahawa qaul qadim adalah lebih menepati dalil dalam beberapa isu fiqh dan ia mesti didahulukan berbanding qaul jadid, meskipun Imam al-Syafi’e sendiri tidak pernah menarik kembali pandangan beliau yang tidak bertepatan dengan hadith tersebut. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/54)

Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan jumlah sebenar permasalahan yang difatwakan dengan qaul qadim dalam mazhab Syafi’e, antaranya dalam dua bab menurut Imam al-Haramain, ada yang menyenaraikan empat belas menurut Imam al-Nawawi, tujuh belas menurut Imam al-Ramli, lapan belas, dua puluh dan ada yang menyenaraikan lebih tiga puluh masalah menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Antara contoh permasalahan-permasalahan tersebut ialah:

  • Air suci yang mengalir tidak bertukar kepada air mutanajjis melainkan apabila ia berubah samada dari sudut bau, warna dan rasa
  • Keharusan beristinja’ menggunakan batu walaupun najis telah mengalir sekitar kemaluan
  • Tidak batalnya wudhu apabila bersentuh dengan mahram berlainan jantina
  • Haramnya memakan kulit binatang yang telah disamak
  • Sunat mengumandangkan ( الصلاة خير من النوم ) ketika azan Subuh
  • Sunat mengumandangkan azan ketika melaksanakan solat qadha
  • Waktu Maghrib berterusan hingga terbenam syafaq merah, manakala qaul jadid menyatakan waktu Maghrib cuma sekadar untuk bersuci, menutup aurat, azan, iqamah dan solat lima rakaat
  • Sunat melewatkan solat Isya
  • Tidak sunat membaca surah ketika dua rakat terakhir dalam solat
  • Sunat membaca ‘amiin’ secara kuat oleh makmum ketika dalam solat jahar
  • Sunat membuat garis di hadapan orang solat untuk melintas
  • Dibolehkan mengikut orang yang sedang solat sendirian (munfarid) ketika dia sedang solat
  • Makruhnya memotong kuku jenazah
  • Tidak diambil kira haul atau tempoh untuk mengeluarkan zakat rikaz
  • Keharusan ahli keluarga menggantikan puasa si mati yang masih mempunyai puasa yang tidak digantikan
  • Keharusan meletakkan syarat sakit untuk bertahallul
  • Salah satu pihak dalam usahama (partnership) berhak untuk mewajibkan satu pihak lain untuk sama-sama menjaga harta yang diusahasama
  • Suami wajib menggantikan semula mahar milik isteri yang dipegang olehnya jika ia rosak atau hilang dengan barang atau nilai yang serupa
  • Wajib hukuman hudud jika seseorang bersetubuh dengan hamba yang merupakan mahram kepadanya (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 1/66-67; Nihayah al-Muhtaj 1/50; Mughni al-Muhtaj 1/10; Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib 1/77; Al-Asybah wa al-Nazo’ir li al-Suyuti 540 Bughyah al-Mustarsyidin hlm. 16; Sullam al-Muta’allim al-Muhtaj ila Ma’rifah Rumuz al-Minhaj hlm. 50-54; Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah, hlm. 32)

Syeikh Ahmad Syamilah Al-Ahdal pula menambah beberapa lagi isu yang difatwakan padanya dengan qaul qadim dalam mazhab Syafi’e, antaranya ialah diterima penyaksian dua orang anak terhadap kedua ibu bapa dan gugurnya dua bukti yang saling bercanggah dalam penghakiman. (Rujuk Sullam al-Muta’allim al-Muhtaj ila Ma’rifah Rumuz al-Minhaj hlm. 54)

Namun, tidak semua permasalahan di atas disepakati kerajihan qaul qadim, bahkan pada sebahagian permasalahan, terdapat ulama yang tetap merajihkan qaul jadid. Maka perkara ini sebenarnya kembali kepada ijtihad para ulama mazhab Syafi’e dalam menetapkan pandangan mana yang lebih menepati dalil dan qaedah mazhab dalam isu-isu yang diperselisihkan di atas.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, secara asal dan umumnya pandangan qaul qadim dikira terbatal, tidak boleh digunakan sebagai fatwa atau untuk diamalkan, melainkan pada permasalahan-permasalahan yang telah disebutkan di atas. Namun permasalahan-permasalahan di atas juga masih diperselisihkan dalam kalangan para ulama, dan setiap ulama mendatangkan hujah dan dalil masing-masing serta membahaskannya secara panjang lebar dalam kitab-kitab mereka.

Wallahu a’lam.