Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1 : DUIT HASIL JUDI BELANJA MAKAN

SOALAN 1 (26 MAC 2015 BERSAMAAN 5 JAMADIL AKHIR 1436H)

Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu soalan. Baru-baru ini majikan di tempat kerja saya belanja kami untuk makan petang. Kebanyakan pekerja di pejabat saya terdiri daripada bukan muslim. Hanya saya dan 3 yang lain sahaja Muslim. Saya tidak mampu dan tidak tahu macam mana nak menolak sebab majikan-majikan lain semua ada masa tu. Bolehkah saya dermakan jumlah yang saya makan hari tu ke masjid ataupun rumah anak yatim dengan niat saya minta Allah halalkan makanan yang saya makan untuk hari tu. Minta Ustaz jelaskan.

JAWAPAN

Paling aula tuan tidak memakannya kerana apabila kita mengetahui dari sumber yang haram, maka haram kita memakannya. Tetapi, kerana seakan-akan terpaksa dan dibawah qahri al-rijal maka perbuatan tuan tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan. Walaupun begitu, tuan hendaklah bertaubat dan cubalah mencari helah seterbaik mungkin untuk tidak terbabit daripada memakannya. Perbuatan tuan untuk mendermakan sebahagian pendapatan tuan adalah hal yang dituntut dan amat baik. Saya teringat sebuah hadith sahih daripada Abi Zar dan Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"اتق الله حيثما كنت ، وأتبع السيئة الحسنة تمحها ، وخالق الناس بخلق حسن "

Mafhumnya: “Takwalah kepada Allah dimana kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Turmuzi dan katanya hadith hasan)

 

Antara pengajaran hadith ini, apabila seseorang telah melakukan kesilapan, dan terjatuh dengan perkara yang diharamkan Allah maka hendaklah dia melakukan kebaikan selepas itu. Sebahagian ulama’ menganggap kebaikan dengan maksud taubat kepada Allah dan ada yang berpendapat sebarang amal soleh yang bersifat lebih umum daripada taubat sahaja. Semoga Allah memberi kekuatan kepada tuan dan kita semua untuk menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Amin.