Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1112: HUKUM BERNAZAR DALAM HATI TANPA DILAFAZKAN

nazarr.JPG

 

Soalan:

Saya pernah terlintas dalam hati saya, apabila sampai tempoh mengeluarkan wang simpanan KWSP, saya mahu mengadakan jamuan makan untuk anak-anak yatim. Namun apabila tiba masanya, terasa agak berat kerana banyak komitmen kewangan lain. Adakah saya wajib menunaikan nazar ini, atau nazar hanya menjadi wajib jika dilafazkan dengan lisan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Nazar wajib ditunaikan apabila cukup syarat-syaratnya. Firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: ... hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.

Surah al-Hajj (29)

Sabda Nabi Muhammad SAW:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah SWT, maka hendaklah dia menyempurnakannya.

Sahih al-Bukhari (6696)

Dalam soal nazar, timbul isu jika seseorang itu sekadar berniat di dalam hati untuk bernazar, adakah ia dikira sebagai nazar?

Secara amnya, dalam isu ini terdapat dua pandangan:

  1. Pandangan yang menganggap niat dan lintasan hati tidak dikira sebagai nazar. Ini merupakan pandangan mazhab Syafi’e dan Hanbali.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pandangan yang paling sahih dalam isu ini yang menjadi kesepakatan dalam kalangan ulama mazhab Syafi’e ialah tidak sah nazar melainkan dengan melafazkannya dengan lisan dan kata-kata, dan tidak sah sekadar dengan niat. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/451)

Hal yang sama juga dinyatakan Imam al-Mardawi al-Hanbali dimana jika seseorang itu berniat nazar tanpa kata-kata, nazar itu tidak sah, dan beliau mendapati tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mazhab Hanbali pada hal ini. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 11/90)

Imam Jalaluddin al-Suyuti sewaktu mensyarahkan qaedah ‘Al-Umur bi Maqasidiha menyatakan bahawa nazar secara niat di dalam hati tidak dikira sebagai nazar. (Rujuk Al-Asybah wa al-Nazha’ir 1/33)

  1. Pandangan yang mengambil kira niat sebagai nazar dan wajib ditunaikan. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Hattab, Imam Ibnul ‘Arabi dan Imam Ibn Rusyd al-Hafid (Rujuk Mawahib al-Jalil li Syarh Mukhtasar al-Khalil, 4/491, Ahkam al-Qur’an 2/548 dan Bidayatul Mujtahid 1/422)

Dalam isu ini kami mentarjihkan pandangan yang pertama iaitu tidak dikira nazar jika semata-mata berniat di dalam hati, dan nazar perlulah dilafazkan dengan lisan. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Allah telah memperkenankan permohonanku agar Dia memaafkan segala bisikan dalam hati dalam kalangan umatku, selagimana mereka tidak melakukannya atau melafazkannya.

Sahih al-Bukhari (2528)

Ini juga pandangan yang dipegang oleh Dar al-Iftaa’ al-Misriyyah yang boleh diakses pada pautan : http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=13455&LangID=1 .

Kesimpulannya, nazar hanya diambil kira dan wajib ditunaikan sekiranya ia dilafazkan dengan lisan. Adapun jika sekadar niat atau lintasan dalam hati, maka ia tidak dikira sebagai nazar.

Wallahu a’lam.