Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1303: ADAKAH RAMALAN CUACA TERMASUK TILIKAN YANG DIHARAMKAN?

 

Tilikan Kaji Cuaca.PNG

Soalan:

Adakah ramalan kaji cuaca termasuk di bawah tilikan amalan perbomohan yang diharamkan secara jelas dalam Islam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Tiada seorangpun yang mengetahui perkara ghaib, melainkan Allah ‘Azza wa Jalla. Firman-Nya di dalam al-Qur’an al-Azim:

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah, hanya miliknya bilakah berlakunya kiamat, dan Dia Mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim. Tiada seorangpun yang tahu apa yang dia akan lakukan pada hari esok, dan tiada seorangpun tahu di mana dia akan menemui kematian.

Surah Luqman (34)

Firman Allah SWT lagi:

قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: Katakanlah, tidak ada satupun di langit dan dibumi yang mengetahui hal ghaib, kecuali Allah.

Surah al-Naml (65)

Diriwayatkan oleh Safiyyah R.Anha, daripada para isteri Nabi SAW, bahawa Baginda pernah bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi bomoh dan bertanya kepadanya tentang suatu hal, tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.

Sahih Muslim (2230)

Jelas daripada dalil-dalil di atas, bahawa amalan perbomohan yang melibatkan perkara-perkara ghaib dan tukang tilik adalah dilarang keras dalam Islam.

 

Adakah boleh diqiyaskan ramalan kaji cuaca dengan amalan tilik?

Dalam isu ini, para ulama telah memberikan pandangan mereka, antaranya ialah:

Majlis Fatwa Jordan

Para ahli meteorologi dan iklim mengetahui bahawa hujan mempunyai tanda-tanda yang boleh dikesan berdasarkan pergerakan angin dan awan, yang merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan sejak dahulu lagi. Namun ramalan-ramalan tersebut mestilah bersifat telahan berdasarkan kajian, bukan bersifat pasti (jazam) yang tepat seratus peratus.

Sebagai seorang Muslim, kita meyakini bahawa Allah SWT berhak melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki, dan kepada-Nya jualah kembali setiap perkara. Waktu berlakunya hujan tidak diketahui melainkan oleh Allah SWT, dan kerana itulah kita perhatikan kerap kali ramalan-ramalan cuaca ini meleset sama sekali. (Rujuk Fatawa Syeikh Nuh ‘Ali Salman bab ‘aqidah, nombor 13)

Al-Lajnah al-Da’imah (Arab Saudi)

Waktu berlakunya gerhana matahari, bulan dan fenomena-fenomena alam yang lain dapat diketahui melalui ilmu matematik, dan ianya bukannya termasuk di bawah perkara-perkara ghaib. Bahkan, ia mungkin dianggap ‘ghaib’ bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dalam perkara tersebut.

Pengetahuan tentang pergerakan awan atau ramalan cuaca dan waktu turunnya hujan adalah tertakluk kepada pengetahuan tentang sunnatullah al-kauniyyah, dan ia bersifat ilmu zhanni yang dicpai melalui teori ilmiah dan eksperimen yang tidak mencapai tahap qath’i yang seratus peratus benar. Kerana itulah kadangkala ia benar, dan kadangkala ia tersilap. (Rujuk Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth wa al-Iftaa’, fatwa bernombor 4667)

Pandangan dan penghujahan yang serupa juga diberikan oleh Almarhum Syeikh Solehibn ‘Uthaimin, dimana beliau menafikan ramalan kaji cuaca ini merupakan perkara ghaib. (Rujuk Al-Qaul al-Mufid ‘ala Kitab al-Tauhid, 1/531-532)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah sewaktu menulis berkenaan pengiraan fenomena-fenomena alam seperti gerhana bulan dan gerhana matahari, atau penentuan musim-musim sejuk dan panas, menyatakan bahawa kiraan-kiraan ini tidak dikira sebagai ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, bahkan ia termasuk dibawah ilmu matematik. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 4/424)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami simpulkan bahawa ramalan kaji cuaca (meteorologi) tidak boleh disamakan dengan amalan perbomohan, tukang tilik dan ramalan zodiak (astrologi) yang membawa kepada syirik dan kekufuran.

Ramalan kaji cuaca antara lainnya adalah bagi memudahkan manusia merancang perjalanan dan aktiviti harian. Ia tidak memaksa kita semua mempercayai segala informasi dan maklumat dan diberikan, dan kita mengetahui bahawa ia sekadar ramalan berdasarkan kaedah-kaedah matematik dan tidak mempercayainya seratus peratus.

Hal ini pastinya berbeza dengan amalan perbomohan yang membawa kepada kekufuran, tidak berasaskan sebarang kaedah yang diperakui kebenarannya, lantaran kepercayaan tanpa berbelah-bahagi kepada bomoh, meminta bantuan kepada makhluk-makhluk ghaib dan jampi serapah yang memuja syaitan.

Namun, adalah dicadangkan juga agar istilah ‘’ramalan’’ tidak lagi digunakan bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi, dan menggunakan istilah kaji cuaca sahaja.

Wallahu a’lam.