Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1560 : HUKUM MENGERJAKAN SOLAT SUNAT WUDUK

AK1560

Soalan :

Assalamu’alaikum tuan Mufti, adakah solat sunat wuduk itu disyariatkan ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat sunat wuduk adalah salah satu solat sunat yang disyariatkan dan tsabit sandarannya di sisi syarak berdasarkan beberapa nas dari Rasulullah S.A.W. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bertanya kepada Bilal bin Rabah :

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَىَّ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling terbaik yang kamu lakukan di dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku di dalam syurga.

Kemudian Bilal R.A menjawab :

 مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ‏

Maksudnya : Tidaklah aku melakukan amalan yang paling baik di sisiku, aku ini tidak berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan mendirikan solat dengan wuduk tersebut dengan kadar yang ditetapkan untuk aku solat.

Riwayat Al-Bukhari (1149)

Hadis di atas menjelaskan bahawa antara fadhilat mengerjakan solat sunat wuduk ini adalah seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga Allah S.W.T. Bahkan Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘’Sesungguhnya masuknya Bilal ke dalam syurga serta memperoleh kelebihan ini adalah disebabkan perbuatan beliau yang berwuduk setiap kali hadas dan solat beliau setiap kali berwuduk sebanyak dua rakaat’’. Rujuk Umdah Al-Qari, Al-‘Aini (7/08).

Kenyataan beliau tersebut dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ الْوُضُوءَ وَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ يُقْبِلُ بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ عَلَيْهِمَا إِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya : Tidak ada seorang pun yang berwuduk kemudian dia memperelokkan wuduknya lalu mendirikan solat dua rakaat yang dia memfokuskan jantung hati serta wajahnya dalam mengerjakannya melainkan wajib buat dirinya itu syurga.

Riwayat Abu Daud (906)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ تَوَضَّأَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، لاَ يُحَدِّثُ نَفْسَهُ فِيهِمَا بِشَىْءٍ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang berwuduk seperti wuduk aku ini, kemudian dia menunaikan solat dua rakaat, yang mana dia tidak lalai di dalamnya, maka akan diampunkan dosa-dosa (kecilnya) yang terdahulu.

Riwayat Al-Bukhari (1934)

Imam Al-Ramli dari kalangan ulama Al-Syafi’eyyah berhujah menggunakan hadis di atas dalam menjelaskan pensyariatan solat sunat wuduk dengan kata beliau : Disunatkan dua rakaat untuk wuduk, dengan cara seseorang itu melaksanakan solat sesudah berwuduk dengan diniatkan sebagai solat sunat. Rujuk Syarah Zubad, Al-Ramli (Hlm. 48).

Berkenaan dengan isu waktu perlaksanaan solat wuduk ini, sebahagian ulama menyatakan bahawa ia dilakukan secara terus sebaik sahaja seseorang itu selesai berwuduk. Sebahagian ulama menyatakan bahawa afdhalnya ia dilakukan selepas sahaja mengambil wuduk. Manakala sebahagian yang lain mengulas berkenaan bilakah terluputnya perlaksanaan solat wuduk. Syeikh Al-Nasyiri mengatakan bahawa solat sunat wuduk terluput apabila telah berlalunya tempoh yang panjang (tanpa melaksanakannya). Manakala sebahagian lain menyatakan waktunya tamat sekiranya seseorang itu meninggalkan perlaksanaannya. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa solat sunat wuduk ini tidak terluput sehinggalah seseorang itu berhadas dan kami lebih cenderung kepada pendapat ini memandangkan keadaan diri seseorang yang masih berada dalam keadaan berwuduk.

Meskipun begitu, perlu juga dijelaskan bahawa solat sunat wuduk ini terhasil sekiranya seseorang itu mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang lain sebanyak dua rakaat atau lebih. Kerana itu Imam Al-Ramli berkata : ‘’Dan kedua rakaat ini (solat wuduk) terhasil dengan solat fardhu atau solat sunat yang lain sebanyak dua rakaat atau lebih sama seperti dua rakaat tahiyyatul masjid’’. Rujuk Syarah Zubad, Al-Ramli (Hlm. 48).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum menunaikan solat dua rakaat sesudah wuduk adalah sunat dan tsabit pensyariatannya berdasarkan nas yang telah kami sebutkan dan afdhalnya ia dilakukan sebaik sahaja seseorang itu selesai berwuduk. Perlu juga dijelaskan bahawa sekiranya seseorang yang baru lepas mengambil wuduk masuk ke dalam masjid, lalu dia mendirikan solat fardhu zohor sebagai contoh, atau sunat tahiyyatul masjid dan juga solat sunat rawatib qabliyyah, maka kesemuanya itu telah memadai ke atas dua rakaat wuduk.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.