Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1574: HUKUM MENDAHULUKAN ORANG LAIN UNTUK BERADA DI SAF PERTAMA

kafi1574.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang mendahulukan orang lain untuk berada di saf pertama berbanding dirinya sendiri?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT menganjurkan umat Islam supaya bersegera untuk memohon keampunan kepada-Nya dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Firman Allah SWT:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah Ali Imran: 133)

Firman Allah SWT lagi:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ 

Maksudnya: Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.

(Surah al-Baqarah: 148)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa makna bersegera kepada keampunan Allah SWT itu ialah menggalakkan mereka untuk melakukan perkara kebaikan dan berlumba-lumba untuk melaksanakan ketaatan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3:183)

Disamping itu, Rasulullah SAW telah menerangkan berkaitan kelebihan seseorang berada di saf pertama di dalam solat berjemaah. Terlebih dahulu, kelebihan solat berjemaah itu sendiri lebih besar dan tinggi berbanding solat bersendirian. Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: Solat berjemaah (di masjid) lebih utama 27 darjat berbanding solat sendirian (di rumah).

Hadith riwayat al-Bukhari: (609)

Apatahlagi, jika sekiranya seseorang itu solat berjemaah dalam keadaan berada di saf yang pertama. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudriy RA, bahawa beliau berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ رَأى في أصْحابِهِ تَأَخُّرًا فقالَ لهمْ: تَقَدَّمُوا فَأْتَمُّوا بي، ولْيَأْتَمَّ بكُمْ مَن بَعْدَكُمْ، لا يَزالُ قَوْمٌ يَتَأَخَّرُونَ حتّى يُؤَخِّرَهُمُ اللَّهُ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW melihat para sahabat terkebelakang, lalu Rasulullah SAW bersabda: Majulah ke hadapan, penuhkan saf bersama-samaku. Kemudian, hendaklah orang yang datang selepas daripada kalian menyempurnakan saf yang seterusnya. Sesungguhnya tidak seseorang itu sengaja melambat-lambatkan sehingga Allah SWT sendiri akan melambatkan (meninggalkan) mereka.

Hadith riwayat Muslim: (438)

Selain itu, Rasulullah SAW juga menyebutkan tentang kelebihannya sehingga jika sekiranya perlu untuk dibuat undian, maka sudah tentu orang ramai akan membuatnya untuk mendapatkan perkara tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

Maksudnya: Sekiranya manusia mengetahui apa yang ada (iaitu kelebihan dan keutamaan) di dalam azan dan saff yang pertama, lalu mereka tidak dapat mendapatkannya kecuali dengan melakukan undian, nescaya mereka akan melakukan undian untuk mendapatkannya.

Hadith riwayat al-Bukhari: (580)

Berbalik kepada soalan yang ditanya, perbuatan melebihkan orang lain di atas diri sendiri disebutkan sebagai ithar (الإيثار). Ia merupakan sesuatu perkara yang baik dan mulia berdasarkan firman Allah SWT yang memuji golongan Ansar yang melebihkan golongan Muhajirin berbanding diri mereka. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

(Surah al-Hasyr: 9)

Walaubagaimanapun, para ulama’ fiqh menyebutkan bahawa perbuatan mengutamakan orang lain (ithar) yang terpuji adalah yang berkaitan dengan hal keduniaan seperti harta-benda, makanan, minuman dan lain-lain. Adapun ithar dalam perkara ibadah adalah makruh dan bukannya sunat. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الإيثار في القرب مكروه وفي غيرها محبوب

Maksudnya: Mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah adalah makruh, manakala ithar dalam perkara yang lain adalah satu perkara yang terpuji. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair Lil Suyuti, 1:117)

Imam al-Nawawi juga menjelaskannya dalam syarah Sahih Muslim, bahawa:

وقد نص أصحابنا وغيرهم من العلماء على أنه لا يؤثر في القرب، وإنما الإيثار المحمود ما كان في حظوط النفس دون الطاعات، قالوا: فيكره أن يؤثر غيره بموضعه من الصف الأول وكذلك نظائره

Maksudnya: Para ulama’ mazhab al-Syafi’e dan selain mereka telah menyatakan bahawa tidak boleh mengutamakan orang lainn (ithar) dalam perkara berkaitan ibadah. Adapun ithar yang terpuji apa yang keiginan hati yang bukan perbuatan ketaatan. Merekanya menyebutkan: “Dimakruhkan untuk mengutamakan orang lain di tempatnya di saf pertama, begitu juga permasalahan yang serupa dengannya.” (Rujuk Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 7:170)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum mengutamakan dan mendahulukan orang lain untuk berada di saf pertama berbanding diri sendiri adalah satu perbuatan yang makruh. Hal ini kerana kita haruslah berlumba-lumba dalam melakukan amal kebaikan dan ketaatan untuk diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain berdasarkan firman Allah SWT dan hadith Nabi SAW yang telah disebutkan di atas. Ini juga berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الإيثار في القرب مكروه وفي غيرها محبوب

Maksudnya: Mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah adalah makruh, manakala ithar dalam perkara yang lain adalah satu perkara yang terpuji. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair Lil Suyuti, 1:117)

Oleh itu, hendaklah kita segera memenuhkan saf solat dan berusaha untuk mendapatkan saf yang pertama dalam solat berjemaah bagi mendapatkan ganjaran yang telah ditawarkan oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.