Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1650 : TUNTUTAN HUTANG NAFKAH TERTUNGGAK DARIPADA HARTA SI MATI

HTG

SOALAN:

Assalamu'alaikum.

Seorang suami telah mengabaikan nafkah zahir berbelas tahun lamanya. Apabila suami ini meninggal dunia, Adakah  nafkah yang tertunggak dianggap hutang? Bolehkah isteri menuntut segala nafkah tertunggak sebelum bakinya difaraidkan?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil  pada asalnya wajib suami menafkahi isteri dan anak-anaknya. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya“Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Riwayat Muslim (997)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin. Ijma’  ulama’ turut sepakat mewajibkan  nafkah   terhadap isteri  dan anak-anak (Lihat Nail al-Autar, (6/381)

Bacaan lanjut berkaitan nafkah, rujuk artikel kami pada ruangan al-Kafi li fatawi:

  • al-Kafi 1428 # : Antara nafkah isteri dan ibu: Manakah yang perlu diutamakan?
  • al-Kafi 1082 #: Bayar hutang atau bayar nafkah
  • al-Kafi 162 # : Tidak beri nafkah isteri yang bekerja
  • al-Kafi 1366 # : Adakah wajib suami memberi nafkah kepada isteri yang tidak memberi nafkah batin
  • al-Kafi 1290 # : Suami membiarkan isteri menanggung nafkah keluarga
  • al-Kafi 1229 #: Bagaimana mencontohi Rasulullah ﷺ dalam memberi nafkah kepada isteri

Fuqaha mazhab telah membahaskan nafkah yang berlalu tempoh masa (tunggakan). Jumhur fuqaha mazhab berpendapat gugur  tunggakan nafkah anak dan  tidak menjadi hutang sekiranya ayahnya telah memenuhi keperluan anak pada tempoh masa lalu. Berbeza pula dengan nafkah isteri yang tetap menjadi hutang walaupun sudah berlalu tempoh masa menurut  majoriti fuqaha kecuali fuqaha hanafi. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (7 /816, 829)]

Selain itu,  Akta 303 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984  bahagian vi  Nafkah isteri, anak-anak dan lain-lain. Seksyen 69  memperuntukkan tuntutan tunggakan nafkah:

Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya”.[Pin. Akta A902:s.21].

Berdasarkan akta tersebut, tunggakan nafkah yang telah diabaikan dalam tempoh perkahwinan  menjadi hutang ke atas suaminya. Hutang perlu dilangsaikan walaupun selepas orang yang berhutang tersebut meninggal dunia. Oleh itu, hutang termasuk dalam perkara yang wajib dilangsaikan sebelum pembahagian harta pusaka secara faraid. Hal ini jelas sepertimana sabda Rasulullah ﷺ:

أَنَا أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ، فَمَنْ تُوُفِّيَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَعَلَيَّ قَضَاؤُهُ، وَمَنْ تَرَكَ مَالًا فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ

Maksudnya: “Aku adalah lebih penting bagi orang-orang Mukmin daripada diri mereka sendiri. Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan masih berhutang dan tidak dapat diselesaikan, maka kami akan melunaskannya. Sesiapa yang meninggalkan harta maka serahkan kepada warisnya”.

Riwayat al-Bukhari (2298), Riwayat Muslim (1619)

Berdasarkan hadith di atas, apabila meninggalnya seseorang, maka harta peninggalannya mestilah diagihkan kepada para waris mengikut faraid setelah diselesaikan terlebih dahulu kewajipan-kewajipan harta pusaka iaitu pengurusan jenazah,  menyelesaikan  hutang-hutangnya dan melunaskan  wasiatnya.

Bagi mendapatkan informasi lanjut berkaitan artikel harta pusaka, sila rujuk pada ruangan berikut:

al-Kafi # 1224 : Permasalahan pembahagia harta dan wang tunai

al-Kafi # 1463 :  Bolehkah harta si mati dibahagikan tanpa mengikut faraid

al-Kafi # 1472  : Hukum menggunakan wang pusaka bagi menampung kos pengurusan harta pusaka

Penutup

Tuntasnya,   kami berpendapat  bahawa tunggakan nafkah terhadap isteri yang tidak  ditunaikan  dianggap sebagai hutang berdasarkan pandangan majoriti fuqaha, Maka hutang wajib dilangsaikan daripada harta si mati sebelum pembahagian harta pusaka secara faraid dilaksanakan. Justeru, kes  nafkah  tertunggak mahupun harta sepencarian boleh tuntut di Mahkamah Syariah. Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman dan pencerahan kepada masyarakat. Ameen