Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE- 150: ADAKAH TERDAPAT DARJAT TINGKATAN BAGI ORANG YANG BERPUASA RAMADHAN?

darjat puasa baru.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato' Seri Mufti. Adakah terdapat darjat tingkatan bagi orang yang berpuasa di bulan Ramadhan?

 

Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

 

Kelebihan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah. Bulan yang diturunkan kitab suci al-Quran. Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

(Surah al-Baqarah, 185)

Syeikh Tantawi dalam mensyarahkan ayat ini dengan mendatangkan kata-kata Ibnu Kathir menyatakan: “Allah SWT memuji bulan Ramadhan daripada bulan-bulan lain kerana turunnya kitab Allah SWT” (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li Tantawi, 1/386)

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dapat meningkatkan keimanan dan bulan pengampunan dari pada Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu

Riwayat Muslim (760)

Dalam mensyarahkan Hadis ini, Imam al-Nawawi berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas. (Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/39)

Bulan Ramadhan bulan yang dibuka pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka sepertimana yang diterangkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: Tatkala datang bulan Ramadhan, maka akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dibelenggu dengan rantai

Riwayat Muslim, (1079)

Dalam mensyarahkan hadis di atas Imam Badr al-Din al-Aini di dalam kitabnya menyatakan: “Yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga, kerana ketaatan yang banyak pada bulan Ramadhan. Begitu juga Allah SWT membuka pintu ibadah, oleh kerana itulah jalan menuju ke syurga begitu mudah di dalam bulan Ramadhan kerana amal perbuatan kita mudah diterima”. (Lihat: Umdatul al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, 10/266)

Begitu besar fadhilat yang Allah SWT kurniakan kepada hambanya pada bulan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

 

Martabat Orang Berpuasa

Imam Ghazali mengklasifikasikan martabat dan darjat puasa ini kepada tiga bahagian:

  • Puasa al-Umum iaitu hanya menahan perut dan Syahwatnya daripada tuntutan nafsunya sahaja. Ini dikhususkan kepada golongan puasa awwam
  • Puasa al-Khusus iaitu menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh panca inderanya daripada melakukan kemaksiatan dan dosa. Dan martabat puasa ini adalah puasa para Solihin. Mereka ini menundukkan pandangan daripada apa yang membalikkan hatinya daripada mengingati Allah SWT. Menjaga percakapan daripada berbohong, mngumpat, mencela dan memaki. Dan mereka selalu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.
  • Puasa Khusus al-Khusus iaitu menjaga hatinya daripada mengingati hal keduniaan. Dan menumpukan sepenuh hatinya hanya kepada Allah SWT dan hari akhirat. Dan memikirkan dunia hanya untuk tuntutan agama sahaja. Dan ini merupakan puasa para Anbia’, Sadiqin dan Muqarrabin.

Selain itu Imam Ghazali juga menyatakan perkara yang harus dilakukan ketika berpuasa bagi menjaga serta meningkatkan amalan, di antaranya ialah:

  • Menundukkan pandangan daripada melakukan kemaksiatan dan tidak melihat kepada perkara yang membalikkan hatinya daripada Allah SWT.
  • Menjaga percakapan daripada bercakap perkara yang sia-sia, berbohong, mengumpat dan mencela. Serta lazim memperbanyakkan bacaan al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT.
  • Menjaga pendengaran daripada perkara yang dilarang. Ini kerana bagi setiap perkara yang haram diucapkan maka haram juga didengar.
  • Menjaga panca indera daripada melakukan dosa dan maksiat. Begitu juga melakukan perkara yang syubhat ketika berbuka puasa. Puasa tidak menjadi bermakna sekiranya berbuka puasa dengan pembaziran. (Lihat: Ihya’ Ulum al-Din, 1/234-235)

 

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan yang diajukan di atas, terdapat tingkatan darjat bagi orang yang berpuasa dan menjaga amalan dan tingkah lakunya. Ini seperti pembahagian yang didatangkan di atas oleh Imam Ghazali di dalam kitabnya, iaitu puasa umum, al-khusus dan khusus al-khusus.

Oleh itu, digalakkan untuk meningkatkan amalan supaya dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT seperti Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:  Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 183)

Imam al-Maraghi mensyarahkan ayat di atas menyatakan bahawa kewajipan berpuasa dan melakukan sebanyak amalan di bulan Ramadhan di samping mengawal nafsu syahwat bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 2/68)

Allah SWT akan mengangkat darjat serta memberi kedudukan yang tinggi kepada hambanya yang dapat menjaga dan memperbanyakkan amalan di bulan Ramadhan dengan penuh keikhlasan. Ini kerana segala ganjaran pahala yang dilakukan pada bulan Ramadhan hanya Allah SWT yang akan membalasnya. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA Sabda Nabi SAW:

‏ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِي

Maksudnya: Allah SWT berfirman, puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya, ia meninggalkan syahwatnya, makan dan minumnya kerana Aku

Riwayat al-Bukhari (7492)

Wallahualam.