Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-175: ADAKAH WAJIB IMSAK BAGI PEREMPUAN YANG SUCI DARIPADA HAID DI SIANG HARI RAMADHAN

ifr175

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Saya telahpun suci daripada haid selepas zohor di bulan Ramadhan. Saya telah makan dan minum sebelum daripada itu. Adakah setelah suci daripada haid saya wajib berpuasa dan tidak boleh lagi makan dan minum lagi selepas itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

أَنَّ امْرَأَةً، سَأَلَتْ عَائِشَةَ أَتَقْضِي الْحَائِضُ الصَّلاَةَ إِذَا طَهُرَتْ قَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ كُنَّا نَحِيضُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ نَطْهُرُ فَيَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ يَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Seorang wanita telah bertanya Aisyah R.A: Adakah perempuan haid itu perlu menqadha’ solatnya apabila dia telah suci? Lantas Aisyah menjawab: Adakah kamu haruri? Kami telahpun datnag haid di zaman Rasulullah S.A.W kemudian kami telah suci, maka baginda memerintahkan kami untuk menqadha’ puasa (yang ditinggalkan kerana haid) tetapi tidak memerintahkan untuk menqadha’ solat”.

Riwayat al-Nasaie (2318)

Di sisi mazhab Syafie, para ulama’ membincangkan hukum wanita yang suci daripada haid atau nifas di pertengahan siang hari Ramadhan samada wajib baginya untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum) atau tidak, adalah seperti berikut:

Berkata Imam al-Nawawi: “Adapun perempuan yang haid atau nifas maka tidak diwajibkan puasa ke atas mereka kerana tidak sah (puasa) mereka dan sekiranya mereka suci (daripada haid atau nifas) maka wajib ke atas mereka untuk menqadha’ puasa sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah “Kami diperintahkan untuk menqadha’ puasa tetapi tidak diperintahkan untuk menqadha’ solat. Maka diwajibkan qadha’ (puasa) ke atas perempuan haid berdasarkan hadis tersebut, dan diqiyaskan hukumnya kepada perempuan yang nifas…….. dan sekiranya mereka suci di pertengahan siang (bulan Ramadhan) maka sunat ke atas mereka untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum) pada waktu-waktu yang berbaki tersebut dan tidaklah hal itu (imsak) wajib baginya berdasarkan apa yang disebut oleh pengarang dan itulah pandangan di sisi mazhab Syafie”. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 6/256).

Berkata Imam al-Nawawi: “Sekiranya keuzuran itu hilang setelah berbuka, maka tidak wajib ke atasnya untuk imsak dalam tempoh (siang hari) yang berbaki tetapi sunat baginya. Sekiranya dia hendak makan, makan hendaklah disembunyikan untuk mengelakkan timbulnya fitnah dan dikenakan hukuman daripada pemerintah, dan dibolehkan ke atas mereka untuk berjimak setelah hilang keuzuran sekiranya seseorang perempuan itu tidak berpuasa kerana masih kecil ataupun dia telah suci daripada haid pada hari tersebut”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 2/372).

Berkata Shaikh Uthman Syato al-Bakri: "Dan disunatkan untuk imsak bagi pesakit yang sembuh, dan orang bermusafir yang tiba (di tempat mukim) pada pertengahan siang Ramadhan dalam keadaan telah berbuka, dan perempuan haid yang suci daripada haid di pertengahannya (siang Ramadhan). “Adapun disunatkan untuk imsak ke atas mereka disebabkan untuk menjaga kehormatan waktu (bulan Ramadhan), dan tidaklah wajib (imsak) kerana tidak wujud kecuaian yang berpunca daripada mereka”. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 2/269).

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, dapat kami simpulkan bahawa hukum perempuan yang suci di pertengahan siang Ramadhan adalah tidak wajib baginya untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa) kerana tidak wujud sebarang kecuaian yang berpunca daripadanya berbeza dengan keadaan-keadaan lain yang diwajibkan ke atas seseorang untuk imsak. Namun begitu, sunat bagi perempuan tersebut untuk imsak demi menjaga kehormatan dan kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri. Wallahu a’lam.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.