Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-72: FAKTOR TERJADINYA PERUBAHAN FATWA IMAM SYAFI'E

FAKTOR_TERJADINYA_PERUBAHAN_FATWA_IMAM_SYAFIE.jpg

 

SOALAN

Sepertimana yang kita tahu, Imam al-Syafie telah mengubah fatwa-fatwa beliau di Iraq yang dinamakan qaul qadim, kepada fatwa-fatwa baru setelah beliau berpindah ke Mesir yang dinamakan qaul jadid. Apakah faktor berlakunya perubahan fatwa ini?

RINGKASAN JAWAPAN

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa faktor Imam al-Syafie mengubah mazhabnya daripada qaul qadim (fatwa lama) ketika di Iraq kepada qaul jadid (fatwa baharu) ketika di Mesir adalah disebabkan oleh perubahan konteks setempat dan uruf antara kedua-dua tempat tersebut.

Namun berdasarkan kajian, jelas bahawa pandangan tersebut adalah kurang tepat, bahkan faktor sebenar perubahan fatwa Imam al-Syafie adalah disebabkan kekuatan dalil yang ditemui oleh beliau ketika di Mesir, dan sifat beliau sendiri yang amat kuat mengkaji dan berdiskusi bersama anak-anak murid beliau.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Definisi qaul qadim dan qaul jadid

Secara umumnya, fatwa-fatwa Imam al-Syafi’e terbahagi kepada dua, iaitu qaul qadim (fatwa lama) dan qaul jadid (fatwa baharu). Qaul qadim merangkumi pandangan-pandangan Imam al-Syafi’e sebelum beliau menetap di Mesir, iaitu ketika beliau tinggal di Mekah, Madinah, Yaman dan Iraq.  Adapun qaul jadid, ia merupakan pandangan-pandangan beliau setelah berpindah ke Mesir, hinggalah kewafatan beliau, dan qaul jadid merupakan qaul muktamad yang mewakili mazhab Imam al-Syafi’e.

Untuk rujukan lanjut, sila rujuk artikel kami yang bertajuk:

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-48: DEFINISI QAUL QADIM DAN QAUL JADID pada pautan: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-usul-fiqh/4293-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-48-definisi-qaul-qadim-dan-qaul-jadid

Mengapa terjadinya perubahan daripada qaul qadim kepada jadid?

Menurut Dr. Lamin al-Naji, faktor utama yang menyebabkan Imam al-Syafi’e menukar pendapatnya adalah kerana faktor pemberat dalam menilai pandangan-pandangan yang dikeluarkan sebelum ini. Dalam kata lain, perubahan fatwa adalah berpunca daripada kekuatan dalil itu sendiri di sisi Imam al-Syafi’e. Hal ini kerana beliau terkenal sangat menitikberatkan pencarian  dali yang tepat dan kuatl, menguji dan mengkajinya ketika bermuzakarah dengan para guru dan anak murid beliau.

Kebanyakan khilaf antara qaul qadim dan qaul jadid pula adalah pada bab ibadah, dan hanya sedikit pada bab muamalat, sedangkan sepertimana yang diketahui, asas permasalahan ibadah dibina di atas nas-nas syarak, bukannya uruf atau adat setempat.[1]

Maka hal ini menurut Dr. Lamin merupakan hujah kuat dalam menolak pandangan beberapa orang pemikir Islam seperti Ahmad Amin dan Abdul Rahman al-Syarqawi yang mendakwa bahawa perubahan fatwa Imam al-Syafi’e adalah disebabkan oleh perbezaan konteks dan uruf antara Mesir dengan Iraq.[2]

Melalui proses induksi(istiqra’ ) yang dilakukan oleh Dr Lamin juga jelas menunjukkan satu unsur yang sangat memberi kesan kepada perubahan fatwa Imam al-Syafie, iaitu percanggahan antara dalil-dalil naqli. Oleh kerana itulah didapati Imam al-Syafie telah menulis kitab Ikhtilaf al-Hadith ketika di Mesir.[3]

Begitu juga, sekiranya perubahan fatwa itu disebabkan perbezaan keadaan dan uruf setempat antara Iraq dan Mesir, pasti anak-anak murid dan pengikut Imam al-Syafi’e di Iraq akan berfatwa sesuai dengan qaul qadim beliau, namun kenyataannya mereka tetap berpegang kepada qaul jadid.

Hal ini seperti yang dinukilkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal, di mana beliau ditanya oleh anak muridnya:

ما ترى في كتب الشافعي التي عند العراقيين أحب إليك أم التي عند المصريين؟، قال: عليك بالكتب التي وضعها بمصر، فإنه وضع هذه الكتب بالعراق ولم يحكمها، ثم رجع إلى مصر فأحكم ذلك

Maksudnya: Apa pandangan tuan tentang kitab karangan al-Syafi’e yang ada di sisi ulama-ulama Iraq dan yang ada di sisi ulama-ulama Mesir, manakah yang lebih tuan sukai? Imam Ahmad menjawab: Hendaklah engkau berpegang dengan kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Syafie ketika beliau di Mesir (qaul jadid), kerana beliau tidak benar-benar menyempurnakan penulisannya di Iraq,  kemudian beliau kembali ke Mesir dan menyempurnakan penulisannya (qaul jadid).[4]

Di sini dapat dilihat bahawa Imam Ahmad tetap menegaskan bahawa fatwa Imam al-Syafi’e di Mesir lebih diutamakan, meskipun Imam Ahmad merupakan penduduk Iraq.

Selain itu, Imam al-Syafi’e juga telah menarik kembali pandangan beliau yang lama (qaul qadim), dan berkata:

لَيْسَ في حلٍّ مَنْ رَوَى عَنِّي القديمَ

Maksudnya: “Aku tidak benarkan sesiapa meriwayatkan pandangan aku yang lama.”[5]

Dr. Lamin al-Naji turut menyatakan bahawa antara ciri penting qaul jadid ialah kecenderungan Imam al-Syafie untuk memilih pandangan yang lebih berhati-hati (الاحتياط ) dalam banyak keadaan, contohnya:

  • Menurut qaul jadid, seseorang yang bertayammum dan solat, kemudian dia mendapat tahu dalam begnya ada air, dia hendaklah mengulangi solatnya, sedangkan menurut qaul qadim dia tidak perlu mengulanginya.[6]
  • Menurut qaul jadid, wajib menjaga tertib ketika membasuh anggota-anggota wuduk, adapun menurut qaul qadim, sesiapa yang terlupa tertib, wuduknya tetap sah.[7]

Tambahan lagi menurut Syeikh ‘Alawi bin Abdul Qadir al-Saqqaf, alasan perubahan konteks setempat dan uruf masyarakat antara Iraq dan Mesir sebagai faktor perubahan fatwa Imam al-Syafie juga tidak pernah disebut oleh mana-mana imam besar dalam mazhab ini.[8]

 

Kesimpulan

Tuntasnya, pandangan yang tepat berkenaan faktor perubahan fatwa Imam al-Syafi’e daripada qaul qadim kepada qaul jadid adalah disebabkan oleh kekuatan dalil di sisi beliau sendiri, setelah beliau menjumpai dalil-dalil baru dan berbincang dengan anak-anak murid beliau.

Adapun pandangan yang menyatakan perubahan fatwa disebabkan oleh perubahan uruf setempat Iraq dan Mesir, ia adalah tidak tepat berdasarkan hujah-hujah di atas.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Rujuk al-Qadim wa al-Jadid fi Fiqh al-Syafi’e 2007, Dar Ibn Qayyim dan Dar Ibn ‘Affan, cetakan pertama, 1/350

ومما يدل على أن البيئة لم يكن لها كبير تأثير: ما يلاحظ من أن كثرة مسائل القديم والجديد هي موجودة في العبادات أكثر مما هي في العادات والمعاملات…..والعمعلوم أن العبادات لا تتأثر كثيرا بتقلب الظروف والأحوال .

[2] Rujuk al-Qadim wa al-Jadid fi Fiqh al-Syafi’e 2007, Dar Ibn Qayyim dan Dar Ibn ‘Affan, cetakan pertama, 1/346-350

[3] al-Qadim wa al-Jadid fi Fiqh al-Syafi’e, 1/351-352.

[4] Rujuk al-Baihaqi, Abu Bakar bin al-Husain (1970), Manaqib al-Imam al-Syafi’e, Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, cetakan pertama, tahqiq: al-Sayyid Ahmad Saqr, 1/263

[5] Rujuk al-Zarkasyi, Badruddin bin Ahmad (1994), al-Bahr al-Muhit fi Usul al-Fiqh, Dar al-Kutbi, cetakan pertama, 8/357

[6] al-Qadim wa al-Jadid fi Fiqh al-Syafi’e, 2/266

[7] Ibid.

[8] Rujuk makalah beliau pada pautan : dorar.net/article/409/خطأ-القول-بأن-الإمام-الشافعي-غير-مذهبه-في-مصر-مراعاة-للعوائد-والبيئة-المصرية؟