Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #27: TERTIB TURUTAN SEBAIK-BAIK MAKHLUK

turutan

Soalan: Apakah turutan sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum terus kepada jawapan, kami ingin menegaskan bahawa para ulama’ bersepakat bahawa Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik makhluk. Kata Imam al-Bajuri,

وَأَفْضَلُ الْخَلْقِ عَلَى الْإِطْلَاقِ * نَبِيِّنَا فَمِلْ عَنِ الشِّقَاقِ

Maksudnya: “Dan sebaik-baik makhluk secara mutlak * Adalah Nabi kita maka jauhilah daripada bertelagah (dalam isu ini).”

Pun begitu, Imam al-Zamakhsyari berbeza pandangan dalam isu ini. Beliau meyakini bahawa Jibril alahissalam lebih utama berbanding Nabi SAW. (Lihat al-Kasysyaf, 4/712)

Berkenaan keutamaan antara malaikat dan manusia (para Nabi, orang Mukmin dan orang soleh), para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini. Hal ini diakui oleh para ulama’ antaranya Imam Ibn Kathir. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/58). Mereka mempunyai pandangan yang pelbagai dan kami ringkaskan kepada dua pandangan utama:

  1. Malaikat lebih utama daripada Nabi/manusia

Ini adalah pandangan Mu’tazilah, begitu juga pandangan ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah seperti al-Qadhi Abu Bakr al-Baqillani dan Imam Fakhruddin al-Razi dan sebahagian ahli falsafah.

  1. Nabi/orang Mukmin/orang soleh lebih utama daripada Malaikat

Ini adalah pandangan para Sahabat Nabi SAW, para Imam mazhab yang empat, jumhur Ahli Sunnah wal Jama’ah , Imam Tajuddin al-Subki dan ashabnya, Imam al-Qastallani, Ibn Taimiyyah, begitu juga kelompok Syiah (Lihat al-Mawahib al-Ladunniah, 2/45; Majmu’ al-Fatawa, 4/344; al-Haba’ik fi Akhbar al-Mala’ik, 1/207; Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/398, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/439; al-Haba’ik fi Akhbar al-Mala’ik, 1/207; Syarah al-Tahawiyyah, 2/412)

Dalam masa yang sama, ijma’ para ulama’ bahawa malaikat yang utama seperti Jibril, Mika’il, Israfil, dan Izrai’l adalah lebih utama berbanding manusia dalam kalangan orang awam. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Sa’duddin al-Taftazani dalam Syarah al-Aqa’id al-Nasafiyyah.

Wujud juga segelintir para ulama’ yang bertawaqquf dalam hal ini. Kami cenderung kepada pendapat jumhur para ulama’ bahawa manusia itu lebih utama daripada malaikat.

Memang wujud turutan atau pembahagian terperinci sebaik-baik makhluk yang disusun oleh para ulama’ sebagaimana yang ditanyakan. Berikut adalah tertib turutannya:

  1. Nabi Muhammad SAW
  2. Rasul Ulul ‘Azmi yang lain (Ibrahim, Musa, Isa, Nuh)
  3. Para Rasul yang lain
  4. Para Nabi yang bukan Rasul
  5. Para Malaikat yang utama seperti Jibril, Mika’il, Israfil, Izra’il dan ketua-ketua malaikat yang lain.
  6. Manusia yang utama seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dan lain-lain.
  7. Para malaikat selain yang disebutkan pada (5)
  8. Manusia selain yang disebutkan pada (6) iaitu orang awam.

Ia dinukilkan dalam Syarh al-Sowi ‘ala Jauharah al-Tauhid, m. 296-297; Tuhfat al-Murid Syarah Jauharah al-Tauhid, m. 145-146; Mukhtasar al-Mufid fi Sharh Jauharah al-Tauhid, m. 135).

Walaubagaimanapun, menurut Imam Tajuddin al-Subki, tidak wajib berpegang bahawa manusia lebih utama dari malaikat. Bahkan sekiranya seseorang menghadap Allah SWT dalam keadaan naif dalam isu ini secara keseluruhan, tidaklah dikira berdosa. Yang lebih selamat adalah berdiam diri dalam masalah ini. (Lihat Mukhtasar al-Mufid fi Sharh Jauharah al-Tauhid, m. 135). Oleh itu, kami simpulkan bahawa turutannya memang wujud namun ianya bukanlah masalah usul akidah tetapi lebih kepada cabangannya sahaja.