Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 lintasan kufurs.JPG

Soalan

Salam Mufti, saya nak tanya satu soalan yang merisaukan diri saya sejak dua hari ni. Masa tu saya bangun,saya baru lepas bergaduh dengan ibu saya selepas itu saya pergi mandi. Time tengah shower tu, fikiran saya bercelaru sehingga saya mempersoalkan kewujudan Allah SWT, dan saya juga terungkapkan ayat yang "I am Atheist" berkali-kali. Adakah itu dikira saya telah kufur dari agama? Harap Tuan Mufti dapat Menjawab soalan saya, saya risau sangat ni 

 

Jawapan

Perlu diketahui bahawa asal dalam perkara aqidah adalah wajib beriman secara muktamad. Dalam beraqidah tidak boleh wujud sedikit pun perasaaan syak, waham dan zan. Syak boleh dikatakan keraguan yang bersifat pertengahan antara percaya dan tidak percaya. Waham pula langsung tidak mencapai tahap separuh kepercayaan manakala zan pula adalah kepercayaan yang hampir-hampir mencapai tahap yakin tetapi masih tidak sepenuhnya muktamad.

Kesemua bentuk keraguan ini tidak diterima dalam soal keimanan dan ia boleh merosakkan aqidah seseorang. Walau bagaimanapun, hati seseorang tidak mampu untuk mengelak daripada lintasan-lintasan dan bisikan-bisikan syaitan yang mugkin bertentangan dengan iman. Kadang-kadang ia timbul secara tidak disangka-sangka dan bukan sengajakan. Misalnya seorang saintis yang banyak mengkaji tentang asal usul kejadian, kadang-kadang terlintas di dalam hatinya, siapa pula yang menciptakan pencipta kejadian ini?

Dalam hal ini, jika waswas itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan)".

Riwayat al-Bukhari (2528)

Imam Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, 273)

Dalam situasi yang dihadapi oleh penyoal, ia terlafaz kalimah kufur (I’m Atheist) tersebut dalam keadaan fikirannya sedang terganggu dan bercampur waswas. Maka ia termasuk dalam kategori tersilap, tersalah atau tidak disengajakan kerana hati tidak tetap (istiqrar) dengan maksud kekufuran. Ia bersandarkan firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Ahzab (5)

Juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Walau bagaimanapun, kami tetap menasihatkan orang yang mengalami situasi sebegini agar memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadahnya. Ia bertepatan dengan hadis yang sentiasa memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.

Riwayat Imam Ahmad (8710)

Akhirnya, dikongsikan di sini beberapa tips penting dalam mengatasi waswas dalam aqidah.

Pertama: Bertenang dan tidak menggelabah. Ini kerana kebimbangan dan kekhuatiran kita terhadap perasaan waswas yang timbul menunjukkan kita masih memiliki iman yang mantap. Di dalam hadis sahih dari Abu Hurairah r.a berkata:

جَاءَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلُوهُ: إِنَّا نَجِدُ فِي أَنْفُسِنَا مَا يَتَعَاظَمُ أَحَدُنَا أَنْ يَتَكَلَّمَ بِهِ، قَالَ: «وَقَدْ وَجَدْتُمُوهُ؟» قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: «ذَاكَ صَرِيحُ الْإِيمَانِ»

Maksudnya: "Sekumpulan manusia di kalangan para sahabat datang bertemu Nabi SAW, lalu mereka bertanya: Sesungguhnya kami telah mendapati dalam hati kami lintasan-lintasan hati yang kami anggap ia suatu kesalahan besar jika diucapkan dengan lidah. Nabi SAW bertanya: Kamu sudah terkena lintasan-lintasan itu? Mereka menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Demikian itu iman yang jelas".

Riwayat Muslim (209)

Kedua: Memperkukuhkan iman dengan mengulang syahadah. Dalam hadith Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَزَالُ النَّاسُ يَتَسَاءَلُونَ حَتَّى يُقَالَ: هَذَا خَلَقَ اللهُ الْخَلْقَ، فَمَنْ خَلَقَ اللهَ؟ فَمَنْ وَجَدَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا، فَلْيَقُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ

Maksudnya: "Manusia akan terus bertanya sehinggalah dikatakan: Ini diciptakan Allah, maka siapa yang mencipta Allah? Barangsiapa yang mendapati sesuatu dari (soalan) itu, maka katakanlah: Aku beriman kepada Allah".

Riwayat Muslim (212)

Ketiga: Memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada gangguan syaitan dan iblis yang menghasut, sekurang-kurangnya dalam mengucapkan ta'awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم). Dalam lafaz hadith Abu Hurairah yang lain menyebut bahawa syaitan datang kepada seseorang lalu mempertikaikan siapa yang menciptakan Tuhanmu, maka apabila sampai ke soalan tersebut, mohonlah perlindungan dengan Allah dan hentikan (melayani persoalan itu). Riwayat Muslim (214)

Keempat: Segera berhenti daripada berfikir-fikir tentang perkara yang diwaswaskan itu sebaliknya menyibukkan diri dengan beramal soleh sambil menghayati firman Allah SWT:

لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ 

Maksudnya: "Dia (Allah) tidak disoal tentang apa yang Dia lakukan, tetapi merekalah (manusia) yang disoal (dihitung segala amalan di akhirat kelak)".

Surah al-Anbiya' (23)

Kelima: Melakukan amalan zikir dan doa agar sentiasa ditetapkan hati dalam keimanan dan ketaatan. Antaranya doa Rasulullah SAW: (اللهم يا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي على دِينِكَ) bermaksud: "Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu". Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak (1926)

Keenam: Bertalaqqi ilmu aqidah dengan mencari guru yang berkeahlian bagi memantapkan lagi keimanan terutamanya ketika berhadapan dengan keraguan-keraguan yang sengaja ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam.

Ketujuh: Sentiasa melazimi dan bergaul dengan para alim ulama dan golongan solehin.

Wallahu a'lam.