Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

new-5c-20piktoc_32722817 (4).jpg

 

 

SOALAN:

Assalamualaikum. Apakah Hukum jika seseorang Islam, bergurau dalam bentuk tulisan (whatsapp, messenger dan lain-lain), bahawa dia bukan Muslim dengan niat bergurau untuk tidak ingin memberitahu dia menganut mana-mana agama kepada orang lain (terutama yang bukan muslim). Dia kemudiannya tersedar gurauan tersebut takut membatalkan keIslamannya. Jika jatuh murtad, apa yang perlu dilakukannya, adakah perlukan saksi untuk mengucap semula?

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Dari segi bahasa, murtad atau riddah merupakan isim masdar daripada perkataanاِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Murtad ialah beralih daripada Islam kepada agama lain atau anutan lain.

Sheikh Ahmad Ibn Faris al-Qazwini menerusi kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) menyatakan bahawa perkataan asal murtad atau riddah adalah daripada gabungan huruf ra’ dan dal iaitu memberi maksud kembali pada sesuatu. Atas dasar inilah murtad di definisikan kepada orang yang kembali pada kufur.

Bergurau atau sengaja dalam melafazkan “Aku bukan Islam” merupakan diantara perkara mempersendakan agama. Untuk gambaran yang lebih jelas, kami bawakan satu situasi sebagai contoh untuk lebih memahami :-

“Ketika bulan ramadhan, Aziz Rusydi sengaja tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Lalu rakannya menegur perbuatan tersebut. Beliau dengan senang mengungkapkan “Aku bukan Islam” kemudian ketawa”.

Berpuasa adalah ibadah dan perintah agama yang wajib bagi setiap muslim. Jika dilihat daripada situasi tersebut, beliau mengungkapkan perkataan “Aku bukan Islam” dalam keadaan bersenda gurau. Maka secara tidak langsung, perbuatannya itu merupakan perkara yang mempersendakan agama.

Lalu, bagaimana kedudukan orang yang mempersendakan agama disisi Allah SWT?

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ ۚ إِن نَّعْفُ عَن طَائِفَةٍ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu mempersendakan dan mengejeknya?"

“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah”

(Surah at-Tawbah; 65-66)

Bahkan Allah SWT menyuruh menjauhkan diri dari golongan tersebut. Firman Allah SWT:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia”.

(Surah al-An’am; 70)

Perbuatan mempersendakan agama merupakan dosa besar bahkan telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka azab yang amat perit. Firman Allah SWT:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

Maksudnya: Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

(Surah al-An’am; 70)

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menetukan status murtad bagi mereka yang mengungkapkan ungkapan kufur secara sengaja.

Imam al-Zarkasyi menyatakan bahawa:

من تكلم بكلمة الكفر هازلا ولم يقصد الكفر كفر

Maksudnya: “Sesiapa yang berkata perkataan yang membawa kepada kufur secara sengaja tanpa niat untuk kufur maka beliau dikira murtad”. (rujuk al-Mansur fi al-Qawaid Fiqh Syafie, jld. 2, m/s 112).

Menurut Ibnu Nujaim menyatakan bahawa:

إذا أطلق الرجل كلمة الكفر عمدا لكنه لم يعتقد الكفر، قال بعض أصحابنا: لا يكفر؛ لأن الكفر يتعلق بالضمير ولم يعقد الضمير على الكفر. وقال بعضهم: يكفر. وهو الصحيح عندي؛ لأنه استخف بدينه

Maksudnya: “Sekiranya diungkapkan perkataan kufur secara sengaja tetapi beliau tidak berniatkannya, kata sebahagian ulama’: ia tidak kafir, kerana ungkapan kufur itu tidak bersangkutan dengan niatnya dan niatnya tidak selari atas apa yang diucapkannya. Namun sebahagian ulama’ lagi menyatakan bahawa ia telah kafir / murtad. Pendapat yang menyatakan kufur itu sah disisiku kerana mengambil mudah dan meremehkan agamanya”.

والحاصل أن من تكلم بكلمة الكفر هازلا أو لاعبا كفر

Maksudnya: “Dan rumusannya, sesiapa yang mengungkap dengan perkataan kufur secara sengaja atau bermain-main maka ia telah jatuh kufur”.(rujuk al-Bahru al-Raiq Syarah Kanzi al-Daqaaiq, jld. 5, m/s 210).

Maka apa yang perlu dilakukannya?

Kami menasihatkan mereka yang melalui situasi begini perlu melafazkan syahadah semula, beristighfar kepada Allah SWT supaya dosa yang dilakukan diampunkan. Ia bertepatan dengan hadis yang memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad, No. 8710)

Allah SWT maha pengasih lagi maha pengampun, maka pohonlah keampunan atas dosa yang telah dilakukan dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh. Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

(Surah al-Zumar; 53)

WallahuA’lam.