Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

istidraj 2.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bagaimana hendak membezakan antara istidraj dengan kurniaan Allah SWT?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Di dalam Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah (1/734), disebut maksud istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:

سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”

Surah al-Qalam (44)

Al-Hasan berkata: “Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/251 dan Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)

Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: “Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur.” (Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)

Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”

Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)

Mulla Ali al-Qari berkata: Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipudaya. Benarlah firman Allah SWT: “سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ” yang membawa maksud “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 9/396)

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Maksudnya: Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan.

Surah al-An’am (44)

Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut, “Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Jalalain, 2/340)

Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:

خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipudaya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)

Syekh Zarruq berkata, “Wahai para murid, takutlah terhadap kurniaan-Nya kepadamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, di tengah-tengah kederhakaanmu terhadap-Nya berupa kelalaian dan kecuaian.” (Lihat Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 101)

 

Kesimpulan

Kurniaan Allah biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan Solat Dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.

Namun orang yang tidak mengerjakan sembahyang lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.

Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Surah Ali Imran (102)