Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #633 : HUKUM AQIQAH BAGI DIRI SENDIRI

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ingin mengenai hukum aqiqah. Apakah hukum aqiqah ke atas seseorang yang telah baligh yang mana jika ketika itu umurnya samada dari 25-50 tahun, adakah masih wajib lg keatasnya melaksanakan aqiqah tersebut? Kerana dahulu kedua orang tuanya tidak berkemampuan. Dan ustaz jika sekiranya kedua orang tua dan dirinya sendiri tidak mampu melakukan aqiqah tersebut ia dimaafkan? Sekian mohon maaf dan terima kasih ustaz..

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum aqiqah adalah sunat muakkadah bagi yang berkemampuan. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

Riwayat al-Bukhari (2839)

Aqiqah disunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Riwayat Abu Daud (1522)

Mengenai bilangan kambing yang perlu diaqiqahkan, bagi bayi lelaki, maka disunatkan dengan menyembelih 2 ekor kambing manakala bagi bayi perempuan pula adalah dengan menyembelih 1 ekor kambing. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

Riwayat Abu Daud (2842)

Berdasarkan hadith di atas, asal bagi aqiqah untuk anak lelaki adalah dua ekor kambing manakala bagi anak perempuan pula adalah seekor kambing. Ini adalah tertib yang terbaik bagi seseorang jika ingin melakukan ibadah aqiqah.

Adapun mengenai persoalan yang dibangkitkan, adakah memadai untuk beraqiqah dengan seekor kambing sahaja bagi anak lelaki? Maka jawapannya adalah memadai dan dibolehkan. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/429) oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah.

Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengaqiqahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang”.

Riwayat Abu Daud (2841)

Justeru, hukum aqiqah adalah sunat muakkad (sangat digalakkan) dan bukannya wajib. Maka meninggalkannya tanpa keuzuran adalah makruh dan bukannya maksiat. Begitu juga jika ditinggalkan aqiqah itu kerana tidak mampu, maka tidak haram mahupun makruh. Sebahagian ulama Syafieyyah yang terkemudian (mutaakhkhirin) berpendapat bahawa seseorang yang tidak mampu melakukan aqiqah kemudian menjadi senang selepas tujuh hari kelahiran maka tidak sunat lagi untuk melakukan aqiqah. Manakala sebahagian Syafieyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie bahawa hukum sunatnya kekal sehingga anak itu baligh.

Para ulama Syafieyyah berpendapat bahawa aqiqah dituntut ke atas al-asl (seperti ayah dan datuk) kerana dia wajib menafkahi bayi itu dan bayi dianggap faqir. Aqiqah hendaklah ditunaikan bukan menggunakan harta anaknya sebaliknya menggunakan hartanya sendiri. Namun apabila anak itu baligh sebelum sempat diaqiqahkan maka sunat bagi anak tersebut untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri.

Rujuk Mughni al-Muhtaj (6/139) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah

Justeru, sunat hukumnya untuk seseorang yang dewasa yang belum diaqiqahkan untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat kehidupan yang diberikan-Nya. Jika dia tidak mampu, maka tiada masalah dan tiada kehinaan terhadap perkara itu kerana Syariat tidak memberatkan seseorang atas suatu yang dia tidak mampu. Untuk penjelasan lanjut, boleh rujuk buku kami yang bertajuk “Merungkai Persoalan Akikah dan Korban”.

Wallahua’lam.