Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 215: HUKUM MENGOREK TELINGA KETIKA PUASA

HUKUM MENGOREK TELINGA KETIKA PUASA

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada soalan, bolehkah kita mengorek telinga ketika puasa? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum korek telinga pada siang hari di bulan Ramadan adalah membatalkan puasa jika melepasi had tengkorak kepala, iaitu alat pengorek masuk ke dalam kawasan lubang telinga.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, menjelang tibanya bulan Ramadan, setiap individu Muslim yang mukalaf diwajibkan untuk berpuasa dan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari waktu terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari, dan antara perkara tersebut adalah memasukkan sesuatu secara sengaja ke dalam rongga melalui saluran terbuka seperti mulut, telinga, hidung dan saluran qubul dan dubur bagi lelaki dan perempuan[1].

Berdasarkan kepada penyataan di atas, maka jelaslah bahawa telinga merupakan salah satu saluran yang terbuka. Al-Imam al-Syirbini menyebut bahawa menitiskan sesuatu ke bahagian dalam (lubang) telinga, sekalipun tidak sampai ke otak adalah membatalkan puasa menurut pandangan yang kuat[2]

Al-Imam al-Damiri turut menyatakan perkara yang sama bahawa perbuatan menitiskan sesuatu ke bahagian dalam telinga adalah membatalkan puasa sekalipun titisan itu tidak sampai ke otak, bahkan ia melebihi had tengkorak kepala[3].

Berkenaan perbuatan mengorek telinga, adakah ia membatalkan puasa bergantung sejauh manakah had yang dibolehkan untuk sesuatu sampai ke dalam telinga ketika puasa.

Berdasarkan kepada penyataan Imam al-Damiri di atas, bahawa puasa terbatal sekiranya titisan di telinga melebihi tengkorak kepala, iaitu masuk ke dalam lubang telinga. Sebagaimana maklum juga bahawa perbuatan mengorek telinga menggunakan hujung jari kebiasaannya tidaklah sampai ke kawasan tersebut, namun sekiranya menggunakan pengorek telinga jenis besi dan sebagainya, ia mampu melangkaui kawasan had tengkorak kepala.

Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa had batin bagi kawasan telinga adalah melepasi tengkorak kepala. Sehubungan dengan itu, kami menyatakan bahawa mengorek telinga adalah tidak membatalkan puasa jika ia tidak melebihi kawasan tengkorak kepala.

Wallahua'lam

Rujukan:

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 2/181.

2- وصول عين إلى الجوف من منفذ مفتوح.

...والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقُبلً والدبر من الذكر والأنثى. فإذا وصلت عين إلى الجوف من أحد المنافذ المفتوحة قصدًا واختيارًا بطل الصوم.

[2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 2/156.

(وَالتَّقْطِيرُ فِي بَاطِنِ الْأُذُنِ) وَإِنْ لَمْ يَصِلْ إلَى الدِّمَاغِ (وَ) بَاطِنِ (الْإِحْلِيلِ) وَهُوَ مَخْرَجُ الْبَوْلِ مِنْ الذَّكَرِ وَاللَّبَنِ مِنْ الثَّدْيِ وَإِنْ لَمْ يَصِلْ إلَى الْمَثَانَةِ وَلَمْ يُجَاوِزْ الْحَشَفَةَ أَوْ الْحَلَمَةَ (مُفْطِرٌ فِي الْأَصَحِّ) بِنَاءً عَلَى الْوَجْهِ الْأَوَّلِ، وَهُوَ اعْتِبَارُ كُلِّ مَا يُسَمَّى جَوْفًا

[3] Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, Tahkik: Lajnah ‘Ilmiyyah (Jeddah: Dar al-Minhaj, cetakan pertama, 1425H), 3/297.

قال: (والتقطير في باطن الأذن والإحليل مفطر في الأصح) وإن لم يصل إلى الدماغ بل جاوز القحف، وإن لم يصل إلى المثانة ولم يجاوز الحشفة بناء على الوجه الأول - وهو اعتبار كل ما يسمى جوفًا - فيفطر بذلك