Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-631: HUKUM MENGGANTUNG GAMBAR FOTOGRAFI DI DINDING

 

IF631

 

SOALAN

Assalamualaikum mufti. Saya nak buat pertanyaan. Apakah hukum mengambil gambar fotografi manusia dan menggantungnya dengan tujuan perhiasan atau kenang-kenangan? Harap dibalas pertanyaan kerana saya tak jumpa jawapan di website mufti wp.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Menangkap gambar fotografi dengan menggunakan alat seperti kamera ini bukan seperti perbuatan melukis dan perbuatan ini dianggap sebagai menangkap bayang maka perbuatan ini diharuskan. Hukum ini berkekalan selama mana gambar yang diambil adalah bertujuan sebagai perhiasan di rumah untuk kenang-kenangan. Sementara itu, sekiranya menggantung gambar tersebut bertujuan untuk penyembahan dan mengagungkan maka perbuatan tersebut diharamkan. Justeru itu, perbuatan menggantung gambar fotografi di dinding rumah atau disusun sebagai perhiasan di rumah mahupun pejabat adalah suatu perbuatan yang dibenarkan dalam agama.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hukum menggantungkan gambar fotografi ini berkait rapat dengan hukum melakar atau melukis makhluk hidup. Para ulama berbeza pandangan antara mengharamkan atau mengharuskannya.

Terdapat sebahagian ulama yang mengharamkannya. Hal ini berdasarkan kepada gambar yang terdapat pada zaman Nabi SAW yang dilarang mempunyai tiga ciri iaitu gambar sesuatu yang mempunyai roh seperti manusia dan haiwan, berniat untuk mengagungkannya dan menyerupai atau meniru perbuatan mencipta (sesuatu) oleh Allah SWT.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/670)

Namun menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani yang menyatakan pendapat yang tepat ialah sekiranya lakaran atau lukisan tersebut tidak mempunyai bentuk tubuh atau jisim yang sempurna bahkan dengan ketidaksempurnaan itu maka ia tidak dapat hidup seperti tidak mempunyai kepala atau seumpamanya serta bukan untuk dimuliakan maka ia dibenarkan.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/674)

Hal ini juga berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA katanya:

اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْخُلْ فَقَالَ كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ

Maksudnya: Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi SAW menyebut: masuklah. Kata Jibril: bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak.

Riwayat al-Nasaie (5270)

Hikmah pengharaman pada lakaran yang berjisim dan mempunyai bayang adalah bertujuan menghalang menyerupai dengan penyembahan berhala dan patung, memerangi perbuatan syirik dan menjamin keagungan Allah SWT yang Maha Esa.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/670)

Selain itu, Saidatina A’ishah RA ada meriwayatkan hadis berkenaan larangan melukis gambar:

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya seberat-berat azab siksaan pada manusia di hari Qiamat adalah mereka yang melukis gambar.

Riwayat Muslim (2109)

Namun begitu, Imam Nawawi menyebut di dalam syarahnya berkenaan azab yang berat itu bahawa:

أشد عَذَابًا فَقِيلَ هِيَ مَحْمُولَةٌ عَلَى مَنْ فَعَلَ الصُّورَةَ لِتُعْبَدَ وَهُوَ صَانِعُ الْأَصْنَامِ وَنَحْوِهَا فَهَذَا كَافِرٌ وَهُوَ أَشَدُّ عَذَابًا وَقِيلَ هِيَ فِيمَنْ قَصَدَ الْمَعْنَى الَّذِي فِي الْحَدِيثِ مِنْ مُضَاهَاةِ خَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَاعْتَقَدَ ذَلِكَ

Maksudnya: Azab yang berat seperti mana yang disebut iaitu membawa maksud ke atas mereka yang melakukan lakaran atau melukis gambar dengan tujuan beribadah iaitu membuat berhala dan selainnya, maka mereka ini adalah kafir dan akan diberi azab yang berat, dan dikatakan iaitu mereka yang melakukannya dengan tujuan (niat) yang dimaksudkan dalam hadis mereka yang melakukan (mengukir) sesuatu yang menyerupai (bersaing) Allah SWT dalam penciptaan makhluk dan mereka berniat yang sedemikian (mengagungkan ukiran mereka).

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/91)

Jelas disini bahawa melukis atau mengukir gambar makhluk hidup dengan tujuan penyembahan atau mengagungkannya adalah diharamkan kerana dikhuatiri menjadi bahan mensyirikkan Allah SWT seperti yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Imam Ibn al-‘Arabi menyebut di dalam tafsirnya:

مَا كَانَتْ الْعَرَبُ عَلَيْهِ مِنْ عِبَادَةِ الْأَوْثَانِ وَالْأَصْنَامِ، فَكَانُوا يُصَوِّرُونَ وَيَعْبُدُونَ، فَقَطَعَ اللَّهُ الذَّرِيعَةَ وَحَمَى الْبَابَ... نُهِيَ عَنْ الصُّورَةِ، وَذَكَرَ عِلَّةَ التَّشْبِيهِ بِخَلْقِ اللَّهِ، وَفِيهَا زِيَادَةُ عِلَّةِ عِبَادَتِهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ،

Maksudnya: Apa yang dilakukan oleh golongan Arab Jahiliyyah apabila menyembah patung dan berhala, lalu mereka mengukir dan menyembahnya, maka Allah SWT menutup atau memelihara pintu kerosakan (dengan mengharamkan lukisan)...larangan melakar, dan dinyatakan bahawa sebab pengharamannya adalah menyerupai sifat penciptaan Allah SWT, dan terdapat penambahan sebab pengharaman menyembah selain daripada Allah SWT pada perbuatan itu.

(Rujuk: Ahkam al-Quran li Ibn al-‘Arabi, 4/9)

 

Kamera Dan Hukum Mengenainya

Mengambil gambar dengan menggunakan kamera ialah suatu proses menangkap bayang dengan cara yang khusus dan tertentu.

(Rujuk: Al-Jawab al-Syafiy Fi Ibahati al-Taswir al-Fotografi, 35)

Menurut Syeikh Ali al-Sayis hukum sesuatu yang dipanggil sebagai penggambaran matahari atau fotografi tidak sama seperti lukisan gambar, tetapi ia bagaikan penangkapan bayang yang mana ia seperti hasil objek yang terpapar melalui cermin.

(Rujuk: Tafsir Ayat Ahkam, 4/58)

Hal ini kerana gambar fotografi terhasil daripada proses tangkap bayang dengan cara yang tertentu dengan menggunakan alat iaitu kamera. Oleh disebabkan itu, terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan perbuatan bergambar fotografi dan tiada larangan daripada menggantungkan gambar tersebut di rumah dan selain daripadanya. Perbuatan ini dibenarkan sekiranya gambar tersebut tidak menyebabkan berlaku fitnah seperti gambar perempuan yang memperlihatkan bahagian anggota badan selain daripada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya.

(Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/676)

Selain itu, pengharaman berkaitan lukisan atau gambar makhluk bernyawa itu disebabkan illahnya (sebab pengharamannya) mensyirikkan Allah SWT dan memuliakan makhluk tersebut. Perbuatan ini bertentangan dengan syariat Islam seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina A’ishah RA berkenaan dengan mereka yang melukis gambar-gambar golongan soleh dan pembesar mereka yang sudah mati di dalam gereja di Habsyah. Namun begitu, Imam Sana’ni menjelaskan di dalam kitabnya:

وَالظَّاهِرُ أَنَّ الْعِلَّةَ سَدُّ الذَّرِيعَةِ وَالْبَعْدُ عَنْ التَّشْبِيهِ بِعَبَدَةِ الْأَوْثَانِ الَّذِينَ يُعَظِّمُونَ الْجَمَادَاتِ الَّتِي لَا تَسْمَعُ وَلَا تَنْفَعُ وَلَا تَضُرُّ

Maksudnya: Dan jelas, sesungguhnya illahnya (tujuan pengharamannya) adalah bertujuan menutup pintu kerosakan dan menjauhi daripada menyerupai perbuatan penyembah berhala yang memuliakan benda-benda yang tidak hidup yang mana tidak boleh mendengar, memberi manfaat dan mudarat.

(Rujuk: Subul al-Salam, 1/229)

Oleh itu, mengambil dan menggantung gambar di dinding bukan kerana tujuan yang diharamkan seperti yang dinyatakan maka perbuatan tersebut dibenarkan. Tambahan pula, sesuatu hukum ditetapkan bergantung kepada kewujudan sebab ia ditetapkan, sepertimana hukum haram disabitkan dengan wujud sebab pengharamannya pada sesuatu perbuatan. Jika tiada sebab pengharamannya maka hukumnya tidak jatuh haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الحكم يدور مع علته ثبوتاً وعدماً

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.

(Rujuk: Risalah Latifah Jami’ah fi Usul al-Fiqh al-Muhimmah, 1/105)

Berdasarkan perbahasan di atas dapat difahami bahawa perbuatan mengambil dan menggantung gambar diharuskan sekiranya perbuatan tersebut bebas daripada tujuan penyembahan dan mengagungkan makhluk. Hal ini kerana perbuatan tersebut mempunyai unsur syirik kepada Allah SWT. Terdapat fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta al-Masriyah juga bersamaan dengan pendapat yang disimpulkan ini. Rujukan mengenai fatwa tersebut boleh didapati di pautan berikut:

https://www.dar-alifta.org/AR/ViewVideo.aspx?CatID=17&ID=1075

 

KESIMPULAN

Menangkap gambar fotografi dengan menggunakan alat seperti kamera ini bukan seperti perbuatan melukis, dan perbuatan ini dianggapkan sebagai menangkap bayang maka perbuatan ini diharuskan. Hukum ini berkekalan selama mana gambar yang diambil adalah tujuan perhiasan dirumah sebagai tanda kenang-kenangan. Sekiranya menggantung gambar tersebut bertujuan untuk penyembahan dan mengagungkan makhluk maka perbuatan tersebut diharamkan. Justeru itu, perbuatan menggantung gambar fotografi di dinding rumah atau di susun sebagai perhiasan di rumah mahupun pejabat adalah suatu perbuatan yang dibenarkan di dalam agama.