Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-648: HUKUM BERAMAL DENGAN SURAH TAHA SEBAGAI PELEMBUT HATI DAN KAITANNYA DENGAN KISAH SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RA

IF 648

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada mendengar kisah Saidina Umar baca surah Taha kemudian dia peluk Islam. Boleh tak kalau kita amalkan surah tu untuk kita bagi lembut hati seseorang sebab pernah dengar surah Taha ni sebagai ayat pelembut hati. Mohon pencerahan terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1-5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah harus berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi (ruqyah) menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah. Di samping itu begitu juga kisah Saidina Umar bin al-Khattab dijadikan iktibar dan pedoman sebagai pengajaran dan bukti mukjizat al-Quran yang mana beliau memeluk Islam ketika mendengar beberapa ayat dari surah Taha. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus dari al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut bagi hati.

Huraian Jawapan

Al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk kepada umat manusia. Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai penawar bagi hati serta Rahmat bagi mereka yang beriman kepada-Nya. Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;

(Surah al-Isra, 82)

Para ulama mentafsirkan perkataan syifa’ pada ayat di atas sebagai ubat penawar iaitu sebagai penawar bagi hati dari segala kejahilan kemudian dianugerahkan kepadanya kesembuhan dengan diberi ilmu kefahaman. Perkara ini sebagaimana yang disebut oleh  Imam al-Qurtubi dengan menukilkan pandangan para ulama yang menyatakan bahawa:

أنه شفاء للقلوب بزوال الجهل عنها وإزالة الريب، ولكشف غطاء القلب من مرض الجهل لفهم المعجزات والأمور الدالة على الله تعالى

Maksudnya: Sesungguhnya ia (al-Quran) merupakan penawar bagi hati dengan menghilangkan kejahilan dan keraguan serta membuka hati yang tertutup daripada penyakit kejahilan untuk memahami mukjizat dan perkara yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT[1]

Surah Taha merupakan surah yang diturunkan di Mekah sebelum Islamnya Saidina Umar al-Khattab. Surah ini mempunyai hubungkait tentang kisah pengislaman Saidina Umar al-Khattab seperti yang dinukilkan oleh Imam  al-Qurtubi di dalam kitabnya, kisah yang  diriwayatkan oleh al-Daraqutni di dalam sunannya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang menceritakan bahawa Saidina Umar keluar bersama pedangnya dengan tujuan untuk membunuh Rasulullah SAW. Ketika dalam perjalanan, beliau diberitahu bahawa saudara perempuannya telah mengjadi pengikut Baginda Nabi SAW. Lantas beliau terus meluru ke rumah saudaranya, apabila sampai di rumah tersebut beliau terdengar suara Khabbab membaca surah Taha. Lalu beliau meminta mushaf yang ditulis di dalamnya surah tersebut kemudian dia membacanya.[2]

Kisah ini juga diceritakan dengan panjang lebar dan terperinci oleh Ibnu hisyam di dalam sirahnya dengan menukilkan kisah ini daripada Ibnu Ishaq, yang mana diceritakan setelah selesai Saidina Umar membersihkan diri, kemudian saudara perempuannya memberikan mushaf yang terkandung di dalamnya surah Taha ayat 1 hingga 20 tersebut kepada Saidina Umar lalu dibacanya. Setelah itu, beliau berkata:

مَا أَحْسَنَ هَذَا الْكَلَامَ وَأَكْرَمَهُ!

Maksudnya: Alangkah cantik dan mulianya kata-kata ini

Kemudian beliau meminta Khabbab memberitahunya tempat untuk berjumpa Baginda Nabi SAW. Setelah itu Beliau terus pergi ke rumah tempat Nabi SAW dan para sahabatnya berkumpul yang terletak di bukit Safa untuk berjumpa Baginda Nabi SAW. Setelah beliau berdepan dengan Baginda SAW, lalu Baginda bertanya kepadanya:

مَا جَاءَ بِكَ يَا بن الخطّاب؟ فو الله مَا أَرَى أَنْ تَنْتَهِيَ حَتَّى يُنْزِلَ اللَّهُ بِكَ قَارِعَةً

Maksudnya: Apakah yang membawa kamu datang ke sini wahai Ibnu al-Khattab? Demi Allah Aku melihat ia tidak akan berakhir sehinggalah Allah menurunkan kepada kamu malapetaka.

Lalu Saidina Umar al-Khattab berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، جِئْتُكَ لِأُومِنَ باللَّه وَبِرَسُولِهِ، وَبِمَا جَاءَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, aku datang bertemu kamu untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta apa yang telah diwahyukan dari Allah.

Setelah mendengar ikrar keimanan Saidina Umar al-Khattab RA maka Rasulullah SAW bertakbir kegembiraan dan disebabkan itu sahabat-sahabat Nabi SAW mengetahui bahawa Saidina Umar al-Khattab telah memeluk Islam. [3]

Kisah ini menggambarkan bahawa setelah Saidina Umar al-Khattab RA membaca surah Taha, lalu hatinya terpaut dengan keindahan ayat suci tersebut kemudian terus meminta izin untuk berjumpa Nabi SAW dan memeluk Islam. Ini menggambarkan dan membuktikan keindahan dan mukjizat al-Quran sebagai zikrullah yang dapat melembutkan dan menenangkan hati mereka yang keras sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, Firman Allah SWT:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah al-Ra’d, 28)

Berdoa dan Jampi Menggunakan Ayat al-Quran

Dalam menjawab persoalan ini, menggunakan ayat al-Quran sebagai amalan dan doa sebagai pelembut hati merupakan perkara yang diharuskan dalam syarak. Perkara ini juga sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu,

(Surah al-A’raf, 180)

Di samping itu, Baginda Nabi SAW juga menyarankan supaya untuk meminta kepada Allah SWT apabila membaca al-Quran malah al-Quran juga boleh dijadikan perantaraan dalam memohon sesuatu hajat supaya ia dimakbulkan oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain berkata, bahawa sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

Maksudnya: Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia

Riwayat al-Tirmizi (2917)

Hadis di atas jelas menyebut bahawa hendaklah meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam setiap perkara, sama ada perkara yang berkaitan dengan duniawi atau ukhrawi. Syeikh Mubarakfuri dalam mensyarahkan hadis di atas beliau menyatakan:

أَيْ فَلْيَطْلُبْ مِنَ اللَّهِ تَعَالَى بِالْقُرْآنِ مَا شَاءَ مِنْ أُمُورِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: (مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ) iaitu meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam setiap perkara daripada perkara-perkara dunia dan akhirat.[4]

Begitu juga perihal jampi atau ruqyah dengan menggunakan ayat al-Quran, para ulama berpendapat bahawa harus bahkan sunat sekiranya jampi tersebut menggunakan ayat al-Quran nama Allah SWT bdengan tujuan untuk mengubati penyakit. Imam al-Suyuti menukilkan pandangan Ibn al-Tin yang menyatakan:

الرُّقَى بِالْمُعَوِّذَاتِ وَغَيْرِهَا مِنْ أَسْمَاءِ اللَّهِ تَعَالَى هُوَ الطِّبُّ الرُّوحَانِيُّ إِذَا كَانَ عَلَى لِسَانِ الْأَبْرَارِ مِنَ الْخَلْقِ حَصَلَ الشِّفَاءُ بِإِذْنِ

Maksudnya: Jampi dengan al-Mu’awwizat dan selainnya dengan menggunakan nama Allah SWT merupakan rawatan ruhani. Begitu juga jika diungkapkan oleh golongan yang salih dari kalangan makhluk maka mendapat kesembuhan dengan keizinan daripada Allah.[5]

Jelas pandangan Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa disunatkan ruqyah atau jampi dengan menggunakan ayat al-Quran dan Nama-nama Allah seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti:

تَجُوزُ الرُّقْيَةُ بِكَلَامِ اللَّهِ وَأَسْمَائِهِ فَإِنْ كَانَ مَأْثُورًا اسْتُحِبَّ

Maksudnya: Harus ruqyah (jampi) dengan menggunakan kalam Allah dan nama-Nya. Bahkan sekiranya ia ma’thur (terdapat dalil al-Quran dan sunnah) maka ia disunatkan.[6]

Kesimpulan

Mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1-5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah diharuskan berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah. Di samping itu boleh juga kisah Saidina Umar al-Khattab yang memeluk Islam ketika mendengar dan membaca surah Taha boleh dijadikan iktibar dan pedoman sebagai pengajaran dan bukti mukjizat al-Quran. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus dari al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut bagi hati.

Selain itu boleh juga rujuk artikel yang bertajuk:

AL-KAFI #1517: BOLEHKAH MEMBACA AL-QURAN UNTUK MENDAPAT HABUAN DUNIA SEMATA-MATA

IRSYAD AL-FATWA KE-93: APAKAH HUKUM MEMBACA AL-QURAN DENGAN TUJUAN MEMENANGKAN MASJID AL-AQSA

Wallahu’alam

 

[1] Abu Abdillah Muhammad Ahmad Abi Bakr Farh al-Ansari al-Qurtubi ed. Ahmad Barduni, Ibarahim Athfaish. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Tafsir al-Qurtubi (Cairo, Dar al-Kutb al-Misriyyah, 1384H) 10:316

[2] Ibid. 11:163. (روى الدارقطني في سننه عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال خرج عمر متقلدا بسيف فقيل له إن ختنك [وأختك «1»] قد صبوا «2» فأتاهما عمر وعندهما رجل من المهاجرين يقال له: خباب وكانوا يقرءون:" طه". فقال: أعطوني الكتاب الذي عندكم فأقرؤه- وكان عمر رضي الله عنه يقرأ الكتب- فقالت له أخته: إنك رجس ولا يمسه إلا المطهرون فقم فاغتسل أو توضأ فقام عمر رضي الله عنه وتوضأ وأخذ الكتاب فقرأ:" طه")

[3] ‘Abd al-Malik Hisyam Ayyub al-Humairi, Abu Muhammad dan Jamaluddin, ed Mustafa al-Syaqa dan Ibrahim al-Abyari dan ‘Abd al-Hafiz al-Syilbi. Sirah Ibnu Hisham (Misr: Syarkah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi 1375H) 1:344-346

[4] Abu ‘Ala Muhammad ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi ( Bairut: Dar al-Kutb al-‘Ilmiyyah t.t.t)  8:189

[5] Jalaluddin al-Suyuti, ed. Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim. Al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran (al-Hai’ah al-Misriyyah al-‘Ammah li Kitab, 1294H) 4:165

[6] Ibid.