Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 51/2025: BAHAYA BERCANGGAH DENGAN FITRAH JANTINA

TintaMufti.jpg

BAHAYA BERCANGGAH DENGAN FITRAH JANTINA

Perbuatan menyerupai berlawanan jantina (tasyabbuh) akan menjejaskan peranan asas pemuda lelaki dan pemudi wanita dalam menunaikan tanggungjawab sosial sekaligus meruntuhkan peradaban manusia yang berteraskan nilai-nilai Islam. Fitrah identiti seorang lelaki sepatutnya menampilkan sifat kepimpinan sebagai pemuda yang kuat, tegap dan berwibawa. Sementara itu, identiti seorang wanita menonjolkan sifat keayuan dan kesopanan yang mencerminkan nilai kelembutan yang sesuai dengan peranan masing-masing demi menjaga keseimbangan kehidupan bermasyarakat. Manusia yang dilahirkan sebagai lelaki mahupun wanita merupakan sebaik-baik aturan semulajadi yang ditentukan oleh Allah SWT tanpa boleh dipertikaikan. Firman Allah SWT:


لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."

(Surah al-Tin: 4)

Memelihara fitrah jantina asal merupakan satu amanah daripada Allah SWT tanpa boleh memilih mengikut kehendak hawa nafsu manusia. Perkara ini dilihat melalui ancaman laknat oleh Rasulullah SAW  terhadap perbuatan tasyabbuh (menyerupai jantina berlawanan) sebagaimana yang disebutkan dalam hadis berikut:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، ‌وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ ‌النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.

Riwayat al-Bukhari

Ibn Hajar al-’Asqalani mensyarahkan hadis ini dengan menukilkan pandangan Iman Al Tabari yang menyatakan bahawa seorang lelaki dianggap menyerupai wanita atau seorang wanita akan dianggap menyerupai lelaki dilihat dari beberapa sudut iaitu pakaian, perhiasan, percakapan, suara, gaya berjalan, gerak badan dan mengubah bentuk fizikal badan.[1]

Begitu juga, Rasulullah SAW jelas melarang berpakaian bercanggah dengan identiti jantina asal melalui ancaman laknat yang disebutkan dalam hadis berikut:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

MaksudnyaRasulullah SAW telah melaknat lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat ِAbu Daud

Penutup

Konklusinya, tinta kali ini menegaskan bahawa pemeliharaan fitrah jantina identiti asal penting bagi memastikan peranan asas lelaki dan wanita dalam membina kekuatan peradaban manusia yang berteraskan Islam. Malahan, syarak menegaskan ancaman keras terhadap segala bentuk perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) sebagaimana dinyatakan dalam hadis. Penciptaan manusia yang seimbang selaras dengan peranan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dalan membangunankan kehidupan individu, keluarga dan masyarakat.

Wallahu a'lam 

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

4 REJAB 1447H / 25 DISEMBER 2025

 

Rujukan:

[1] Ibn Hajar al-’Asqalani, Ahmad bin Ali. Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari. (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390H). 10/332.

«قَالَ الطَّبَرِيُّ: الْمَعْنَى لَا يَجُوزُ لِلرِّجَالِ التَّشَبُّهُ بِالنِّسَاءِ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الَّتِي تَخْتَصُّ بِالنِّسَاءِ وَلَا الْعَكْسُ. قُلْتُ: وَكَذَا فِي الْكَلَامِ وَالْمَشْيِ، فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ، فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ، لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَارِ، وَأَمَّا ذَمُّ التَّشَبُّهِ بِالْكَلَامِ وَالْمَشْيِ فَمُخْتَصٌّ بِمَنْ تَعَمَّدَ ذَلِكَ»