Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 62/2026: ALAM SEKITAR IBARAT IBU KITA - TUNTUTAN AGAMA DALAM MENJAGA ALAM SEKITAR

WhatsApp_Image_2026-01-09_at_11.22.58_AM.jpeg

ALAM SEKITAR IBARAT IBU KITA - TUNTUTAN AGAMA DALAM MENJAGA ALAM SEKITAR

Hubungan antara manusia dan alam sekitar saling bergantung antara satu sama lain ibarat hubungan antara ibu dengan anaknya. Jika salah satunya diabai atau dimusnahkan, maka akan sengsaralah kehidupan.

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab semua, akibat kerosakan alam sekitar boleh mendatangkan musibah dan bala bencana seperti banjir, pemanasan global dan seumpamanya. Alam sekitar diumpamakan sebagai seorang ibu yang sentiasa melindungi anak-anaknya daripada bahaya dan musibah. Sebagai contoh hutan merupakan kawasan tadahan hujan yang melindungi daripada bencana banjir dan tanah runtuh. Sungai menuaikan hasil sumber makanan serta tanaman dan pencemaran sungai boleh mengakibatkan banjir dan merosakkan ekosistem makanan.

Masyarakat Islam diasuh dan dididik untuk tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi. Bahkan menjadi satu kewajipan ke atas umat Islam untuk memakmurkan dan menjaga alam sekitar daripada kerosakan.[1] Bukan itu sahaja, tuntutan ini juga boleh dilihat melalui larangan Allah SWT ke atas sekalian manusia daripada melakukan kerosakan sebagaimana firman-Nya:

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

Surah al-A‘raf (56)

Menurut syeikh Ali al-Qarahdaghi tujuan penciptaan manusia tidak terbatas kepada melakukan ibadah ritual semata-mata, tetapi memakmur dan menguruskan segala perkara di dunia dengan penuh kebijaksanaan dan beretika. Ini kerana manusia merupakan khalifah yang ditugaskan untuk menjaga kelestarian alam di samping tidak meninggalkan ibadah spiritual. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ الله مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَنَاظِر كيْفَ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini manis dan menghijau. Allah Azza wa Jalla telah menjadikan kamu sebagai khalifah untuk mengurus segala yang ada di dalamnya, lalu Dia akan melihat bagaimana kamu bertindak.”

(Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Hubungan manusia dengan alam sekitar merupakan satu ikatan saling bergantung yang menuntut tanggungjawab bersama untuk dipelihara dan dimakmurkan. Kerosakan alam bukan sahaja mengundang bencana dan penderitaan, malah bercanggah dengan tuntutan agama yang melarang perbuatan merosakkan bumi.

Islam meletakkan manusia sebagai khalifah yang bukan sekadar melaksanakan ibadah ritual, tetapi juga mengurus dan menjaga kelestarian alam dengan penuh amanah, kebijaksanaan dan etika selaras dengan perintah Allah SWT dan ajaran Nabi SAW demi kesejahteraan kehidupan sejagat.

Wallahu’alam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

24 REJAB 1447H / 13 JANUARI 2026

[1] Muhammad bin Ahmad Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni & Ibrahim Atfisy. (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1384H) Jld. 9 Hlm. 56

الِاسْتِعْمَارُ طَلَبُ الْعِمَارَةِ، وَالطَّلَبُ الْمُطْلَقُ مِنَ اللَّهِ تَعَالَى عَلَى الْوُجُوبِ