Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

Soalan: Apakah hukum solat berimamkan individu yang bermazhab Ibadhiah?

Islam sangat meraikan kepelbagaian dan perbezaan. Perbezaan mazhab merupakan salah satu bentuk perbezaan yang diraikan oleh Islam sebagai contoh, ulama telah sepakat bahawa hanya empat mazhab imam muktabar yang diterima untuk diamalkan iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Hanbali, Mazhab Maliki dan Mazhab Syafie.

Manakala dalam aliran aqidah pula, wujud aliran Asya’irah, Maturidiyyah dan Ahl al-Hadith. Selain daripada aliran-aliran ini, antara aliran mazhab yang hangat dibahaskan oleh para ulama adalah mazhab Ibadhiyyah.

Mazhab Ibadhiah

Menurut al-Shahrastani, Ibadhiah adalah pecahan daripada kelompok Khawarij yang mengikut ‘Abdullah bin Ibaḍ yang keluar menentang pada zaman Marwan bin Muḥammad. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/134). Asas awal bagi aliran ini dinisbahkan kepada Jabir bin Zaid al-Azdi, seorang tabi’in yang juga merupakan murid kanan kepada Ibn ‘Abbas RA. (Lihat Al Mausu'ah al-Muyassarah fi al-Adyan wal Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asirah, 1/58). Adapun penisbahan kepada ‘Abdullah bin Ibad adalah kerana kenyataan-kenyaatan politik beliau yang cenderung ke arah tersebut yang menjadikan aliran ini dinamakan Ibadhiah.

Majoriti pengikut Ibadiah pada masa kini berada di Oman selain daripada, Lembah Mzab di Algeria, pergunungan Nafus di Libya dan kepulauan Jerba di Tunisia. Golongan Ibadiyyah boleh ditemui di Zanjibar dan Timur Afrika. Mereka tidak menyamai kelompok ekstremis Khawarij seperti Azariqah tetapi beberapa pendapat mereka memang selari dengan Khawarij. Antaranya berkenaan isu pendirian Allah tidak mempunyai sifat (ta’til), kemakhlukan al-Qur’an dan keharusan untuk keluar daripada pemerintah yang zalim. (Lihat Al Mausu'ah al-Muyassarah fi al-Adyan wal Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asirah, 1/58). Pada zaman ini, mazhab ini telah berkembang dengan pesat dan mempunyai pengikut yang mana kebanyakkannya datang dari negara Oman.

Menurut Muhammad Abu Zahrah dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, hlm. 82-83, antara pegangan Ibadhiah adalah:

  1. Golongan yang menentang mereka daripada kalangan umat Islam tidak dikira musyrik dan juga mukmin.
  2. Darah yang menentang mereka adalah haram ditumpahkan.
  3. Negara mereka dianggap negara tauhid.
  4. Tidak halal menjadikan harta orang Islam sebagai rampasan perang yang memerangi kecuali kuda dan senjata
  5. Harus menjadikan mereka saksi dan berkahwin.

Memandangkan kebanyakan ajaran dan pegangan ahli mazhab Ibadhiah ini menyalahi ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka jelas menunjukkan mazhab ini bukanlah sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Adapun di sisi Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Ibadhiah masih tergolong sebagai umat Islam dan mereka juga mempunyai pandangan-pandangan akidah yang mendekati Mu’tazilah.

Maka, walaupun mereka bukan daripada Ahli Sunnah wal Jama’ah, mereka masih sebahagian daripada umat Islam kerana aliran Ibadhiah pada masa kini dari sudut undang-undang dan kaedahnya menyepakati usul Islam secara iktikad dan pensyariatan. Ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Dr. Muhammad Nu’aim Muhammad Hani Sa’i dalam al-Qanun fi Aqa’id al-Firaq wa al-Mazahib al-Islamiyyah, hlm. 375.

 

Solat di Belakang Imam Bermazhab Ibadhiah

Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Ibadhiyah adalah aliran daripada Khawarij yang paling dekat dengan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah yang lebih terbuka dari sisi pemikiran dan manhajnya. Para ulama’ Ibadhiyah yang hebat juga jauh daripada sifat melampau serta mempunyai susur galur tradisi fiqh yang baik.  Malah, undang-undang Mesir pada bab pewarisan harta mengambil pandangan Ibadhiah (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, hlm. 83).

Merujuk kepada permasalahan seorang makmum berimamkan kepada seseorang yang berlainan mazhab, kami cenderung bahawa ianya dibolehkan sah solat jika menepati rukun dan syaratnya. Ini kerana, walaupun ianya tidak tergolong daripada Ahli Sunnah wal Jama’ah, fiqh Ibadhiah masih tergolong dalam kalangan 8 mazhab utama yang diterima dalam Islam khususnya al-Azhar al-Syarif. Pun begitu, sekiranya ditemui imam Ahli Sunnah wal Jama’ah di sana, itu lebih utama untuk bersolat di belakang mereka. Wallahua’lam.