Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

taqlid

Soalan: Bagaimana status iman seseorang yang bertaklid dalam akidah?

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Taklid dari segi bahasa adalah meletakkan sesuatu di leher melingkunginya, ini dinamakan qaladah atau kalung. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/367; Mukhtar al-Sihhah, m. 58). Taqlid dari segi istilah seperti yang didefinisi oleh Al-Amidi adalah "satu istilah yang disebut bagi pengamalan yang bersandarkan pendapat orang lain tanpa disertai hujah yang menuntut kewajipan pengamalan tersebut". (Lihat al-Ihkam, 4/221)

Apabila membincangkan berkenaan taklid dalam akidah, satu istilah yang wajar difahami adalah nazhor. Nazhor dalam ruang lingkup akidah adalah pemerhatian, penelitian dan penggunaan akal. Syeikh Abu al-Hajjaj Yusuf bin Musa al-Dharir menerangkan makna 3 maksud nazhor disisi ulama ilmu kalam dengan katanya:

وَحَدُّهُ الْفِكْرُ ابْتِغَاءَ الْفَرْقَ *** بَينَ الأَبَاطِلِ وَبَينَ الحَقٌّ

وَهُوَ أَيْضًا طَلَبُ الْيَقِينِ *** وَالْعِلْمِ أَوْ غَلَبَةِ الظُّنُونِ

كَذَاكَ الاِعْتِبَارُ وَالتَّأَمُّلُ *** وَهُوَ ضَرْبَانِ إِذَا يُفَصِّلُ

Ertinya: “Dan hadnya adalah pemikiran dengan tujuan perbezaan ***

antara (i) kebatilan dan kebenaran, Ianya juga bermaksud (i) meminta keyakinan ***

atau ilmu atau hanya untuk mendapat sangkaan yang kuat. Begitu juga (iii) iktibar dan refleksi ***

Ianya adalah dua kategori sekiranya dipecahkan.” (Lihat al-Tanbih wa al-Irshad fi ‘Ilm al-I’tiqad, m. 73)

Maka, nazhor itu adalah pemerhatian bagi membezakan kebatilan dengan kebenaran, penelitian bagi mendapatkan keyakinan, penggunaan akal bagi mengambil iktibar dan muhasabah.

Status Iman Orang yang Bertaklid

Syeikh Ibrahim al-Laqqani menyatakan:

إِذْ كُلُّ مَنْ قَلَّدَ فِـي التَوْحِيـدِ# إِيمَانُـهُ لَـمْ يَخْـلُ مِـنْ تَـرْدِيـدِ

فَفِيهِ بَعْضُ الْقَوْمِ يَحْكِي الخُلْفَا# وَبَعْضُهُـمْ حَقَّـقَ فِيـهِ الْكَشْـفَـا

“(Yang demikian) kerana setiap orang yang bertaklid dalam tauhid #

Imannya tidak terlepas daripada kesamaran.

Pada iman orang yang bertaklid, sebahagiannya menyatakan berlakunya khilaf #

Dan sebahagiannya menyatakan tidak ada khilaf.”

Beliau menjelaskan di sini berkenaan kedudukan iman orang yang bertaklid dalam akidah. Imam al-Baijuri dalam Hashiyah al-Baijuri ‘ala Jauharah al-Tauhid, m. 77 menghuraikan bahawa para ulama’ telah berbeza pandangan berkenaan status iman orang yang bertaklid:

  1. Tidak memadai dengan bertaklid, iaitu tidak sah taklid. Maka, orang yang bertaklid dalam akidah dikira kafir. Ini adalah pandangan Imam al-Sanusi dalam al-Kubra.
  2. Memadai dengan bertaklid tetapi berdosa samada seseorang itu ada kemampuan untuk mengkaji (nazhor) atau tidak.
  3. Memadai dengan bertaklid tetapi berdosa jika seseorang itu ada kemampuan untuk mengkaji (nazhor). Jika tidak, maka tidak berdosa.
  4. Barangsiapa yang bertaklid dengan al-Qur’an dan al-Sunnah semata-mata maka sah imannya kerana mengikut yang qat’ie. Barangsiapa yang mengikut selain daripadanya, tidak sah imannya kerana mengikuti perkara yang tidak selamat dari kesalahan.
  5. Memadai bertaklid dan tidak berdosa kerana pengkajian (nazhor) itu adalah syarat kesempurnaan. Oleh itu, orang yang meninggalkan pengkajian (nazhor), telah meninggalkan perkara yang lebih utama.
  6. Iman orang yang bertaklid adalah sah dan diharamkan untuknya mengkaji (nazhor) kerana terkandung percampuran dengan falsafah.

Kesimpulannya, pandangan yang terpilih adalah pandangan (3) sebagaimana yang ditarjihkan oleh Imam al-Baijuri dan juga Imam al-Sowi (Lihat Sharh al-Sowi ‘ala Jauharah al-Tauhid, m. 109). Kami melihat bahawa wajib bagi seseorang yang berkemampuan untuk belajar, supaya tidak berpada dengan taklid semata-mata kerana ianya membuka ruang kepada pelbagai kesamaran dan kecelaruan. Dalam masa yang sama, pada zaman kini akses untuk mendapatkan ilmu terutamanya ilmu akidah adalah jauh lebih mudah berbanding pada zaman dahulu. Wallahua’lam.