Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

roh pulang.PNG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, soalan saya, adakah jika arwah suami kita balik, kita dapat merasai kehadirannya?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ruh ialah jisim nurani, sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.

Jisim yang biasa tidak dapat diganti, dipisah-pisah mahupun dipecah-pecahkan, bahkan memberi kehidupan kepada jasad dengan segala kaitannya selagi jasad kasar itu wajar menerima curahan cahaya daripadanya dan selagi tidak ada hal-hal yang menghalang alirannya. Jika tidak demikian, matilah jasad itu. Pendapat ini adalah yang dipilih oleh al-Razi dan Ibn al-Qayyyim dalam kitabnya yang masyhur, al-Ruh.

Ruh juga bukanlah jisim dan bukan pula jenis jasmani. Ia berkaitan dengan tubuh sebagai pembimbing dan pengatur sahaja. Ini pendapat hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dan juga Abu Qasim al-Raghib al-Asfahani. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4020)

Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai ruh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa ruh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 10/261)

Firman Allah SWT:

      وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

(Surah al-Isra’: 85)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata: Ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Firman Allah ﷻ lagi:

اللَّـهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

(Surah al-Zumar: 42)

Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah ﷻ yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Ini sepertimana riwayat daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah ﷻ menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula. Ianya juga adalah pendapat Ibn Zaid Rahimahullah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 21/298-299)

Ada dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah satunya, bahawa ruh orang yang ditahan adalah ruh orang yang sudah meninggal, sehingga dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di dunia. Sedangkan ruh orang yang dilepas adalah ruh orang yang tidur. (Lihat al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 31).

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

إِنَّ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ وَالْأَمْوَاتِ تَلْتَقِي فِي الْمَنَامِ فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنْهَا، فَإِذَا أَرَادَ جَمِيعُهَا الرُّجُوعَ إِلَى الْأَجْسَادِ أَمْسَكَ اللَّهُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ عِنْدَهُ، وَأَرْسَلَ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِلَى أَجْسَادِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya. (Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an, 21/298; al-Jami' li Ahkam al-Quran, 15/260; Madarik al-Tanzil wa Haqa'iq al-Ta'wil, 4/56 dan Zad al-Masir oleh Ibn al-Jauzi 4/20)

Said bin Jubair Rahimahullah pula berkata:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبِضُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ إِذَا مَاتُوا، وَأَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِذَا نَامُوا، فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَتَعَارَفَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menahan ruh-ruh orang mati apabila mereka mati dan ruh-ruh orang hidup apabila mereka tidur. Mereka akan bertemu dan berkenalan mengikut kehendak Allah. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 15/260)

Berkenaan dengan jawapan di atas, jelas menunjukkan pada kita bahawa ruh tidak akan kembali selepas kematian. Cumanya apabila seseorang sentiasa bersama dengan seseorang seperti pasangan suami isteri yang hidup dengan harmoni dan bahagia dan sentiasa pergi ke masjid pada setiap waktu solat. Apabila salah seorang meninggal dunia, kelaziman ke masjid diteruskan tetapi terasa pasangannya masih bersamanya. Ini lebih kepada perasaan kasih sayang dan imbasan nostalgia kebersamaannya dengan dengan pasangan yang disayanginya.

Kami syorkan supaya yang hidup, apabila mengingatkan kepada yang mati hendaklah memohon keampunan dan berdoa untuknya. Semoga Allah tempatkan mereka yang mendahului kita pada tempat yang baik bersama para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan solehin. Amin.