Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

sabian

Soalan: Siapakah golongan al-Sobi’ah? Adakah mereka Ahli Kitab?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Definisi al-Sobi’un

Secara bahasa, kata (الصَّابِئِينَ) merupakan bentuk jamak. Ia berasal daripada kata tunggal (صابئ), dari kata shaba’a – yasba’u yang artinya keluar meninggalkan satu agama ke agama yang lain. Istilah lainnya adalah al-sobi’ah.

Imam al-Tabari menyatakan: “al-Sobi’un bentuk jamak dari kata sobi’, iaitu orang yang membuat agama baru di luar agamanya yang sebelum ini. Seperti orang Muslim yang murtad dari agamanya. Dan semua orang yang keluar meninggalkan agama sebelumnya lalu berpindah ke agama yang lain, dinamakan oleh orang Arab sebaga al-sabi’.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 2/145).

Al-Sobi’ah Di Dalam al-Qur’an

Al-Qur’an menyebut tentang al-Sob’iah sebanyak 3 kali.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالنَّصَارَى وَالصَّابِئِينَ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَالِحاً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah Al-Baqarah: 62)

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالصَّابِئُونَ وَالنَّصَارَى مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَالِحاً فَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.          

(Surah Al-Maidah: 69)

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالصَّابِئِينَ وَالنَّصَارَى وَالْمَجُوسَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا إِنَّ اللَّهَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Al-Hajj: 17)

Ciri Ciri Golongan al-Sobi’ah

Imam al-Tabari (Lihat Tafsir al-Tabari, 1/252) membawakan beberapa pandangan para ulama’ tentang golongan al-Sobi’ah:

  • Tidak mengikut mana-mana agama tradisi tetapi berakidah tauhid.
  • Dikenali sebagai pengikut Nabi Nuh.
  • Berakidah tauid dan beriman dengan Zabur.
  • Dikenali sebagai Ahli Kitab.
  • Golongan yang berada di antara Yahudi dan Kristian.
  • Golongan yang berada di antara Yahudi dan Majusi.
  • Golongan yang berada di antara Kristian dan Majusi.
  • Golongan yang berakidah tauhid tetapi bukan Yahudi, Kristian, Majusi dan tidak mempunyai kitab suci atau peraturan berkaitan agama.
  • Golongan yang berakidah tauhid tanpa menyembah bintang dan malaikat.
  • Golongan yang berfahaman dualisme dan tidak mempunyai teks-teks wahyu.

Imam Fakhruddin al-Razi mendefinisikan mereka sebagai penganut Majusi, penyembah malaikat, mengagungkan matahari dan solat menghadapnya lima kali sehari. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 1/147-148)

Al-Zamakhsyari menyatakan mereka adalah penyembah malaikat, tidak berkaitan dengan Yahudi atau Kristian. (Lihat al-Kasysyaf, 1/148-149)

Al-Biruni membahagikan mereka kepada dua kelompok; yang berakidah tauhid dan tidak. Al-Sobi’un yang berakidah tauhid adalah serpihan daripada kabilah Yahudi yang memilih untuk tinggal di Babylon dan selainnya berhijrah ke Jerusalem semasa zaman Cyrus dan Artaxerxes. Di Babylon, mereka tertarik dengan ajaran Majusi dan mencipta ajaran yang bercampuran antara Majusi dan Yahudi. Mereka berakidah tauhid, mensucikan Allah SWT daripada sebarang perkara yang salah dan buruk. Mereka amat menghormati cahaya dan mensifatkan urustadbir alam semesta ini kepada kuasa cakerawala yang diyakini hidup, berkata-kata, mendengar dan melihat segala yang wujud. Mereka menamakan rumah ibadah mereka dan gambar-gambar dengan nama objek cakerawala. Antara ritual mereka adalah tiga sembahyang wajib dan tiga sembahyang tambahan yang dilakukan menghadap kutub utara. Mereka tidak berkhatan tetapi berpegang kepada diet tertentu dalam pemakanan. Manakala al-Sobi’un yang kafir adalah datang daripada aliran al-Harraniyyah yang mungkin dikaitkan dengan nabi palsu di India iaitu Budhasaf atau diambil daripada Haran ibn Terah, saudara kepada Ibrahim. Kelompok kedua ini tidak sama dengan kelompok al-Sabi’ah dengan al-Qur’an kerana al-Harraniyyah tidak mengikut agama-agama tradisi (atau paganisme) dan menyembah matahari, bulan, planet dan elemen-elemen tertentu sebagai Wujud yang Terutama. Selain itu, mereka juga beriman bahawa sebahagian ahli falsafah seperti Hermes, Phytagoras, Agathodaemon dan Baba sebagai nabi dan mereka mengikuti ajaran-ajarannya. (Lihat Tahqiq ma li al-Hind, 318-319; Early Muslim Scholarship in Religionswissenschaft: The Works and Contributions of Abu Rayhan Muhammad Ibn Ahmad al-Biruni, m. 209-201)

Adakah Mereka Ahli Kitab?

  • Mazhab Hanafi: Imam Abu Hanifah mengkategorikan mereka sebagai Ahli Kitab yang merupakan aliran menyeleweng daripada agama Kristian yang membaca kitab Zabur, tidak kitab Injil. Mereka menyembah bintang dan berhala-berhala. Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad ibn Hassan al-Syaibani tidak menerima mereka sebagai Ahli Kitab.
  • Mazhab Maliki: Imam Malik menganggap mereka sebagai kafir dan tidak termasuk dalam Ahli Kitab. Mereka tidak mempunyai kitab suci mahupun peraturan-peraturan berkaitan agama. Di sisi ulama’ Malikiyyah, mereka dikira sebagai penyembah berhala.
  • Mazhab Syafie: Imam al-Syafie bertawaqquf dalam hal ini kerana identiti mereka yang tidak jelas. Walaubagaimanapun, para ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa mereka adalah hampir kepada ajaran Kristian dan dianggap sebahagian daripada penganut Kristian.
  • Mazhab Hanbali: Imam Ahmad bin Hanbal dan para ulama’ Hanabila kebanyakannya menerima pendapat-pendapat Imam Abu Hanifah dan para ulama’ Syafi’iyyah. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 2: 413; Ahkam al-Zimmiyyin wa al-Musta’min fi Dar al-Islam, 12; al-Umm, 4/173-175).
  • Ibn Hazm menyebutkan beberapa ciri Ahli Kitab yang ada pada golongan al-Sobi’ah. Antaranya adalah beriman kepada nabi-nabi antaranya Nabi Idris, Nabi Ka’adimun (كعادمون), Nabi Ilun (ايلون), Nabi Isqalabiyus (اسقلابيوس) dan lain-lain. Mereka beriman kepada sebahagian nabi sebagaimana umat Islam, tetapi menolak sebahagian nabi yang lain. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa Ahwal al-Nihal, 1/121; 1/139). Mereka solat lima kali sehari, mengagungkan Mekah dan Ka’abah, mengharamkan bangkai, darah, daging khinzir dan mengharamkan perkahwinan mereka yang rapat sebagaimana yang diharamkan ke atas orang Islam. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa Ahwal al-Nihal, 1/151). Beliau membahaskan tentang golongan Al-Sobi’un dalam satu bab khusus dalam al-Fasl fi al-Milal wa Ahwa’ al-Nihal. Dalam masa yang sama, Ibn Hazm juga menjelaskan beberapa persamaan antara golongan al-Sobi’ah dengan penganut Hindu. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa Ahwa’ al-Nihal, 1/51).
  • Menurut al-Shahrastani, al-Sobi’ah mempunyai ciri-ciri Ahli Kitab iaitu mereka yang pertama menerima kenabian Nabi Syith dan Nabi Idris. Mereka menolak kenabian selain keduanya. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 200). Selain itu, diriwayatkan mereka ada hubungan yang rapat dengan Nabi Ibrahim. Terdapat dua kumpulan yang wujud pada zaman Nabi Ibrahim iaitu al-Sobi’ah dan al-Hanafiyyah. Kumpulan Al-Sobi’ah ini pula terbahagi kepada dua; (i) Al-Sobi’ah Nubti, Parsi dan Rom yang menyatakan bahawa perantara rohani itu adalah bintang yang bergerak (ii) Al-Sobi’ah Hindu yang menyatakan bahawa perantara rohani itu adalah bintang yang statik. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, m. 176). Berdasarkan kenyataan ini, Ibn Hazm ada kecenderungan untuk memasukkan mereka sebagai Ahli Kitab tetapi al-Shahrastani pula lebih senang meletakkan mereka sebagai kelompok yang hampir kepada Ahli Kitab (syibhu ahl al-kitab).
  • Ibn al-Qayyim menjelaskan, al-Sobi’ah adalah umat yang besar. Ada yang baik dan ada yang celaka. Ia termasuk dalam salah satu umat yang terbahagi menjadi Mukmin dan kafir. al-Sobi’ah itu ada pelbagai kategori, ada al-Sobi’ah Hanif (pengikut ajaran Nabi Ibrahim) dan ada al-Sobi’ah Musyrik. Daerah Harran merupakan tempat kerajaan mereka sebelum kedatangan al-Masih ‘Isa. Mereka memiliki kitab, tulisan-tulisan, dan ilmu-ilmu. Penganutnya banyak di Baghdad. Antaranya adalah Ibrahim bin Hilal, penulis bagi beberapa risalah. Dia menganut agama tersebut, berpuasa Ramadhan seperti umat Islam. Majoriti mereka adalah ahli falsafah (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/236 – 238)
  • Al-Tusi tidak menganggap al-Sobi’ah sebagai Ahli Kitab. (Lihat al-Tibyan fi Tafsir al-Qur’an, 1/282)
  • Syeikh Muhammad ‘Abduh menggolongkan al-Sobi’ah sebaga Ahli Kitab. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Karim, 134).

Kesimpulan

Golongan al-Sobi’ah adalah kelompok yang disebutkan dalam al-Qur’an, digandingkan dengan Yahudi dan Nasrani. Sebahagian mereka beriman dan sebahagiannya tidak. Kami cenderung kepada pendapat al-Shahrastani bahawa golongan al-Sobi’ah bukan dalam kalangan Ahli Kitab tetapi menghampiri Ahli Kitab.