AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 210 (11 MAC 2016 M / 2 JAMADILAKHIR 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Apa hukum seseorang yang ada duit tapi tidak nak pergi umrah duit yang ada seseorang lebih suka bertukar-tukar kenderaan untuk memuaskan hati?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Firmah Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.
(Surah al-Baqarah, 2:196)
Para ulama al-Syafieyyah berpendapat bahawa haji dan umrah kedua-duanya ialah fardu ain, yang dilaksanakan oleh semua umat Islam. Namun begitu, kewajipannya bersifat taraakhi, yakni boleh ditangguhkan walaupun syarat-syarat wajib haji sudah mencukupi, dengan syarat dia sudah berazam akan melakukannya suatu hari nanti. Namun begitu adalah sunat hukumnya mencepatkan perlaksaaan umrah berdasarkan firman Allah Taala:
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
Maksudnya: Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan
(Surah al-Baqarah, 2:148)
Manakala jika seseorang itu takut hartanya akan hilang sebelum sempat dia melaksanakan haji atau umrah, maka ketika itu wajib dia melaksanakannya dengan faur, yakni dengan segera. Berkenaan dengan soalan penanya, banyak kemungkinan yang boleh ditanggungkan apabila seseorang itu memilih untuk menangguhkan pergi umrah. Boleh jadi kerana menunggu kuota haji, supaya dapat melaksanakan kedua-duanya sekali. Boleh jadi kerana sedang mengumpul dana yang cukup untuk menampung diri dan keluarganya.
Walaupun begitu, seperti kami nyatakan diatas, adalah aula bagi seseorang yang sudah berkemampuan untuk segera menunaikan umrah, apatahlagi apabila sistem quota haji yang diamalkan kadangkala tidak menjaminkan dan mengambil masa yang panjang untuk digabung pelaksanaan kedua-dua kewajipan. Paling kurang, jika umrah sudah ditunaikan, satu kewajipan sudah sempurna. Antara kelebihan haji dan umrah:
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:
تَابِعُوا بَيْنَ الحَجِّ وَالعُمْرَةِ، فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الكِيرُ خَبَثَ الحَدِيدِ، وَالذَّهَبِ، وَالفِضَّةِ، وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ المَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلَّا الجَنَّةُ
Maksudnya: “Laksanakanlah secara berturutan antara haji dan umrah, kerana kedua-duanya menghilangkan kefakiran dan dosa, sebagaimana belos api (tukang besi) menghilangkan kotoran besi, emas dan perak, dan tidak ada pahala bagi haji yang mabrur, selain Syurga.”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (810) dalam Sunan-nya. Beliau berkata: Hadis ini hasan sahih gharib.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya: Umrah kepada umrah yang berikutnya, (adalah) sebagai penghapus dosa yang terjadi diantara keduanya. Dan haji mabrur itu, tidak ada balasan baginya kecuali Syurga.
Hadis riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (3289).
Wallahua`lam.