Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-HAJ #SIRI 23: WAKTU SESUAI MELAKSANAKAN DAM TAMATTU’

 

SOALAN

Bilakah masa yang sesuai untuk melaksanakan Dam Tamattu’ dan adakah benar kata-kata sesetengah orang bahawa ada diantara orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ tidak dikenakan Dam?

Bagi orang yang dikenakan Dam pula, bilakah masa yang sesuai untuk melaksanakan Dam Tamattu’?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Dam Tamattu’ adalah dam yang dikenakan sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadah umrah pada suatu musim haji iaitu dia telah mengerjakan tawaf dan sai’e untuk ibadah tersebut. Kemudian dia berihram pula untuk ibadah haji pada tahun tersebut tanpa lebih dahulu keluar dari Mekah hingga sejauh yang membolehkan dia solat qasar.Maka orang tersebut dikira telah melakukan ibadah secara tamattu’

Rujuk al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu (3/328)

Merujuk kepada soalan pertama di atas, benar, ada diantara orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ tidak dikenakan dam sekiranya dia mempunyai salah satu dari 5 keadaan berikut:

  1. Dia adalah penduduk Tanah Haram.
  2. Dia tinggal di tempat yang jauhnya tidak sampai 2 marhalah dari Tanah Haram (91 kilometer atau 56 batu).
  3. Dia keluar pada Miqat untuk berniat Ihram Haji.
  4. Dia keluar kepada 2 marhalah dari Tanah Haram atau lebih untuk berniat Haji di sana, kemudian baru masuk Makkah untuk mengerjakan Haji.
  5. Dia mengerjakan umrah tidak di dalam bulan-bulan Haji.

Manakala bagi orang yang dikenakan dam Tamattu’, maka dia boleh melaksanakannya pada bila-bila masa selepas Tahallul Umrah. Yang afdhalnya (yang paling baik), ialah pada Hari Nahar (Hari Raya Haji). Tidak harus dilakukan sebelumTahallul daripada Umrah dan hendaklah penyembelihan itu dilakukan di Tanah Haram.

 

KESIMPULAN

Kami berpandangan, ibadah Haji yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan ia haruslah ditunaikan dengan sebaiknya. Di dalam sebuah hadith yang menerangkan asas-asas yang membentuk rukun Islam, Baginda SAW menyebut salah satunya iaitu:

 

وَحَجِّ الْبَيْتِ

Maksudnya: “Dan mengerjakan haji di Baitullah (Mekah)”

Riwayat Bukhari (8) Muslim (16, 21)  Tirmizi (2609)

 

Justeru, kami mengambil kesempatan ini untuk menasihati para jemaah agar melangsaikan dam jika terlibat dengannya dan mudah-mudahan dengan dam yang telah kita tunaikan tersebut dapat membebaskan jiwa kita daripada dosa-dosa maksiat seterusnya meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam