Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

maqasid syariah dlm perubatan.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ramai dalam kalangan masyarakat awam yang melihat bidang perubatan secara umumnya dari kaca mata barat semata-mata. Mereka melihat bahawa proses rawatan dan ikhtiar yang dilakukan oleh ahli perubatan seperti doktor perubatan, doktor gigi, ahli farmasi, jururawat, pakar pemakanan, juru x-ray dan sebagainya hanyalah untuk menyembuhkan penyakit semata-mata.

Dalam Islam, bidang perubatan dan pengamalannya adalah dipraktikkan mengikut tuntutan syara’ dan maqasid syariah. Maka, edisi Bayan Linnas kali ini akan membincangkan secara ringkas mengenai Maqasid Syariah dalam Perubatan dan kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan bidang perubatan.

Ini susulan daripada jemputan kepada kami untuk menghadiri satu seminar bagi menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan di Hotel Perdana Kota Bharu pada 2 Julai 2019. Semoga ia memberi manfaat kepada kita dalam menjadikan industri Farmaseutikal benar-benar menepati piawaian Syarak dari sudut kehalalannya. Amin.

 

Kenyataan Tokoh Sempena Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan

Bersempena dengan Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan yang diadakan, kami dapati pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Malaysia telah mengambil kecaknaan dan keprihatinan yang tinggi untuk menghasilkan natijah yang terbaik. Oleh itu, ramai pakar telah dijemput bagi membentangkan kertas kerja berkenaan dengan isu ini.

Kami kemukakan di sini kenyataan beberapa tokoh, antaranya:

  • Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Himpunan pelbagai profesyen ini pastinya memberikan persekitaran kondusif dan produktif untuk perkongsian idea, pengalaman dan pengetahuan untuk merangsang kemajuan bidang kesihatan di Malaysia. Penganjuran Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan 2019 ini dilihat bersesuaian dengan isu terkini dan relevan untuk dibincangkan oleh pelbagai pihak. Industri farmaseutikal halal di Malaysia dilihat semakin pesat dibangunkan melalui pelbagai kajian dan penyelidikan bagi menghasilkan ubat-ubatan halal dan bebas daripada sebarang unsur meragukan.”

  • Ramli bin Zainal, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia

“Dalam era perubatan kini, Program Perkhidmatan Farmasi begitu komited untuk mencapai tiga prinsip utama iaitu penduduk yang sihat, sistem kesihatan mampan dan industri kesihatan yang makmur. Bagi menyokong komponen-komponen tersebut, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggariskan lima inisiatif utama iaitu bekalan mencukupi, tiada pembaziran (no shortage, no wastage), menyampaikan penjagaan kesihatan kepada masyarakat (delivering healthcare to the community), kecekapan memberi inspirasi kepada keyakinan (competence inspires confidence), memperkasa wanita sebagai penjaga (empowering women as the informal caregiver) dan selamat & terkawal (safe & secure).

Antara isu halal dan haram dalam perubatan yang menjadi topic perbincangan hangat sehingga hari ini ialah persoalan mengenai ubat-ubatan yang mengandungi unsur-unsur najis atau haram seperti alcohol, dadah, bahan-bahan dari khinzir, lembu dan seumpamanya. Pengguna di Malaysia terutamanya pengguna Islam sangat prihatin dengan isu-isu ini kerana ia melibatkan persoalan halal dan haram iaitu perkara asas dalam kehidupan beragama dan perlu diambil berat oleh setiap individu Muslim.

  • Zaini bin Hussin, Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan

“Kefahaman dan penghayatan tentang halal dan haram dalam aspek ubat-ubatan ini sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar kesinambungan penjagaan kesihatan dapat dikekalkan demi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

Saya yakin, melalui perkongsian dan penceramah-penceramah hebat yang dijemput dalam konvensyen kali ini, pelbagai isu dan permasalahan berkaitan halal dan haram dalam farmaseutikal dapat dirungkaikan dengan jelas.”

  • Tuan Shaik Nurudin bin Shaik Shahrudin, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan

“Saya amat berharap konvensyen ini dapat mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan kefahaman dalam aspek halal dan haram (ubat-ubatan dan kosmetik) terutamanya asas-asas kepada syariah dan sains berkaitan isu halal kepada para peserta. Program ini juga diharap dapat memberikan penerangan dan penjelasan mengenai konsep halalan toyyiban berlandaskan syarak serta memenuhi standard yang terkini. Selain itu, program ini diharap dapat memupuk sikap dan nilai-nilai murni seperti mementingkan kebersihan, keselamatan terutama ubat-ubatan dan seumpamanya.”

 

Definisi Maqasid Syariah

Kami mulakan perbincangan dengan mengemukakan definisi maqasid syariah terlebih dahulu. Dari sudut bahasa, maqasid adalah merupakan kata jamak daripada maqsad dan maqsid (المقصد) yang berasal daripada perkataan qasada (قصد) yang membawa maksud menuju ke suatu arah.

Syariah pula berasal daripada perkataan syara’a (شرع) yang membawa maksud tempat terbit air yang menjadi sumber minuman, jalan, apa yang disyariatkan Allah dari aspek akidah dan hukum, agama dan pandangan mazhab yang jelas dan lurus. Dari segi istilah, ia merangkumi keseluruhan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia melalui Nabi SAW.

Adapun dari sudut istilah syara’, para ulama’ telah mengemukakan pelbagai definisi maqasid syariah. Syeikh Muhammad Thahir ibn ‘Asyur Rahimahullah telah mendefinisikan maqasid syariah sebagai:

المعَانِي وَالحِكَمُ الْمَلْحُوظَةُ لِلشَّارِعِ فِي جَمِيْعِ أَحْوَالِ التَّشْرِيْعِ أَوْ مُعْظَمِهَا، بِحَيْثُ لَا تَخْتَصُّ مُلَاحَظَتُهَا بِالْكَوْنِ فِي نَوْعٍ خَاصٍّ مِنْ أَحْكَامِ الشَّرِيْعَةِ

Maksudnya:Makna-makna dan hikmah-hikmah yang diambil perhatian oleh syarak dalam keseluruhan atau sebahagian besar daripada situasi penurunan syariat yang tidak mengkhususkan kepada mana-mana hukum syarak yang tertentu”. Rujuk Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah (hlm. 55)

Syeikh ‘Allal al-Fasi Rahimahullah pula mentakrifkan maqasid syariah sebagai:

الغاية منها (أي الشريعة)، والأسرار التي وضعها الشارع عند كل حكم من أحكامه

Maksudnya: “Tujuan-tujuan syariat serta rahsia-rahsianya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap hukum daripada hukum-hakam-Nya”. Rujuk Maqasid al-Syari’ah wa Makarimuha (hlm. 7)

Syeikh Dr. Ahmad al-Raisuni Hafizahullah pula berpandangan bahawa maqasid syariah merupakan:

الغايات التي وضعت الشريعة لأجل تحقيقها لمصلحة العباد

Maksudnya: “Tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syariat bagi merealisasikan kemaslahatan manusia”. Rujuk Nazhariyyatul Maqasid ‘inda al-Imam al-Syathibi (hlm. 7)

Kesimpulannya, takrif maqasid syariah berdasarkan ketiga-tiga takrif diatas secara umumnya boleh disimpulkan sebagai:

Tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh syariat Islam dalam hukum-hakam yang disyariatkan serta rahsia disebaliknya dengan tujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia.

Kami pernah mengeluarkan artikel yang berkaitan dengan Maqasid Syariah di bawah tajuk: Irsyad Usul al-Fiqh Siri Ke- 33: Pendahuluan Kepada Ilmu Maqasid Syariah[1]

 

Pembahagian Maqasid Syariah

Pembahagian Maqasid Syariah dari sudut kepentingannya kepada maslahah manusia terbahagi kepada tiga, iaitu:

Pertama: Al-Daruriyat

Ia merupakan perkara yang mana kehidupan manusia memerlukannya dan bergantung kepadanya. Jika sekiranya perkara tersebut tiada, manusia akan mengalami kesukaran dalam kehidupannya di dunia mahupun akhirat.

Al-daruriyat terbahagi kepada lima asas utama (al-dharuriyyat al-khamsah), iaitu: memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta benda. Setiap urusan agama dibina atas perkara-perkara ini mengikut keutamaan yang telah ditetapkan oleh para ulama’.

Kedua: Al-Hajiyat

Al-hajiyat ialah perkara yang diperlukan oleh manusia bagi memberikan kemudahan kepadanya dan menghilangkan kesukaran. Ketiadaan perkara-perkara al-hajiyat tidak membawa kepada kepincangan dalam hidup manusia sebagaimana ketiadaannya perkara-perkara al-daruriyat, namun ia akan membawa kepada kesukaran dalam kehidupan manusia.

Ketiga: Al-Tahsiniyat

Al-tahsiniyat ialah merupakan perkara-perkara yang menyempurnakan dan mencantikkan urusan manusia. Ketiadaan perkara-perkara al-tahsiniyat tidak membawa kepada kesukaran dalam hidup manusia seperti mana ketiadaannya perkara-perkara al-daruriyat dan al-hajiyat, tetapi keberadaannya akan membawa kepada kehidupan yang lebih sempurna buat manusia.

 

Pembahagian al-Dharuriyyat al-Khamsah

Istilah al-dharuriyyat al-khamsah merupakan satu pembahagian yang telah dipelopori oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah. Beliau telah berkata: “Dan tujuan Syari’at itu ada lima, iaitu: untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka”. Rujuk al-Mustasfa min ‘llm al-Usul (1/174).

Imam al-Syatibi Rahimahullah pula telah berkata: “Ummah telah bersepakat bahawa syari’at diturunkan untuk menjaga al-dharuriyyat al-khamsah, iaitu: agama, nyawa, keturunan, harta dan akal.” Rujuk al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah (1/31)

Oleh itu, prinsip utama Maqasid Syariah adalah untuk memelihara lima perkara; iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Pertama: Memelihara agama.

Ia merupakan prinsip yang paling utama untuk dipelihara berbanding dengan prinsip-prinsip lain. Contohnya adalah kewajipan keluar berperang mempertahankan Islam bagi mereka yang memenuhi syarat-syaratnya dan mendapat arahan daripada pemerintah. Walaupun peperangan itu boleh membawa kepada terkobannya jiwa dan kerosakan harta benda, namun kewajipan memelihara agama wajib didahulukan daripada perkara-perkara lain.

Kedua: Memelihara nyawa.

Ia merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Contohnya, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi memelihara nyawa. Hukuman qisas, diyat atau kaffarah dikenakan bagi mereka yang telah melakukan pembunuhan terhadap manusia lain sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Ketiga: Memelihara Akal.

Islam menuntut kita untuk menjaga akal kerana akal merupakan satu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia dan telah menjadikan manusia lebih mulia berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Contohnya, Islam melarang untuk meminum arak dan perkara-perkara yang memabukkan kerana perbuatan tersebut boleh merosakkan akal.

Keempat: Memelihara Keturunan.

Islam menggalakkan perkahwinan di antara lelaki dan perempuan sebagai salah satu cara untuk memelihara keturunan dan dalam masa yang sama melarang penzinaan dan menutup sebarang jalan yang membawa kepada penzinaan kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada kerosakan kepada keturunan serta nasab.

Kelima: Memelihara Harta.

Prinsip terakhir dalam al-dharuriyyat al-khamsah ialah memelihara harta. Contoh kepada prinsip ini ialah Islam melarang perbuatan mencuri, merompak dan seumpamanya bagi memelihara harta, dan dalam masa yang sama menggalakkan umatnya mencari rezeki yang halal melalui pelbagai cara yang diharuskan oleh syara’.

Aplikasi Maqasid Syariah dalam Perubatan

Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perubatan membawa maksud semua perkara yang bersangkutan dengan hal berubat. Dalam bidang perubatan, prinsip maqasid syariah diaplikasikan secara meluas bagi memelihara agama, nyawa, akal keturunan, dan harta. Di sini kami bawakan beberapa contoh aplikasi maqasid syariah dalam perubatan:

Pertama: Memelihara Agama.

Contoh: Antara tujuan utama bidang perubatan adalah untuk mencegah dan merawat pesakit supaya seluruh manusia secara amnya kekal sihat atau kembali sihat. Badan yang sihat dan kuat akan membawa kepada tertegaknya dengan sempurna ajaran-ajaran Islam serta syiarnya seperti ibadah solat, puasa, zakat, haji, kerja-kerja dakwah, berjihad dan sebagainya. Oleh itu, bidang perubatan merupakan salah satu cara tidak langsung yang boleh membawa kepada pemeliharaan agama.

Kedua: Memelihara nyawa.

Contoh: Ikhtiar perubatan secara umum itu sendiri bertujuan untuk memelihara nyawa. Ini termasuklah memakan ubat-ubatan mengikut dos yang ditetapkan untuk merawat pesakit, melakukan pembedahan yang boleh merosakkan sebahagian anggota badan demi menyelamatkan nyawa seperti memotong kaki bagi pesakit kencing manis untuk mengelakkan kuman merebak ke bahagian organ yang boleh mengancam nyawa. Selain itu, sistem latihan yang panjang dan pembelajaran yang sistematik untuk menjadi ahli perubatan seperti doktor perubatan, doktor gigi, ahli farmasi, jururawat dan lain-lain adalah bertujuan untuk melahirkan petugas-petugas dalam bidang perubatan yang berkemahiran tinggi, seterusnya dapat menyelamatkan nyawa. Penggunaan alat-alat perubatan yang sangat mahal dan canggih juga digunakan dalam bidang perubatan walaupun menelan belanja yang tinggi demi untuk menyelamatkan nyawa.

Ketiga: Memelihara keturunan.

Contoh: Pemeriksaan berkala bagi ibu-ibu mengandung bermula dari awal kehamilan sehinggalah anak dilahirkan, seterusnya diteruskan dengan program vaksin sehingga suatu tempoh tertentu adalah bertujuan untuk memastikan bayi yang lahir sihat dan bebas daripada sebarang penyakit bagi memelihara keturunan. Keharusan untuk menggunakan kaedah tabung uji bagi mendapatkan anak dengan syarat-syarat tertentu adalah contoh lain bagaimana bidang perubatan memainkan peranan penting dalam membantu untuk memelihara keturunan.

Keempat: Memelihara akal.

Contoh: Pengambilan minuman berakohol yang berlebihan, pengambilan dadah, ganja, dan seumpamanya boleh merosakkan akal manusia. Bidang perubatan mencegah manusia daripada mengambil perkara yang boleh merosakkan akal manusia seperti mana larangan dalam agama Islam demi untuk memelihara akal dengan pengambilan ubat tertentu untuk menahan penagihan serta sesi-sesi kaunseling dan kesedaran yang dijalankan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab.

Kelima: Memelihara harta benda.

Pencegahan penyakit dengan menggunakan ikhtiar perubatan pada peringkat awal boleh mengurangkan penggunaan harta benda untuk tujuan perubatan. Seseorang yang mencegah penyakit kencing manis daripada merebak pada peringkat awal dengan pengambilan ubat-ubatan dan pemakanan mampu memelihara hartanya daripada digunakan untuk kos pembedahan jika penyakit kencing manis tersebut menyebabkannya untuk menjalani pembedahan lain seperti pembuangan anggota tubuh lain bagi mengelakkan penyakitnya merebak ke anggota lain.

 

 

Prinsip-Prinsip Islam dalam Hal yang Berkaitan dengan Halal dan Haram

Dalam menerangkan bab ini, kami banyak merujuk tulisan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam sebagai panduan untuk memahami prinsip-prinsip asas dalam Islam berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum halal dan haram. Prinsip tersebut adalah:

  • Setiap perkara pada asasnya adalah harus.

Tiada yang haram melainkan yang dinyatakan pengharamannya menerusi nas yang sahih dan jelas oleh syara’. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dan dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada atas muka bumi”

Surah al-Baqarah (29)

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Dia telah memperincikan segala yang diharamkan ke atas kamu”

Surah al-An’am (119)

  • Menghalalkan dan mengharamkan itu adalah hak Allah SWT.

Islam menghadkan kuasa untuk menghalalkan dan mengharamkan sesuatu perkara adalah hak mutlak Allah, bukannya hak mana-mana manusia. Sesiapa yang melakukan perkara tersebut, dia sebenarnya sudah melanggar batasan seorang hamba dan mengambil hak Allah yang menurunkan syariat. Firman Allah SWT:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ

Maksudnya: “Adakah mereka memiliki sekutu-sekutu lain yang membuat syariat tanpa izin Allah dalam urusan agama mereka?”

Surah al-Syura (21)

  • Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram adalah gandingan syirik kepada Allah.

Pernah berlaku di Madinah pada suatu ketika dahulu beberapa individu yang cenderung kepada cara hidup yang kasar dan keras. Mereka mengharamkan diri mereka terhadap perkara-perkara yang halal. Lalu turunlah wahyu daripada Allah SWT yang menegur perbuatan mereka dan dengan ayat tersebut mereka telah kembali kepada jalan yang benar. Ayat tersebut adalah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan benda yang baik yang dihalalkan oleh Allah untuk kamu, dan jangan kamu melampaui batas; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan makanlah daripada rezeki yang diberikan oleh Allah kepadamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman”

Surah al-Maidah (87-88)

  • Pengharaman adakah disebabkan kekotoran dan mudharat.

Dalam Islam, sesuatu yang kotor sepenuhnya adalah haram, begitu juga sesuatu yang suci sepenuhnya adalah halal. Sesuatu yang mudaratnya lebih besar daripada manfaat adalah haram, manakala sesuatu yang manfaatnya lebih besar daripada mudarat adalah halal. Prinsip ini dapat dilihat ketika mana AllahSWt mengharamkan arak dan judi berdasrkan firman-Nya:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya: “’Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) perihal arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya ada dosa besar dan manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya”

Surah al-Baqarah (219)

Allah SWT telah berfirman:

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah: Aku tidak dapati dalam apa yang sudah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya jikalau benda itu adalah bangkai, darah yang mengalir, ataupun daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor, ataupun dilakukan secara fasiq, iaitu binatang yang disembelih atas nama selain daripada Allah”

Surah an-An’am (145)

  • Seseorang itu tidak perlu memilih yang haram jika terdapatnya yang halal.

Islam tidak mengharamkan sesuatu melainkan ia menyediakan alternatif yang halal sebagai gantinya. Sebagai contoh, Allah SWT mengharamkan zina dan liwat dan menggantikannya dengan pernikahan yang halal. Allah SWT tidak menyempitkan sesuatu perkara ke atas hamba-Nya melainkan Dia membuka ruang yang luas dalam perkara seumpama dengannya. Ini kerana Allah SWT mahu hambanya mendapat kebaikan, pertunjuk dan rahmat. Firman Allah SWT menjelaskan:

يُرِيدُ اللَّـهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٢٦﴾ وَاللَّـهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا ﴿٢٧﴾ يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ ۚ وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا

Maksudnya: Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (26) Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya. (27) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Surah al-Nisa’ (26-28)

  • Sesuatu yang membawa kepada haram, maka hukumnya adalah haram.

Prinsip yang ditetapkan oleh Islam, apabila diharamkan sesuatu, ia juga turut mengharamkan perkara yang menjadi wasilah kepada yang haram. Contohnya, pengharaman zina, Islam juga turut mengharamkan sega unsur yang mendorong ke arah zina seperti berkhalwat, gambar porno, pergaulan bebas dan lain-lain. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Surah al-Isra’ (32)

Selain itu firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Maksudnya: Janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi

Surah al-An’am (151)

Justeru, ulama menetapkan kaedah, apa yang membawa kepada haram adalah haram hukumnya. Begitu juga setiap orang yang membantu menjayakan perkara yang haram turut dikira bersekongkol dalam perkara dosa.

  • Berhelah bagi melakukan perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram.

Kaum Yahudi dikecam kerana menggunakan helah bagi melakukan perkara haram. Rasullullah SAW menyatakan:

لا تَرتَكِبوا ما ارتَكَبَتِ اليهودُ ، فتستَحِلُّوا مَحارِمَ اللهِ بأدنى الحِيَلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu melakukan dosa yang pernah dilakukan oleh kaum yahudi, menghalalkan perkara yang haram dengan melakukan helah

Ibnu Battah dan Ibnu Qayyim dalam menilai hadis ini menyatakan, jalurnya antara yang dinilai sahih oleh Imam al-Tirmizi. Ibtahalu al-Hiyal, (28) dan Muhazzib al-Sunnan (2/146).

Allah SWT mengharamkan mereka berburu pada hari Sabtu. Lalu, mereka melakukan helah dengan menggali parit pada hari Jumaat supaya ikan-ikan yang keluar pada hari Sabtu akan terperangkap di dalamnya. Kemudian, mereka mengambil ikan-ikan itu pada hari Ahad. Hal ini mungkin dilihat harus pada mereka yang melakukan helah. Namun di sisi para fuqaha Islam, perbuatan itu adalah haram. Ini kerana tujuan larangan itu adalah menahan diri daripada berburu, sama ada secara langsung ataupun melalui perantaraan.

Para ilmuan menentang helah-helah agama yang dilakukan oleh sesetengah orang termasuk golongan yang mengenakan pakaian ahli agama. Perbuatan ini tidak mampu menyelamatkan mereka daripada hukum Allah SWT. Allah SWT tidak akan tertipu dengan helah-helah yang mereka lakukan. Apa yang dilihat oleh-Nya adalah hati dan niat seseorang.

  • Niat yang baik tidak menghalalkan yang haram.

Islam menghargai tujuan dan niat dalam mensyariatkan hukum. Rasulullah SAW mengatakan:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat. Setiap orang akan dibalas bedasarkan niatnya.

Riwayat Muslim (1907)

Dengan niat yang baik, perkara yang harus boleh bertukar menjadi ibadat. Namun perkara yang haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku. Islam tidak merestui sesuatu yang haram itu dijadikan wasilah kepada tujuan yang mulia.

  • Syubhah dielakkan kerana dibimbangi jatuh ke dalam perkara haram.

Dalam perkara yang halal, taida masalah melakukannya. Perkara yang jelas haram, tidak dibenarkan sama sekali melakukannya ketika berada dalam keadaan tidak terdesak. Namun dari satu sudut yang berada antara halal dan haram. Ia dinamakan syubhat, iaitu hal yang tidak dapat dipastikan hukumnya sama ada halal atau haram. Oleh itu, Islam menetapkan supaya menjauhi hal-hal syubhat ini atas sikap warak dirinya. Sikap ini termasuk di dalam jenis saddu zari’ah (menutup pintu ke arah perkara haram). Atas perinsip ini adalah kata-kata Rasulullah SAW:

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ فَقَدْ سَلِمَ وَمَنْ وَاقَعَ شَيْئًا مِنْهَا يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَ الْحَرَامَ كَمَا أَنَّهُ مَنْ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ 

Maksudnya: Halal itu nyata, haram itu juga nyata. Antara kedua-duanya terdapat syubhat. Kebanyakan manusia tidak mengetahui adakah ia halal ataupun haram. Sesiapa yang meninggalkan ia demi agama dan marua, dia pasti selamat. Sesiapa yang melakukan sedikit syubhat, dia hampir melakukan perkara yang haram. Keadaannya sama seperti pengembala kambing berhampiran dengan kawasan larangan. Dia hamper menyebabkan haiwan ternakan memasuki kawasan larangan. Allah adalah perkara-perkara yang diharamkan.

Riwayat al-Tirmizi (1205)

  • Keadaan darurat mengharuskan untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Islam begitu tegas dalam perkara yang haram dengan menutup segala jalan yang menyebabkan perkara haram sama ada secara jelas ataupun tersembunyi. Namun, islam tidak pernah mengabaikan situasi-situasi darurat dan keterbatasan manusia dalam menghadapi situasi itu. Ia mengharuskan manusia ketika darurat mengambil perkara haram sekadar mampu menyelamatkan mereka kepada binasa. Allah SWT menerangkan:

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka dia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani.

Surah al-Baqarah (173)

 

Kaedah Fiqh dalam Perubatan

Terdapat banyak kaedah fiqh yang boleh dipraktikkan dalam bidang perubatan. Kaedah-kaedah ini sangat membantu pengamal perubatan dalam mempraktikkan amalan perubatan agar ia selari dengan tuntutan syara’. Antara kaedah fiqh yang berkaitan dengan perubatan adalah:

 

Pertama: Dalam bidang perubatan, antara tujuan utamanya adalah untuk menghilangkan kemudharatan kepada diri sendiri dan dalam masa yang sama tidak memudaratkan orang lain. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار

Maksudnya: “Janganlah memudaratkan diri sendiri dan memberi kemudaratan kepada orang lain” Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh al-Suyuti (hlm.173-181)

Contoh kepada kaedah ini: Vaksin perlu diambil oleh bayi bagi mengelakkan mudarat ke atas bayi tersebut dan mudarat yang mungkin menimpa bayi lain, kesan daripada bayi tersebut yang tidak mengambil vaksin.

 

Kedua: Keadaan darurat menyebabkan diharuskan untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang masyhur:

الضَّرُورَات تُبِيحُ المحْظُورَات

Maksudnya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang”. Rujuk al-Asybah wan Nazhoir, Ibn Nujaim (Hlm. 85)

Contoh bagi kaedah ini: Ubat yang berasal daripada bahan-bahan yang haram dibenarkan dalam perubatan jika disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.

 

Ketiga: Keadaan darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja”. Rujuk al-Asybah wan Nazhoir, al-Suyuti (hlm. 184-186)

Contoh bagi kaedah di atas: Seseorang itu tidak dibenarkan untuk mendedahkan auratnya kepada orang lain, namun ketika menerima rawatan, seseorang itu dibenarkan untuk mendedahkan auratnya mengikut kadar keperluan untuk merawat sakitnya sahaja. 

 

Keempat: Apabila bertembung dua mafsadah (kerosakan), maka dibenarkan untuk melakukan mafsadah (kerosakan) yang lebih ringan kesannya di antara dua kerosakan tersebut. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang mashyur:

إِنَّ أَدْنَى المَفْسَدَتَين يُرتَكَب مِنْ أَجْلِ دَفْع أَعْلَاهُمَا إِذَا كَانَ لَابُدَّ مِنْ مُوَافَقَةِ إِحْدَاهُمَا

Maksudnya: “Sesungguhnya kerosakan yang lebih ringan di antara dua kerosakan itu dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar apabila tidak boleh untuk diharmonikan antara salah satu daripadanya” Rujuk al-Asybah wal-Nazhoir, al-Subki (1/45).

الضَّرَر الأَشَدّ يُزَال بِالضَّرَرِ الأَخَفّ

Maksudnya: “Kemudharatan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudharatan yang lebih ringan” Rujuk Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (hlm. 199-200).

Contoh yang boleh kita ambil berkaitan dengan penggunaan kaedah di atas dalam hal perubatan adalah: Seorang doktor memberikan saranan kepada pesakitnya untuk dipotong kakinya. Ini bertujuan supaya penyakit itu tidak merebak ke anggota badan yang lain. Sekalipun perbuatan memotong kaki ini memberi mudharat kepada pesakit, akan tetapi demi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar akan berlaku seperti penyakit tersebut merebak ke bahagian-bahagian lain yang lebih kritikal, maka kemudharatan yang lebih kecil dari itu perlu dilakukan.

 

Kelima: Apabila berlaku kemudaratan, maka wajib dihilangkan kemudaratan tersebut. Ini berdasarkan kaedah:

الضَّرَر يُزَال

Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan” Rujuk al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah (hlm. 258).

Contoh bagi kaedah ini: Jika seseorang itu disahkan oleh para doktor bahawa mempunyai ketumbuhan di bahagian tertentu di dalam tubuh badannya yang boleh memberikan kemudharatan kepadanya, maka wajib dibuang ketumbuhan itu daripada tubuh badan pesakit tersebut.

 

Keenam: Kemudharatan dihindari daripada berlaku mengikut kadar kemampuan. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

الضَّرَر يُدْفَعُ بِقَدَرِ الإِمْكَان

Maksudnya: “Kemudharatan itu dihindari mengikut kadar kemampuan” Rujuk al-Wajiz fi Idhah Qawa’id al-Fiqh al-Kulliyyah (hlm. 258)

Contoh bagi kaedah ini: Kemudharatan yang bakal berlaku jika berat badan berlebihan akibat daripada kurang melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian hendaklah dihindari dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal mengikut kemampuan dan kesesuaian masing-masing.

 

Ketujuh: Kemudharatan yang berlaku tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan yang sama sepertinya. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

الضَّرَر لَا يُزَال بِمِثْلِهِ

Maksudnya: “Kemudharatan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan yang seumpama dengannya” Rujuk Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (hlm. 195-196).

Kaedah ini menetapkan bahawa kemudharatan tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan yang sama dengannya. Maka, menghilangkan satu kemudharatan dengan menggunakan kemudharatan yang lebih besar daripadanya adalah lebih-lebih lagi dilarang daripada melakukannya. Kemudharatan hanya boleh dihilangkan dengan perkara yang tidak membawa kepada sebarang kemudharatan ataupun kemudharatan yang lebih kurang daripadanya.

Contoh bagi kaedah ini: Seseorang itu tidak dibenarkan untuk mendermakan organ badannya kepada orang lain demi untuk menyelamat nyawa orang tersebut jika perbuatannya itu menyebabkan dia kehilangan nyawanya sendiri.

 

Kelapan: Jika bertembung antara perkara yang memberikan kemudharatan kepada umum dan kemudharatan khusus, maka dibolehkan untuk melakukan perkara yang membawa kepada kemudharatan khusus bagi mengelakkan berlakunya kemudharatan kepada umum. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

يُتَحَمَّلُ الضَّرَر الخَاص لِدَفْعِ ضَرَرِ عَام

Maksudnya: “Kemudharatan kecil dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kemudharatan kepada umum” Rujuk al-Asybah wan Nazhoir oleh Ibn Nujaim (hlm. 96)

Contoh bagi kaedah ini: Seseorang yang menghidap penyakit yang mudah berjangkit akan dikenakan perintah kuarantin bagi mengelakkan penyakit tersebut merebak kepada orang ramai.

 

Kesembilan: Apabila berlakunya pertembungan antara kebaikan dan kerosakan, hendaklah diutamakan untuk menghindari kerosakan daripada memperolehi kebaikan. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur:

دَرْءُ المفَاسِدِ أَولى مِنْ جَلْبِ المصَالِح

Maksudnya: “Menghindari kerosakan lebih didahulukan daripada memperolehi kebaikan” Rujuk al-Asybah wan Nazhoir, al-Subki (1/105)

Contoh bagi kaedah ini: Walaupun arak mempunyai kebaikannya tersendiri, namun keburukannya yang lebih banyak seperti menghilangkan fungsi akal dan memberi kesan buruk kepada kesihatan, maka Islam melarang mengambil sebarang minuman yang memabukkan untuk menghindari kerosakan daripadanya walaupun padanya terdapat sedikit kebaikan.

 

Kesepuluh: Hukum sesuatu perkara bergantung kepada niat seseorang itu. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدَهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya” Rujuk al-Asybah wan Nazhoir, al-Subki (1/105)

Contoh kepada keadah ini: Hukum pembedahan plastik bergantung kepada niat orang yang meminta untuk dilakukan pembedahan terhadapanya. Jika bertujuan untuk kecantikan semata-mata, maka tidak boleh dilakukan pembedahan terhadapnya, berbeza hukumnya jika pembedahan dilakukan atas tujuan perubatan.

 

Kesebelas: Kesusahan dan kesukaran menjadi sebab untuk dibolehkan melakukan perkara yang mudah dan ringan. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

المشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِير

Maksudnya: “Kesukaran membawa kepada keringanan” Rujuk al-Asybah wan Nazhoir, al-Suyuti (hlm.160-172)

Contoh kepada kaedah ini: Orang yang mengalami luka atau kulit yang sensitif kepada air dibenarkan oleh syara’ untuk bertayammum sebagai ganti kepada wudhu’.

Kedua Belas: Sesuatu perkara diambil kira mengikut kebiasaan perkara tersebut, bukannya mengikut perkara yang jarang-jarang berlaku. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

العِبْرَةُ لِلْغَالِب الشَّائِع لَا لِلنَّادِر

Maksudnya: “Yang diambil kira adalah mengikut kebiasaan perkara tersebut, bukannya mengikut perkara yang jarang-jarang berlaku”. Rujuk Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (hlm. 235).

Contoh bagi kaedah ini: Bayi yang lahir pada usia yang sangat pramatang pada kebiasaannya akan mengalami kompilasi lain disebabkan organnya yang belum matang, walaupun terdapat kes yang sangat terpencil yang mana bayi yang lahir pada usia sangat pramatang tidak mengalami sebarang masalah selepas kelahirannya.

 

Penutup

Sebagai penutup, bidang perubatan adalah satu bidang yang sangat dekat dengan maqasid syariah. Terlalu banyak pendekatan yang berlandaskan maqasid syariah dipraktikkan dalam bidang perubatan.

Kami memetik kenyataan guru kami Fadhilatu Doktor Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Syanqiti, antara lain menyebut: “Segala hukum keharusan dalam semua jenis ini dibina berasaskan keperluan untuk melakukannya sama ada mencapai maqam daruriyyat seperti pembedahan kerana darurat atau bersalin untuk menyelamatkan ibu atau janin atau salah satu daripada keduanya. Begitu juga membawa kepada maqam hajiyyat.” (Lihat Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah, hlm. 425-426)

Semoga sedikit penjelasan ini dapat memberi gambaran ringkas bahawa segala pendekatan dalam bidang perubatan hendaklah berlandaskan maqasid syariah agar setiap tindakan dan keputusan yang diambil dalam bidang perubatan adalah selari dengan tuntutan syariat.

Kami mengakhiri dengan berdoa kepada-Nya kerana Allah-lah al-Syafi al-Haqiqi:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”

 

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
2 Julai 2019 bersamaan 29 Syawal 1440 Hijrah.

Nota hujung:

[1] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/3099-irsyad-usul-al-fiqh-33-pendahuluan-kepada-ilmu-maqasid-syariah