Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 219: BENARKAH LUPUT PAHALA TARAWIH BAGI SESIAPA YANG TIDAK MELENGKAPKAN SOLAT TARAWIH SEBANYAK DUA PULUH RAKAAT

BENARKAH LUPUT PAHALA TARAWIH BAGI SESIAPA YANG TIDAK MELENGKAPKAN SOLAT TARAWIH SEBANYAK DUA PULUH RAKAAT

 

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan benarkah solat tarawih hanya boleh dilakukan dengan dua puluh rakaat sahaja dan tidak diberi ganjaran pahala sebagai solat terawih dengan hanya melakukan lapan rakaat sahaja. Mohon penjelasan Pejabat Mufti Wilayah.

Ringkasan Jawapan

Menurut mazhab Syafi’e dan jumhur ulama, bilangan rakaat tarawih adalah dua puluh rakaat berserta sepuluh salam tidak termasuk solat sunat witir. Pun begitu solatnya tetap sah dan diterima jika mengerjakannya kurang daripada dua puluh rakaat. Manakala dari sudut ganjaran dan pahala, ia tetap mendapat ganjaran pahala solat sunat tarawih mengikut kadar bilangan rakaat yang dilakukan.

Huraian Jawapan

Solat sunat Tarawih hanya disyariatkan pada malam-malam bulan Ramadan sahaja. Tarawih memberi maksud sebagai istirahat dan ini kerana kebiasaan mereka yang melakukannya dengan memanjangkan berdiri kemudian beristirahat pada setiap kali empat rakaat.[1] Disunatkan untuk melakukannya secara berjemaah seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi khilafah dengan memerintahkan supaya menunaikan solat terawih secara beramai-ramai dengan satu imam.[2]

Isu bilangan solat tarawih, para ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya. Menurut pandangan jumhur ulama serta pandangan mazhab al-Syafie, bilangan rakaat solat sunat tarawih adalah dua puluh rakaat berserta sepuluh salam.[3]

Manakala bagi ahli Madinah mereka melakukan solat sunat tarawih sebanyak tiga puluh enam rakaat kerana ingin menyamai penduduk Makkah yang melakukan solat sunat tarawih berselang- seli dengan bertawaf sebanyak tujuh pusingan. Imam Zakaria al-Ansari menyebut di dalam kitabnya

 وَلِأَهْلِ الْمَدِينَةِ فِعْلُهَا سِتًّا وَثَلَاثِينَ؛ لِأَنَّ الْعِشْرِينَ خَمْسُ تَرْوِيحَاتٍ فَكَانَ أَهْلُ مَكَّةَ يَطُوفُونَ بَيْنَ كُلِّ تَرْوِيحَتَيْنِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ فَجَعَلَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ بَدَلَ كُلِّ أُسْبُوعٍ تَرْوِيحَةً لِيُسَاوُوهُمْ

Maksudnya: Bagi penduduk Madinah, mereka melakukan solat tarawih sebanya tiga puluh enam rakaat. Ini kerana dua puluh rakaat bersamaan lima kali solat tarawih. Manakala penduduk Makkah melakukan tawaf di antara setiap dua kali tarawih (iaitu empat rakaat dua salam) sebanyak tujuh pusingan. Oleh itu, penduduk Madinah menggantikannya dengan setiap tujuh pusingan tawaf dengan satu kali tarawih (empat rakaat) untuk menyamai mereka.[4]

Bagi yang melakukan solat sunat tarawih kurang daripada dua puluh rakaat seperti lapan rakaat, maka ganjaran solat tarawihnya mengikut bilangan rakaat yang dilakukannya. Imam Syarawani menyebut dalam karyanya:

(قَوْلُهُ: وَكَذَا مَنْ أَتَى بِبَعْضِ التَّرَاوِيحِ) أَيْ كَالِاقْتِصَارِ عَلَى الثَّمَانِيَةِ فَيُثَابُ عَلَيْهِمْ ثَوَابَ كَوْنِهَا مِنْ التَّرَاوِيحِ، وَإِنْ قَصَدَ ابْتِدَاءً الِاقْتِصَارَ عَلَيْهَا كَمَا هُوَ الْمُعْتَادُ فِي بَعْضِ الْأَقْطَارِ

Maksudnya: (Imam Nawawi berkata: Begitu juga sesiapa yang melakukan sebahagian daripada tarawih) iaitu seperti memendekkannya menjadi lapan rakaat maka ganjaran pahala ke atas mereka mengikut apa yang mereka lakukan dengan sebahagian tarawih. Walaupun ia telah berniat pada permulaan tarawih untuk memendekkannya (lapan rakaat) sebagaimana yang dilakukan di sesetengah tempat.[5]

Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa Menurut mazhab Syafi’e dan jumhur ulama, bilangan rakaat tarawih adalah dua puluh rakaat berserta sepuluh salam tidak termasuk solat sunat witir. Pun begitu solatnya tetap sah dan diterima jika kurang daripada dua puluh rakaat. Manakala dari sudut ganjaran dan pahala, ia tetap mendapat ganjaran pahala solat sunat tarawih mengikut kadar bilangan rakaat yang dilakukan.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiy, (Mesir: Dar Safwah, 1404-1427H) Jld. 27 Hlm. 135

وَالتَّرَاوِيحُ: جَمْعُ تَرْوِيحَةٍ، أَيْ تَرْوِيحَةٌ لِلنَّفْسِ، أَيِ اسْتِرَاحَةٌ، مِنَ الرَّاحَةِ وَهِيَ زَوَال الْمَشَقَّةِ وَالتَّعَبِ، وَالتَّرْوِيحَةُ فِي الأْصْل اسْمٌ لِلْجِلْسَةِ مُطْلَقَةً، وَسُمِّيَتِ الْجِلْسَةُ الَّتِي بَعْدَ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي لَيَالِي رَمَضَانَ بِالتَّرْوِيحَةِ لِلاِسْتِرَاحَةِ، ثُمَّ سُمِّيَتْ كُل أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ تَرْوِيحَةً مَجَازًا، وَسُمِّيَتْ هَذِهِ الصَّلاَةُ بِالتَّرَاوِيحِ؛ لأِنَّهُمْ كَانُوا يُطِيلُونَ الْقِيَامَ فِيهَا وَيَجْلِسُونَ بَعْدَ كُل أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ لِلاِسْتِرَاحَةِ .وَصَلاَةُ التَّرَاوِيحِ: هِيَ قِيَامُ شَهْرِ رَمَضَانَ، مَثْنَى مَثْنَى، عَلَى اخْتِلاَفٍ بَيْنَ الْفُقَهَاءِ فِي عَدَدِ رَكَعَاتِهَا، وَفِي غَيْرِ ذَلِكَ مِنْ مَسَائِلِهَا.

[2] Ibid. Jld 27 Hlm. 139

وَجَمَعَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ - النَّاسَ فِي التَّرَاوِيحِ عَلَى إِمَامٍ وَاحِدٍ فِي السَّنَةِ الرَّابِعَةَ عَشْرَةَ مِنَ الْهِجْرَةِ

[3] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi. (Dar al-Fikr) Jld. 4 Hlm. 32

مذهبنا أنها عشرون ركعة بعشر تسليمات غير الوتر وذلك خمس ترويحات والترويحة أربع ركعات بتسليمتين هذا مذهبنا وبه قال أبو حنيفة وأصحابه وأحمد وداود وغيرهم ونقله القاضي عياض عن جمهور العلماء

[4] Asna Matalib fi Syarh Raudhah al-Talib, Imam Zakaria al-Ansari, Dar al-Kitab al-Islamiy, t.t, Jld. 1 Hlm. 201

[5] Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syirwani wa al-‘Ibadi, Ibn Hajar al-Haitami. (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1357H) Jld. 2 Hlm. 225