Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 221: HUKUM MEMASUKKAN PERALATAN PERUBATAN KE DALAM FARAJ KETIKA SIANG RAMADAN  

HUKUM MEMASUKKAN PERALATAN PERUBATAN KE DALAM FARAJ KETIKA SIANG HARI RAMADAN

 

Soalan

Assalamualaikum datuk mufti, ketika siang Ramadan saya pergi membuat check up di klinik. Seorang doktor memasukkan alat dipanggil dengan spekulum ke dalam faraj untuk membuat pemeriksaan. Soalan saya adakah puasa saya pada hari itu terbatal? terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum penggunaan spekulum di siang Ramadan adalah membatalkan puasa. Kami menasihatkan supaya orang ramai jika ingin melakukan rawatan pada bulan Ramadan yang menggunakan alat seperti spekulum atau pegawai perubatan perlu measukkan jari ke dalam vagina untuk menjalankan pemeriksaan supaya ia dilakukan pada waktu malam. Namun jika terdapat halangan untuk melakukannya pada waktu malam maka boleh untuk melakukannya pada waktu siang dan wajib mengqada’ semula puasanya pada hari tersebut.

Huraian Jawapan

Spekulum (vaginoscopy) ialah alat yang digunakan untuk membuka vagina lebih besar sehingga leher rahim (serviks) dapat terlihat dengan jelas[1]. Menurut laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia alat ini kebiasaannya digunakan untuk membuat ujian saringan (pap smear)  bagi mengesan kanser serviks[2]. Menurut mazhab Syafii al-Jauf diistilahkan sebagai rongga yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul (kemaluan bahagian hadapan) dan dubur (kemaluan bahagian belakang). Syeikh Nawawi al-Bantani berkata:

وَالْمرَادُ بِمُطلَقِ الجَوْفِ كُلُّ مَا يُسَمَّى جَوْفًا وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيْهِ قُوَّةُ إِحَالَةِ الْغِذَاءِ وَالدَّوَاءِ

Maksudnya: “Yang dimaksudkan dengan  rongga (jauf) ialah semua perkara yang dinamakan sebagai rongga yang padanya memiliki kemampuan untuk memperoses makanan dan perubatan[3].”

Menurut Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin: antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu benda (ain) ke dalam rongga yang terbuka dalam keadaan sengaja dan mengetahui bahawa ketika itu ialah bulan Ramadan[4]. Apabila seseorang memasukkan sesuatu ke dalam rongganya yang terbuka maka puasanya terbatal. Bahkan menurut ulama mazhab Syafi’i lagi walaupun yang masuk itu ialah sedikit seperti bijian ia tetap membatalkan puasa[5].

Adapun memasukkan sesuatu ke dalam faraj seperti spekulum atau pegawai perubatan melakukan pemeriksaan dalaman vagina menggunakan jari maka ia termasuk dalam memasukkan sesuatu ke dalam anggota terbuka dan ia membatalkan puasa. Imam al-Nawawi menyebut:

لَوْ أَدْخَلَ الرَّجُلُ أُصْبُعَهُ أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهُ أَوْ أَدْخَلَتْ الْمَرْأَةُ أُصْبُعَهَا أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهَا أَوْ قُبُلَهَا وَبَقِيَ الْبَعْضُ خَارِجًا بَطَلَ الصَّوْمُ بِاتِّفَاقِ أَصْحَابِنَا

Maksudnya: “Jika seseorang lelaki memasukkan jarinya atau lainnya ke dalam duburnya atau seorang wanita memasukkan jarinya atau lainnya ke dalam farajnya atau qubulnya manakala sebahagian darinya di luar maka batal puasanya berdasarkan kesepakatan para ulama mazhab Syafi’i[6].”

Dalam Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menyebutkan bahawa antara perkara yang membatalkan puasa ialah:

“Memasukkan sebarang tiup kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita.”

Oleh itu, Hukum penggunaan spekulum di siang Ramadan adalah membatalkan puasa. Kami menasihatkan supaya orang ramai jika ingin melakukan rawatan pada bulan Ramadan yang menggunakan alat seperti spekulum atau pegawai perubatan perlu measukkan jari ke dalam vagina untuk membuat pemeriksaan supaya ia dilakukan pada waktu malam. Namun jika terdapat halangan untuk melakukannya pada waktu malam maka boleh untuk melakukannya pada waktu siang dan wajib mengqada’ semula puasanya pada hari tersebut.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Mark Zwarts, Bahan Ajar Dianostik Fisik, Jakarta: Buku Kedoktoran EGC (1995).

[2] Laman Sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/pap-smear/  

[3] Syeikh Nawawi al-Bantani, Nihayah al-Zain, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), hlm. 187.

[4] Imam al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, Beirut: al-Maktab al-Islami (1991), jld. 2, hlm. 356.

فَرْعٌ

مِنَ الْمُفْطِرَاتِ دُخُولُ شَيْءٍ فِي جَوْفِهِ - وَقَدْ ضَبَطُوا الدَّاخِلَ الْمُفْطِرَ بِالْعَيْنِ الْوَاصِلَةِ - الظَّاهِرُ إِلَى الْبَاطِنِ فِي مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ عَنْ قَصْدٍ مَعَ ذِكْرِ الصَّوْمِ.

[5] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1994), jld. 2, hlm. 155.

(وَ) الْإِمْسَاكِ (عَنْ وُصُولِ الْعَيْنِ) وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ أَوْ لَمْ تُؤْكَلْ كَحَصَاةٍ. (إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا)

[6] Imam al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 6, hlm. 314.