Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 223: ADAKAH BATAL PUASA AIR MASUK TELINGA KETIKA MANDI?

ADAKAH BATAL PUASA MASUK TELINGA KETIKA MANDI

 

Soalan:

Assalammualaikum. Ketika saya mandi tanpa sengaja air masuk kedalam telinga. Adakah situasi tersebut membatalkan puasa.  Mohon pencerahan S.S Mufti. Terima kasih?   

Ringkasan Jawapan: 

Air yang masuk ke rongga dalam telinga (had batin) ketika mandi membatalkan puasa sekiranya bukan mandi disebabkan tuntutan syarak seperti mandi untuk bermain air. Jika mandian atau basuhan yang berlebihan menyebabkan air masuk ke dalam rongga yang terbuka (had batin telinga), maka ia membatalkan puasa.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Mandi pada sudut syarak ialah mengalirkan air ke seluruh badan yang disertakan niat. Mandi yang disyariatkan sama ada mandi untuk bersuci mahupun membersihkan badan yang terdiri daripada jenis mandi wajib mahupun sunat.

Seterusnya, menitiskan air ke dalam batin telinga boleh membatalkan puasa berdasarkan pendapat yang paling sahih. Sementara had telinga yang membatalkan puasa apabila melepasi tengkorak.  

Walau bagaimanapun, air yang masuk ke rongga dalam telinga tanpa disengajakan disebabkan mandi atas tuntutan perintah seperti mandi wajib tidak membatalkan puasa berdasarkan kenyataan Sheikh al-Dimyati: 

إِذَا   كان الاغتسال (بلا انغماس) في الماء، فلو غسل أذنيه في الجنابة فسبق الماء من إحداهما لجوفه: لم يفطر، وإن أمكنه إمالة رأسه أو الغسل قبل الفجر

Mandi tanpa berendam atau menyelam walaupun membasuh kedua telinganya ketika mandi janabah (wajib), lalu air memasuki ke dalam salah satu keduanya pada rongga, maka tidak membatalkan puasa sekiranya boleh mencondongkan kepala atau mandi sebelum fajar”.

Beliau menjelaskan lagi bahawa setiap mandian atau basuhan yang wajib tidak dituntut untuk dilaksanakan secara berlebihan, seperti berkumur-kumur dan memasukkan air secara berlebihan, kata beliau:

كما إذا سبق الماء إلى الداخل للمبالغة في غسل الفم المتنجس لوجوبها: بخلاف ما إذا اغتسل منغمسا فسبق الماء إلى باطن الاذن أو الانف، فإنه يفطر، ولو في الغسل الواجب، لكراهة الانغماس: كسبق ماء المضمضة بالمبالغة إلى الجوف مع تذكره للصوم، وعلمه بعدم مشروعيتها، بخلافه بلا مبالغة.

" Seolah  perumpamaan air  yang masuk secara berlebihan untuk membersihkan kekotoran mulut kerana kewajibannya, Berbeza pula, sekiranya mandi secara menyelam( berendam), lalu air memasuki pada had batin telinga dan hidung, maka perkara tersebut membatalkan puasa walaupun mandi wajib kerana makruh berendam  seperti masuk air ke rongga dengan sebab berkumur-kumur secara berlebihan di samping dia mengingati dirinya sedang puasa dan mengetahui tidak disyariatkannya, kecuali dilakukan berkumur-kumur itu dengan tidak berlebihan. (Rujuk I’anah al-Thalibin ‘Ala Halli Fath al-Mu’in, 2/264)

Sheikh al-Dimyati menyimpulkan dengan satu kaedah untuk permasalahan ini, kata beliau:

(والحاصل) أن القاعدة عندهم أن ما سبق لجوفه من غير مأمور به، يفطر به، أو من مأمور به - ولو مندوبا - لم يفطر..

Hasil daripada kaedah ulama bahawa apa-apa yang memasuki rongga disebabkan bukan daripada sebarang perintah mandi maka membatalkan puasa, setiap mandi atas dasar perintah syarak walaupun sunat, tidak membatalkan puasa.  (Rujuk I’anah al-Thalibin ‘Ala Halli Fath al-Mu’in, 2/265).

 

Penutup

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, air yang masuk ke rongga dalam telinga ketika mandi membatalkan puasa sekiranya bukan mandi disebabkan tuntutan syarak seperti berendam dalam air atau mandi hanya untuk bermain air.   Puasa tidak terbatal ekiranya air masuk ke dalam telinga ketika mandi atas tuntutan syarak seperti mandi wajib, mandi sunat selagi tidak berendam. Air yang masuk ke dalam telinga dengan cara mandi secara berendam membatalkan puasa kerana berlebih-lebihan sedangkan ia ingat dan sedar sedang berpuasa. Ini kerana mandi wajib juga tidak dituntut untuk dilakukan secara berlebih-lebihan.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Muhammad al-Zuhaili, (2011) al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, Damsyik: Dar al-Qalam, 1/128

والغسل شرعا: هو جريان الماء على جميع البدن مع النية . الغسل مشروع سواء أكان للطهارة، أم للنظافة،

لغسل نوعان، الأول: الغسل المفروض الذي لا تصح العبادة التي يشترط لها الطهارة إلا به وهو المراد عند الإطلاق، والثاني الغسل المندوب الذي سنه الشرع، ورغب فيه، ولكنه ليس شرطا في الصلاة أو غيرها، والأول هو الأهم ..

[2] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr J:1 P75

والتقطير في باطن الأذن وإلا حليل مفطر في الأصح

[3]Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, Tahkik: Lajnah ‘Ilmiyyah (Jeddah: Dar al-Minhaj, cetakan pertama, 1425H), 3/297.

 النجم الوهاج في شرح قال: (والتقطير في باطن الأذن والإحليل مفطر في الأصح) وإن لم يصل إلى الدماغ بل جاوز القحف،

[4] Abu Bakar al-Dimyati, 1997, I’anah al-Talibin ‘ala Hal al-Fazd Fath al-Muin, Dar al-Fikr