Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 225: BOLEHKAH QADA SOLAT SUNAT TARAWIH PADA WAKTU YANG LAIN

BOLEHKAH QADA SOLAT SUNAT TARAWIH PADA WAKTU YANG LAIN

 

Soalan

Assalamualaikum, mohon penjelasan Pejabat Mufti Wilayah berkenaan solat tarawih. Saya seorang jururawat yang bekerja mengikut jadual shif tertentu. Kadang-kadang shift saya bekerja pada waktu malam bermula jam 8 malam sehingga jam 8 pagi. Pekerjaan saya susah untuk berhenti rehat dengan mengambil waktu yang lama hanya sekadar sempat untuk menunaikan solat Isyak dan hanya sempat beberapa raakat sahaja solat Tarawih. Persoalannya bolehkah saya mengqada baki solat tarawih dan solat witir saya selepas saya selesai kerja pada waktu lain.

Ringkasa Jawapan

Solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir boleh diqada pada waktu yang lain sekiranya tertinggal dan tidak sempat dilakukan pada waktunya. Perkara ini merujuk kepada pandangan mazhab al-Syafi’e yang mengharuskan  qada solat sunat yang didirikan pada waktu tertentu (solat sunat al-Muaqqat) sekiranya luput waktunya. Hal ini juga termasuk solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir yang dikategorikan sebagai solat sunat yang memiliki waktunya tersendiri

Huraian Jawapan

Ganjaran diampunkan segala dosa pada bulan Ramadan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT bagi mereka yang mendirikan malam-malamnya dengan penuh kesungguhan dan pengharapan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu”.

Riwayat Muslim

Mendirikan malam pada bulan Ramadan yang dimaksudkan dalam hadis di atas merupakan solat sunat Tarawih.[1] Solat sunat Tarawih merupakan solat sunat yang memiliki waktunya yang tertentu dengan hanya dilakukan pada setiap malam selepas solat Isyak didirikan sehingga sebelum terbitnya fajar di bulan Ramadan.[2]

Persoalan tentang qada solat Tarawih bagi mereka yang tertinggal dan tidak sempat menunaikannya, Imam al-Nawawi menyebut secara umum bahawa sunat qada solat sunat yang memiliki waktunya (solat sunat al-Muaqqat). Teks asalnya seperti berikut:

وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الْأَظْهَرِ

Maksudnya: “Jika luput waktu solat sunat yang telah ditetapkan waktunya, maka sunat untuk qada menurut pandangan yang muktamad”.[3]

Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa sunat menggantikan solat sunat yang memiliki waktunya (solat sunat al-Muaqqat) sama ada solat itu afdal dilakukan secara berjemaah seperti solat sunat Hari Raya atau pun tidak seperti solat sunat Dhuha.[4] Hal ini berdasarkan dalil daripada hadis Nabi SAW yang menyatakan sesiapa yang tertidur atau terlupa sehingga terlepas waktu solatnya maka digantikan apabila mengingatinya.[5] Begitu juga dalam hadis yang lain, Nabi SAW menggantikan solat sunat Zohor setelah solat Asar dan juga Baginda SAW menggantikan solat sunat Fajar setelah terbitnya matahari kerana tertidur.[6]

Begitu juga perihal solat sunat witir, menurut mazhab Syafi’i ia termasuk dalam kategori solat sunat yang digalakkan untuk qada jika tertinggal[7] berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَامَ عَنْ الْوَتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُوتِرْ إِذَا ذَكَرَهُ أَوْ اسْتَيْقَظَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidur sehingga terlepas waktu solat Witir atau terlupa menunaikannya, maka lakukanlah apabila dia mengingatinya atau setelah dia bangun daripada tidur”.

Riwayat al-Tirmizi (465)

Berdasarkan penjelasan yang telah diberikan, solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir boleh diqada pada waktu yang lain sekiranya tertinggal dan tidak sempat dilakukan pada waktunya. Perkara ini merujuk kepada pandangan mazhab al-Syafi’e yang membenarkan untuk qada solat sunat yang memiliki waktu tertentu (solat sunat muaqqat) sekiranya luput waktunya. Hal ini juga termasuk solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir yang dikategorikan sebagai solat sunat yang memiliki waktunya tersendiri

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Al-Minhaj Syarh Sahih muslim bin al-Hajjaj, Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392) Jld.6 Hlm. 39

وَالْمُرَادُ بِقِيَامِ رَمَضَانَ صَلَاةُ التَّرَاوِيحِ

[2] Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, Dr. Wahbah Zuhaili. (Damsyiq: Dar al-Fikr) Jld. 2 Hlm. 1075

والتراويح عشرون ركعة بعشر تسليمات في كل ليلة من رمضان بين صلاة العشاء وطلوع الفجر، اتباعاً للسنة، مع مواظبة الصحابة عليها.

[3] Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-fiqh, Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. (Dar Fikr, 1425) Hlm. 36

[4] Mughni al-muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-minhaj, al-Khatib al-Syirbini. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 1 Hlm. 457

(وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ) سُنَّتْ الْجَمَاعَةُ فِيهِ كَصَلَاةِ الْعِيدِ أَوْ لَا كَصَلَاةِ الضُّحَى (نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الْأَظْهَرِ)

[5] Hadis riwayat Muslim. No Hadis 684

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا

[6] Mughni al-muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-minhaj, al-Khatib al-Syirbini. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 1 Hlm. 457

«قَضَى رَكْعَتَيْ سُنَّةِ الظُّهْرِ الْمُتَأَخِّرَةِ بَعْدَ الْعَصْرِ» ، رَوَاهُ الشَّيْخَانِ «وَرَكْعَتَيْ الْفَجْرِ بَعْدَ الشَّمْسِ لَمَّا نَامَ فِي الْوَادِي عَنْ الصُّبْحِ» ، رَوَاهُ أَبُو دَاوُد بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ،

[7] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. (Dar al-Fikr) Jld. 4 Hlm. 41-42

فهذه فيها ثلاثة أقوال الصحيح منها أنها يستحب قضاؤها قال القاضي أبو الطيب وغيره هذا القول هو المنصوص في الجديد