Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 227: STATUS HADIS KENAMPAKAN TIANG-TIANG MERAH DARI ARAH TIMUR KETIKA TERBIT MATAHARI PADA SETIAP HARI DI BULAN RAMADAN

STATUS HADIS KENAMPAKAN TIANG TIANG MERAH DARI ARAH TIMUR KETIKA TERBIT MATAHARI PADA SETIAP HARI DI BULAN RAMADAN

 

Soalan                  

Assalamualaikum, saya ingin bertanya isu yang pernah viral iaitu hadis yang menceritakan berkenaan kenampakan tiang-tiang merah dari arah timur ketika terbit matahari di bulan Ramadan. Kemudian ramai netizen yang kongsikan gambar langit berwarna merah yang diambil di kawasan masing-masing sambil mengaitkan dengan hadis berkenaan pada masa tersebut. Jadi boleh saya tahu status hadis tersebut? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Awsat. Namun begitu, sanad hadis “Kenampakan Tiang-Tiang Merah Dari Arah Timur Ketika Terbit Matahari Pada Setiap Hari Di Bulan Ramadan” ialah sanad lemah(daif). Hal ini disebabkan beberapa faktor. Pertama, kerana sanad hadis ini tafarrud(bersendirian) sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Tabrani. Kedua, sanad hadis ini terputus antara Khalid bin Maʻdan dengan ʻUbadah bin al-Samit dan antara Bisyr bin Bakr dan Zaid bin Bisyr. Ketiga, perawi yang bernama Ahmad bin Risydin juga merupakan perawi yang lemah dan beliau tidak pernah mengambil hadis daripada Zaid bin Bisyr.

Huraian Jawapan

Suasana pada hari ini menyaksikan ramai dalam kalangan umat Islam suka berkongsi hadis-hadis Nabi SAW bagi tujuan mendapatkan manfaat dan faedah daripada hadis-hadis tersebut. Perbuatan menyebarkan nasihat atau peringatan merupakan suatu kebaikan. Namun setiap berita yang hendak disebarkan perlu diselidik terlebih dahulu keabsahannya.

Baru-baru ini tersebar suatu berita yang menyebutkan bahawa terdapat kenampakan tiang-tiang merah di langit ketika terbit matahari di bulan Ramadan. Berita ini berdalilkan kepada suatu riwayat daripada Imam al-Tabrani.

Setelah melakukan carian, maka hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dalam al-Muʻjam al-Awsat dengan jalur berikut:

Ahmad bin Risydin menceritakan kepada kami, beliau berkata: Zaid bin Bisyr al-Hadrami menceritakan kepada kami, beliau berkata: Bisyr bin Bakr menceritakan kepada kami, beliau berkata: Umm ‘Abdillah anak perempuan Khalid bin Maʻdan menceritakan kepadaku, daripada ayahnya, daripada ‘Ubadah bin al-Samit, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ عَمُودًا أَحْمَرَ قِبَلَ الْمَشْرِقِ فِي رَمَضَانَ، ‌فادَّخِرُوا طَعَامَ سَنَتِكُمْ، فَإِنَّهَا سَنَةُ جُوعٍ

Maksudnya: Apabila kamu melihat tiang-tiang berwarna merah menghala ke arah Timur pada bulan Ramadan, maka simpanlah makanan untuk setahun, sesungguhnya ia merupakan tahun kelaparan.[1]

Selepas Imam al-Tabrani mendatangkan hadis ini beliau memberikan komentar beliau seperti berikut:

لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ أُمِّ عَبْدِ اللَّهِ ابْنَةِ خَالِدٍ إِلَّا بِشْرُ بْنُ بَكْرٍ، تَفَرَّدَ بِهِ: زَيْدُ بْنُ بِشْرٍ

 

Maksudnya: Bisyr bin Bakr hanya meriwayatkan hadis ini daripada Ummu ‘Abdullah anak perempuan Khalid dan Zaid bin Bisyr bersendirian(tafarrud) meriwayatkan hadis ini.

Jika diteliti pada sanad hadis ini Khalid bin Maʻdan disebut sebagai thiqah ʻabid dan banyak memursalkan hadis.[2] Selain itu, Ibn Abi Hatim menyebutkan bahawa beliau tidak pernah mendengar hadis daripada ʻUbadah bin al-Samit. Berikut merupakan lafaznya:

سَمِعْتُ أَبِي يَقُولُ خَالِدُ بْنُ مَعْدَانَ لَمْ يَصِحْ سَمَاعُهُ مِنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ

Maksudnya: Aku mendengar ayahku berkata: Khalid bin Maʻdan tidak mendengar daripada ʻUbadah bin al-Samit.[3]

Secara tidak langsung sanad antara Khalid bin Maʻdan dengan ʻUbadah bin al-Samit terputus.

Kemudian, Imam al-Haithami dalam Majmaʻ al-Zawa’id menyebutkan bahawa dalam sanad tersebut terdapat perawi yang tidak dikenali iaitu Ummu ʻAbdullah anak perempuan kepada Khalid bin Maʻdan.[4]

Manakala Bisyr bin Bakr disebut sebagai perawi yang thiqah oleh Imam Ibn Abi Hatim.[5]  Namun perawi yang mengambil hadis daripada Bisyr bin Bakr iaitu Zaid bin Bisyr tidak ditemui namanya dalam senarai nama murid-murid Bisyr bin Bakr. Perkara ini menunjukkan sanad ini terputus di antara Bisyr bin Bakr dan Zaid bin Bisyr. Walaupun Zaid bin Bisyr merupakan perawi yang bertaraf thiqah.[6]

Perawi Ahmad bin Risydin atau nama penuhnya Ahmad bin Muhammad bin al-Hajjaj bin Risydin bin Saʻd merupakan perawi yang daif. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn ʻAdi dalam al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal:

وَابْنُ رِشْدِينَ هَذَا صَاحِبُ حَدِيثٍ كَثِيرٍ يُحَدِّثُ عَنِ الْحُفَّاظِ بِحَدِيثِ مِصْرَ، أَنْكَرْتُ عَلَيْهِ أَشْيَاءَ مِمَّا رَوَاهُ، وَهو مِمَّنْ يُكْتَبُ حَدِيثُهُ مَعَ ضَعْفِهِ.

Maksudnya: Ibn Risydin periwayat hadis ini banyak meriwayatkan hadis daripada para huffaz di Mesir. Aku menolak hadis yang beliau riwayatkan dan hadisnya boleh diriwayatkan namun dia sendiri ialah seorang perawi yang lemah.[7]

Bahkan, guru beliau iaitu Ahmad bin Salih mengatakan bahawa muridnya Ahmad bin Risydin merupakan seorang yang kazzab(pendusta).[8] Selain itu, beliau juga tidak mengambil hadis daripada Zaid bin Bisyr, tetapi Zaid bin Bisyr pernah meriwayatkan hadis daripada Risydin bin Saʻd.[9]

Berdasarkan kepada penelitian, sanad hadis ini mempunyai masalah. Pertama, kerana sanad hadis ini tafarrud(bersendirian) sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Tabrani. Kedua, sanad hadis ini terputus antara Khalid bin Maʻdan dengan ʻUbadah bin al-Samit dan antara Bisyr bin Bakr dan Zaid bin Bisyr. Ketiga, perawi yang bernama Ahmad bin Risydin juga merupakan perawi yang lemah dan beliau tidak pernah mengambil hadis daripada Zaid bin Bisyr. Oleh itu, status hadis ini adalah hadis yang daif(lemah).

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Abu al-Qasim al-Tabrani. (t.t.). al-Muʻjam al-Awsat. ed. Tariq Iwadullah. Kaherah: Dar al-Haramain. 1: 119.

[2] Ahmad bin Hajar al-ʻAsqalani. (1326). Tahzib al-Tahzib. India: Matbaʻah Da’irah al-Maʻarif al-Nizamiyyah. 3: 118.

وقال العجلي شامي تابعي ثقة وقال يعقوب بن شيبة ومحمد بن سعد وابن خراش والنسائي ثقة... وذكره ابن حبان في الثقات وقال كان من خيار عباد الله... وحديثه عن معاذ مرسل ربما كان بينهما اثنان

[3] Muhammad ʻAbd al-Rahman bin Muhammad bin Idris bin al-Munzir al-Razi Ibn Abi Hatim. (1397). al-Marasil. ed. Syukrullah Nikmatullah Qawjani. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 1: 52.

[4] Abu al-Hasan al-Haithami. (1994). Majmaʻ al-Zawa’id wa Manbaʻ al-Fawa’id. ed. Hisam al-Din al-Qudsi. Kaherah: Maktabah al-Qudsi. 5: 35.

وَفِيهِ أُمُّ عَبْدِ اللَّهِ ابْنَةُ خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ وَلَمْ أَعْرِفْهَا، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ

[5] Muhammad ʻAbd al-Rahman bin Muhammad bin Idris bin al-Munzir al-Razi Ibn Abi Hatim. (1952). Al-Jarh wa al-Taʻdil. Hayderabad: Tabʻah Majlis Da’irah al-Maʻarif al-ʻUthmaniyyah. 2: 352.

[6] Ahmad bin Hajar al-ʻAsqalani. (1971). Lisan al-Mizan. India: Matbaʻah Da’irah al-Maʻarif al-Nizamiyyah. 2: 502.

[7] Abu Ahmad bin ʻAdi al-Jurjani. (1997). Al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal. ed. ʻAdil Ahmad ʻAbd al-Maujud dan ʻAli Muhammad Muʻawwad. Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah. 1: 327.

[8] Ibid. 1: 326.

سمعت مُحَمد بن سعد السعدي يقول: سَمعتُ أحمد بن شُعَيب النسائي يقول: كان عندي أخو ميمون وعدة، فدخل ابن رشدين هذا، فصعقوا به، وقالوا له: يا كذاب، فقال لي ابن رشدين: ألا ترى ما يقولون لي؟ فقال له أخو ميمون: أليس أحمد بن صالح إمامك؟ قَال: نَعم، فقَالَ: سَمِعْتُ علي بن سهل يقول: سَمعتُ أحمد بن صالح يقول: إنك كذاب.

[9] Muhammad ʻAbd al-Rahman bin Muhammad bin Idris bin al-Munzir al-Razi Ibn Abi Hatim. (1952). Al-Jarh wa al-Taʻdil. 3: 557.

زيد بن بشر الحضرمي المصري أبو بشر روى عن رشدين بن سعد وعبد الله بن وهب سمعت أبي يقول ذلك.